Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
LEPAT PISANG
Makanan Tradisional
Gambar
9
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
28
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Lepat Pisang
Sumber: Cookpad.com
Lepat Pisang merupakan salah satu kuih tradisional Melayu yang cukup terkenal di negeri Kedah. Kuih ini diperbuat daripada jenis Pisang Nipah atau turut dikenali sebagai pisang Kepok yang ranum dan dilenyek lalu digaul bersama tepung, kelapa parut, dan gula, sebelum dibungkus dengan daun pisang yang kemudiannya dikukus hingga masak. Keunikan aroma harum daun pisang yang meresap ke dalam adunan menjadikan Lepat Pisang sangat digemari masyarakat setempat, sama ada untuk sarapan pagi, minum petang mahupun sebagai juadah kenduri.
Sejarah Lepat Pisang di Kedah berkait rapat dengan cara hidup masyarakat kampung yang bergantung pada hasil tanaman di sekeliling rumah. Pisang yang mudah didapati di sekitar kampung tidak hanya dimakan segar, tetapi turut diolah menjadi pelbagai jenis hidangan seperti pengat pisang, cekodok, dan lepat. Dari kreativiti inilah terciptanya kuih Lepat Pisang yang menjadi salah satu menu kuih tradisional bagi masyarakat di negeri Kedah. Jenis kuih ini sekaligus menambahkan variasi kepelbagaian kuih berasaskan pisang. Walaupun sederhana bahannya, tetapi ia kaya dengan rasa dan nilai tradisi.
Foto 2: Pisang Nipah atau Pisang Kepok
Sumber: Cookpad.com
Lepat Pisang bukan sekadar hidangan harian, tetapi turut memainkan peranan penting dalam kehidupan sosial dan budaya masyarakat Kedah. Pertama, ia berfungsi sebagai makanan harian yang ringkas dan berkhasiat. Pisang yang menjadi ramuan utama mengandungi tenaga semula jadi, manakala tepung dan kelapa parut menambah rasa lemak manis yang sesuai dijadikan sarapan pagi atau minum petang. Oleh itu, Lepat Pisang dianggap sebagai makanan yang mudah, murah dan mengenyangkan.
Selain itu, Lepat Pisang juga berperanan sebagai juadah istimewa dalam pelbagai majlis keramaian. Dalam kenduri atau majlis kesyukuran, majlis perkahwinan, kuih ini sering disajikan bersama aneka kuih tradisional lain. Kehadirannya melambangkan keterikatan masyarakat kepada warisan kulinari tempatan yang diwarisi turun-temurun. Di samping itu, Lepat Pisang juga kerap dijadikan hantaran atau buah tangan ketika menziarahi jiran tetangga, menggambarkan nilai keramahtamahan serta budaya berkongsi rezeki dalam masyarakat Melayu Kedah.
Dari sudut ekonomi, Lepat Pisang turut berperanan sebagai salah satu sumber pendapatan kecil bagi masyarakat setempat. Ramai peniaga pasar malam dan warung tradisional menjadikan Lepat Pisang antara menu utama untuk dijual kerana permintaannya yang sentiasa berterusan. Situasi ini lebih ketara ketika bulan Ramadan, apabila Lepat Pisang menjadi antara juadah pilihan di bazar Ramadan sebagai hidangan berbuka puasa. Rasa manis dan lembutnya sesuai dijadikan pembuka selera selepas seharian berpuasa, menjadikan ia laris terjual. Keadaan ini membuktikan bahawa makanan tradisional bukan sahaja penting dari segi warisan budaya, tetapi juga mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi setempat melalui peningkatan jualan musiman.
-
Penyediaan Lepat Pisang memerlukan gabungan bahan-bahan asas yang mudah diperoleh. Setiap ramuan memainkan peranan penting dalam menentukan rasa, tekstur, dan aroma kuih ini. Berikut ialah bahan-bahan yang digunakan dalam resipi tradisional Kedah:
Bahan Utama:
2 cawan pisang ranum yang telah dilecek
1/4 cawan gula putih
1 keping gula Melaka atau nisan (gula bulat nipis tradisional)
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung beras
1/4 cawan kelapa parut muda
1 sudu kecil garam
Bahan Pembungkus:
Daun pisang yang telah dilayur (untuk membungkus adunan sebelum dikukus)
Proses penyediaan Lepat Pisang memerlukan ketelitian agar hasilnya mempunyai rasa dan tekstur yang sempurna. Langkah-langkah penyediaan adalah seperti berikut:
Langkah 1: Menyediakan pengukus
Panaskan periuk kukus dengan air secukupnya.
Pastikan penutup kukus ditutup rapat supaya wap dapat terkumpul dengan sempurna.
Langkah 2: Menyediakan gula Melaka
Parut halus gula Melaka atau nisan supaya mudah larut dan sebati dengan adunan.
Jika tiada parutan, boleh juga ditumbuk sehingga hancur.
Langkah 3: Menyediakan adunan
Lenyek pisang ranum sehingga halus dalam bekas besar.
Masukkan gula putih, gula Melaka yang diparut, tepung gandum, tepung beras, kelapa parut, dan sedikit garam.
Gaul semua bahan sehingga sebati dan membentuk adunan yang lembut.
Biarkan adunan seketika (5–10 minit)
Langkah 4: Menyediakan daun pisang
Bersihkan daun pisang dengan kain bersih yang lembap.
Layurkan sebentar di atas api kecil sehingga daun menjadi lembut dan tidak mudah koyak ketika dilipat.
Potong daun pisang selebar kira-kira 1 ½ tapak tangan (anggaran 15–18 cm).
Langkah 5: Membungkus adunan
Ambil sehelai daun pisang, letakkan kira-kira tiga sudu besar adunan di bahagian tengah daun.
Lipat kedua-dua sisi daun ke bahagian tengah untuk menutup adunan.
Kemudian lipat kedua-dua hujung daun dengan kemas dan tegakkan supaya bahagian lipatan berada di bawah.
Ulangi proses ini sehingga semua adunan habis.
Langkah 6: Mengukus Lepat Pisang
Susun bungkusan Lepat Pisang dalam loyang pengukus.
Kukus selama 20 hingga 25 minit dengan api sederhana.
Pastikan air kukusan mencukupi dan ditambah jika berkurangan.
Langkah 7: Menghidangkan
Setelah masak, angkat Lepat Pisang dari pengukus dan biarkan sejuk seketika.
Hidangkan ketika masih suam, lebih enak dimakan bersama teh atau kopi panas.
Foto 3: Lepat Pisang Sedia Dihidangkan
Sumber: Cookpad.com
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Cookpad. (n.d.). Resepi Lepat Pisang. Cookpad. Retrieved August 23, 2025, from https://cookpad.com/my/recipes/24875789?ref=search&search_term=LEPAT+PISANG
Che Nom. (n.d.). Resepi Lepat Pisang Istimewa. Resepi Che Nom. Retrieved August 23, 2025, from https://resepichenom.com/resepi/lepat-pisang-istimewa
Ibrahim, F., & Jamaluddin, R. (2007, May). The Malay traditional leafen art food packaging. In The 5th Tourism Educators’ Conference on Tourism and Hospitality. Penang: Universiti Sains Malaysia.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Mohammad Salleh bin Mahmud
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah
Kompleks JKKN Kedah
Lot PTD 400, Pumpong
05250 Alor Setar
KEDAH DARUL AMAN
011-10899646
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris





