Gambar

4

Video

tiada

Pelawat Hari ini

29

Jumlah Pelawat

220

Pengenalan dan sejarah

Kuih Loyang merupakan salah satu kuih tradisional yang terkenal di Malaysia khususnya ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, dan Tahun Baru Cina. Kuih ini juga turut dikenali dengan pelbagai nama lain seperti Kuih Goyang, Kuih Ros, Kuih Bunga Durian, Kuih Cap, Kuih Sarang Lebah, Kuih Siram, dan Kuih Acuan. Keistimewaan kuih ini terletak pada bentuknya yang menyerupai bunga, teksturnya yang rangup, serta kaedah pembuatannya yang unik menggunakan acuan logam loyang atau tembaga. Warna asal kuih loyang adalah keemasan, namun inovasi moden telah menghasilkan variasi dengan pelbagai warna bagi menarik minat generasi baharu.


Dari segi sejarah, kuih loyang dipercayai berasal dari India Selatan, khususnya Tamil Nadu dan Kerala, di mana ia dikenali sebagai Achu Murukku atau Achappam. Nama achappam berasal daripada bahasa Malayalam: “ach” bermaksud acuan atau loyang, manakala “appam” membawa maksud roti atau kuih. Di Tamil Nadu, ia dipanggil Achu Murukku, manakala di Andhra Pradesh ia dikenali sebagai Gulabi Puvvulu (bunga ros dalam bahasa Telugu), dan di Odisha pula disebut Mahunada Khaja. Kuih ini dikatakan diperkenalkan oleh pedagang Belanda dan Portugis ke India, seterusnya menjadi warisan dalam kalangan komuniti Inggeris-India, Kristian Goa, serta masyarakat Yahudi Malabar dan Nasrani Thomas yang turut menambah variasi seperti pelaga atau bijan hitam dalam adunan.


Pengaruh kolonial ini turut merebak ke negara lain. Di Sri Lanka, kuih ini dikenali sebagai Kokis, yang berasal daripada perkataan Belanda koekjes (biskut). Di Portugal ia disebut Rose de Coque, di Skandinavia dikenali sebagai Rosettes, di Mexico sebagai Buñuelos de Viento, di Sepanyol sebagai Flores Manchegas, di Indonesia sebagai Kembang Goyang, di Laos dan Thailand sebagai Kanom Dok Bua/Dok Jok (bererti bunga seroja), di Iran sebagai Nan Panjereh, dan di Bangladesh sebagai Fuljhuri Pitha. Kepelbagaian nama ini menunjukkan bahawa kuih loyang merupakan hasil silang budaya yang berkembang melalui perdagangan, kolonialisme dan pertukaran gastronomi antarabangsa.


Di Malaysia, nama “kuih goyang” merujuk kepada teknik pembuatannya, iaitu apabila acuan yang dicelup ke dalam adunan tepung cair dimasukkan ke dalam minyak panas lalu digoyangkan sehingga kuih tertanggal. Sementara itu, istilah “ros” merujuk kepada bentuknya yang menyerupai bunga ros, dan “loyang” pula bukan sahaja merujuk kepada bahan acuan yang diperbuat daripada logam, malah menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, juga bermaksud acuan kuih itu sendiri.


Menariknya, Kuih Loyang sangat popular di negeri Kedah dan dianggap sebagai salah satu kuih tradisi masyarakat Melayu di sana. Ia sering dijadikan hidangan wajib semasa kenduri, majlis keramaian, dan terutama pada Hari Raya Aidilfitri. Di Kedah, kepakaran menghasilkan Kuih Loyang diwarisi turun-temurun, dan ia menjadi sebahagian daripada identiti kulinari negeri tersebut. Ramai pengusaha kecil di Kedah juga menjadikan kuih ini sebagai sumber pendapatan tambahan, terutamanya menjelang musim perayaan apabila permintaannya meningkat.


Oleh itu, Kuih Loyang dan sejarahnya mencerminkan jejak pertembungan budaya antara Timur dan Barat, dengan perjalanan yang panjang daripada India Selatan ke Malaysia, dan seterusnya ke pelbagai pelusuk dunia. Di Malaysia, khususnya di Kedah, kuih ini terus kekal sebagai warisan kulinari yang dirai bukan sahaja sebagai hidangan perayaan, tetapi juga sebagai simbol kreativiti, kebersamaan, dan kepelbagaian budaya masyarakat.

Fungsi dan Peranan

Sebagai hidangan tradisional, Kuih Loyang berperanan utama sebagai makanan ringan yang disajikan ketika musim perayaan, majlis keramaian, atau sebagai kudapan harian. Rasanya yang manis lemak, teksturnya yang rangup, serta bentuknya yang indah menjadikannya pilihan yang digemari oleh semua peringkat umur. Kuih ini turut menjadi antara sajian yang sering disediakan semasa Hari Raya Aidilfitri dan musim perayaan lain termasuklah Deepavali dan Tahun Baru Cina.


Keunikan Kuih Loyang ialah ketahanannya yang mampu disimpan lama jika diletakkan di dalam bekas kedap udara. Hal ini menjadikannya sesuai dihidangkan dalam pelbagai acara tradisi seperti majlis tahlil, kenduri, pertunangan, mahupun majlis perkahwinan. Malah, ada juga yang menjadikan Kuih Loyang sebagai hadiah kepada tetamu atau dijadikan buah tangan untuk mereka yang hadir ke sesuatu majlis.


Selain itu, kuih Loyang turut mempunyai nilai komersial yang tinggi. Permintaan terhadap kuih ini meningkat terutama pada musim perayaan, lalu membuka peluang kepada pengusaha kecil, suri rumah, dan peniaga tempatan untuk menjadikannya sumber pendapatan. Bentuknya yang unik dan daya tahannya menjadikannya sesuai dipasarkan secara meluas, bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah berpotensi dijadikan produk cenderamata makanan tradisional.

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kuih loyang adalah sangat ringkas dan mudah diperoleh. Gabungan tepung, santan, gula, serta telur menghasilkan adunan yang cair tetapi pekat, sesuai untuk dicetak menggunakan acuan khas. Berikut adalah bahan-bahan membut kuih loyang;


  • 500 g tepung beras

  • 2 biji telur

  • 250 ml santan segar (boleh juga digantikan dengan santan kotak dengan sukatan yang sama)

  • 1 gelas gula pasir

  • 1 sudu kecil kapur makan

  • 400 ml air

  • 1 sudu kecil garam

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Proses penyediaan Kuih Loyang memerlukan ketelitian kerana melibatkan penggunaan acuan khas yang perlu dipanaskan dalam minyak sebelum dicelup ke dalam adunan. Teknik menggoyangkan acuan ketika menggoreng merupakan kunci untuk mendapatkan bentuk kuih yang cantik, rangup, dan tidak melekat. Walaupun kelihatan rumit pada peringkat awal, dengan latihan dan kawalan api yang baik, Kuih Loyang dapat dihasilkan dengan sempurna. Berikut adalah kaedah penyediaan kuih loyang;

Langkah 1: Menyediakan Adunan

  1. Satukan tepung beras, gula, garam, dan kapur makan dalam sebuah mangkuk besar.

  2. Masukkan santan, telur, dan air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga sebati.

  3. Pastikan adunan tidak berketul dan bertekstur cair tetapi sedikit pekat.

Langkah 2: Menyediakan Acuan dan Minyak

  1. Panaskan minyak masak dalam kuali menggunakan api sederhana.

  2. Rendam acuan loyang ke dalam minyak panas beberapa minit supaya benar-benar panas.

Langkah 3: Mencetak Kuih

  1. Angkat acuan yang telah dipanaskan, celupkan ke dalam adunan (jangan sampai penuh, biarkan sedikit ruang di bahagian atas acuan).

  2. Masukkan semula acuan yang berisi adunan ke dalam minyak panas.

  3. Goyangkan perlahan-lahan sehingga adunan tertanggal daripada acuan dan mengembang membentuk bunga loyang.

Langkah 4: Menggoreng

  1. Goreng kuih sehingga berwarna keemasan dan rangup.

  2. Angkat dan toskan minyak menggunakan penapis atau tisu dapur.

Langkah 5: Penyimpanan

  1. Biarkan kuih sejuk sepenuhnya.

  2. Simpan dalam bekas kedap udara supaya kekal rangup dan tahan lama.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Hanifah, M. F. B. M. (2018). The study of vibration motion of honey kuih loyang mold frame (Doctoral dissertation, Universiti Sains Malaysia).


Iskandar, T. (1984). Kamus Dewan (hlm. 350). Dewan Bahasa dan Pustaka.


Ismail, A. N. A. B. (2019). The vibration analysis of kuih loyang mold frame (Doctoral dissertation, Universiti Sains Malaysia).


Nyambar, N. (2019, Mei 18). Penganan Jala antara sajian kuih tradisi istimewa Hari Gawai. Astro Awani. Astro AWANI Network Sdn. Bhd. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penganan-jala-antara-sajian-kuih-tradisi-istimewa-hari-gawai-208246


Sedap, cantik, ringkas. (2015, Februari 22). [Artikel diarkibkan]. Dicapai pada 22 Februari 2015, daripada https://web.archive.org/web/20150222/http://example-link


Resipi kuih loyang: Kuih ros rangup memang terbaik. (n.d.). Rasa. Dicapai pada 7 Januari 2024, daripada https://www.rasa.my/resipi-kuih-loyang-kuih-ros-rangup-memang-terbaik/


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Mohammad Salleh bin Mahmud

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah
Kompleks JKKN Kedah Lot PTD 400, Pumpong 05250 Alor Setar KEDAH DARUL AMAN

011-10899646

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!