Gambar

3

Video

tiada

Pelawat Hari ini

4

Jumlah Pelawat

62

Pengenalan dan sejarah

Gulai umbut pisang merupakan salah satu hidangan tradisional Malaysia yang popular di negeri Kedah. Hidangan ini menggunakan bahagian teras lembut di dalam batang pisang yang dikenali sebagai umbut, iaitu bahagian pucuk lembut yang diambil setelah pokok pisang ditebang. Umbut pisang dimasak dalam kuah gulai yang kaya dengan santan dan rempah ratus, sering dipadankan dengan daging atau ayam tua untuk menghasilkan rasa yang lebih beraroma dan tekstur yang menyelerakan.


Asal-usul hidangan ini mencerminkan kreativiti masyarakat pribumi di negeri Kedah pada satu ketika dahulu yang memanfaatkan sepenuhnya pokok pisang terutamanya kerana tumbuhan ini sememangnya sangat serba guna. Selain buahnya yang dimakan masak atau dibuat kuih-muih, daun sebagai pembungkus makanan dan jantung pisang sebagai sayuran, batang pisang juga dijadikan bahan masakan. Walaupun pada asasnya batang pisang sering dianggap sebagai sisa atau bahan yang tidak bernilai, masyarakat tradisional di negeri Kedah telah berjaya mengolahnya menjadi pelbagai sajian enak, termasuk gulai, kerabu, ulam, rujak, keripik, dan pelbagai jenis masakan bersantan berempah.


Dari segi nilai pemakanan, batang pisang mengandungi pelbagai sebatian bioaktif yang bermanfaat kepada tubuh, seperti flavonoid, alkaloid, tanin, saponin, steroid, dan glikosida. Sebatian-sebatian ini sering dikaitkan dengan sifat antioksidan, anti-radang dan potensi menyokong kesihatan metabolisme. Walaupun aspek kesihatan hidangan ini lebih sesuai dihuraikan dalam bahagian fungsi dan peranan, secara ringkasnya, kandungan nutrien dan fitokimia dalam umbut pisang memberi nilai tambah kepada hidangan tradisional ini, menjadikannya bukan sekadar enak untuk disantap, tetapi juga berpotensi menyumbang kepada kesihatan tubuh.


Gulai umbut pisang bukan sahaja mewakili keaslian citarasa tradisi masyarakat di negeri Kedah, malah menjadi simbol kearifan tempatan dalam mengadaptasi sumber alam secara menyeluruh tanpa pembaziran. Hidangan ini hingga kini kekal sebagai warisan kulinari yang dihidangkan dalam majlis kenduri, perkahwinan, dan perayaan yang melambangkan kesyukuran serta manfaat hidangan daripada sumber semula jadi yang bermanfaat.

Fungsi dan Peranan

Gulai umbut pisang merupakan hidangan yang sesuai dinikmati pada waktu tengah hari atau makan malam, terutamanya bersama nasi putih dan pelbagai lauk sampingan lain. Hidangan ini sering menjadi pilihan utama kerana rasanya yang lemak, beraroma rempah, dan teksturnya yang lembut, menjadikannya sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat usia.


Dalam konteks budaya, gulai umbut pisang kerap dihidangkan sebagai sajian utama dalam majlis kenduri kampung, perkahwinan, atau sebarang keraian. Popularitinya dalam majlis-majlis ini bukan sahaja kerana rasanya yang enak, tetapi juga kerana bahan utamanya mudah didapati di kawasan kampung. Pokok pisang tumbuh subur di persekitaran desa dan boleh diperoleh tanpa kos yang besar,  malah dalam kebanyakannya, umbut pisang boleh didapati secara percuma hasil perkongsian antara jiran dan sanak saudara.


Dari sudut pemakanan dan kesihatan, umbut pisang kaya dengan serat, rendah kalori dan mengandungi pelbagai mineral penting seperti kalium dan vitamin C. Kandungan serat membantu melancarkan sistem pencernaan dan memberikan rasa kenyang lebih lama, sementara kalium berperanan penting dalam mengekalkan keseimbangan tekanan darah serta menyokong kesihatan jantung. Vitamin C pula berfungsi sebagai antioksidan semula jadi yang membantu meningkatkan sistem imun badan. Selain itu, sebatian bioaktif seperti flavonoid, alkaloid, tanin, saponin, steroid, dan glikosida yang terdapat dalam umbut pisang dikaitkan dengan sifat anti-radang, antioksidan dan potensi menstabilkan metabolisme tubuh.


Dari sudut ekonomi, gulai umbut pisang juga mempunyai potensi komersial yang besar. Selain disajikan secara segar di rumah, ia boleh diperkenalkan sebagai hidangan istimewa di restoran yang menawarkan masakan tradisional. Dengan penyampaian yang menarik dan promosi yang bersesuaian, ia berpotensi menjadi menu tarikan kepada pelancong, khususnya mereka yang ingin merasai pengalaman kulinari autentik masyarakat Melayu. Potensi ini juga membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk berasaskan umbut pisang, sama ada dalam bentuk hidangan siap dimakan atau bahan separa siap untuk memudahkan penyediaan di rumah.

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Untuk menyediakan Gulai Umbut Pisang, bahan-bahannya boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama. Pertama ialah bahan utama yang membentuk asas hidangan, termasuklah umbut pisang dan daging. Kedua ialah bahan tumis yang memberikan aroma dan rasa rempah ratus tradisional. Ketiga ialah bahan kisar yang menjadi asas kuah gulai dan membantu membangkitkan cita rasa hidangan ini.

Bahan Utama:

  • 3 kg batang pisang hutan (diambil bahagian umbut atau teras paling dalam)

  • 3 kg daging (campuran daging dan urat daging), dipotong kecil

  • ½ cawan minyak masak

  • 5 keping asam gelugur

  • Garam, gula, dan serbuk perasa secukupnya

  • 300 g serbuk kari daging

  • 200 g serbuk cili

  • 3 sudu besar kerisik

Bahan Tumis:

  • 500 g bawang besar, dihiris kasar

  • 500 g bawang merah

  • 2 labu bawang putih

  • 3 inci halia

  • 10 batang kulit kayu manis

  • 20 kuntum bunga cengkih

  • 10 kuntum bunga lawang

Bahan Kisar:

  • 500 g bawang besar

  • 1 labu bawang putih

  • 1 inci halia

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Langkah 1: Menyediakan Umbut Pisang

  1. Pilih batang pisang hutan yang sesuai dan tebang pada bahagian pangkal.

  2. Kupas lapisan luar batang pisang sehingga bertemu bahagian teras yang paling lembut berwarna putih (umbut).

  3. Hiris nipis umbut pisang menggunakan pisau tajam.

  4. Rendam atau rebus hirisan umbut pisang dalam air garam selama 15–20 minit untuk mengurangkan rasa kelat dan getah.

  5. Bilas dengan air bersih dan toskan.

Langkah 2: Menumis Rempah

  1. Panaskan minyak masak dalam periuk besar.

  2. Tumis bahan tumis (bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, kulit kayu manis, bunga cengkih, dan bunga lawang) sehingga naik bau dan kekuningan.

  3. Masukkan bahan kisar, tumis sehingga pecah minyak.

  4. Masukkan serbuk kari daging dan serbuk cili, kacau rata dan tumis sehingga rempah garing serta berbau harum.

Langkah 3: Memasak Daging dan Umbut

  1. Masukkan potongan daging ke dalam periuk, kacau sehingga sebati dengan rempah.

  2. Tambahkan sedikit air dan biarkan daging separuh empuk.

  3. Masukkan hirisan umbut pisang, gaul rata.

Langkah 4: Menyempurnakan Gulai

  1. Tambahkan air secukupnya untuk mendapatkan kuah gulai yang diingini.

  2. Masukkan asam gelugur, kerisik, garam, gula, dan serbuk perasa secukup rasa.

  3. Masak menggunakan api sederhana sehingga daging empuk, umbut pisang lembut, dan kuah menjadi pekat beraroma.

  4. Kacau sekali-sekala untuk mengelakkan kuah pecah minyak.

Langkah 5: Menghidang

  1. Hidangkan gulai umbut pisang panas-panas bersama nasi putih, sambal belacan, dan ulam kampung untuk menikmati cita rasa tradisional yang lengkap.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Alodokter.com. (2024, November 11). 7 manfaat pisang kepok yang sayang untuk dilewatkan. https://www.alodokter.com/7-manfaat-pisang-kepok-yang-sayang-untuk-dilewatkan


Cookpad. (n.d.). Resipi gulai umbut pisang [Resipi pengguna]. In Cookpad Malaysia. https://cookpad.com/my/recipes/16371453?view=search


Din, N., Bonari, B., Gani, N. I. A., & Li, C. (2021). A pilot study of nutritive profile and consumer’s acceptability of frozen Saba crispy. Environment-Behaviour Proceedings Journal, 6(17), 199–204. https://doi.org/10.21834/ebpj.v6i17.2893


Marhamah, S., & Putri, D. (2018). Kandungan fitokimia dan potensi antibakteri batang pisang kepok. Pharmademica: Jurnal Kefarmasian dan Gizi, 2(2), 32–39. https://jurnal.poltekkespim.ac.id/index.php/pharmademica/article/download/32/20/559


Orami.co.id. (2024, Disember 17). 7 potensi manfaat batang pisang untuk kesihatan. https://www.orami.co.id/magazine/manfaat-batang-pisang


Puskesmas Narmada. (2025, Mac 21). Manfaat batang pohon pisang untuk kesehatan. Dinas Kesehatan Kabupaten Lombok Barat. https://puskesmasnarmada-dikes.lombokbaratkab.go.id/artikel/manfaat-batang-pohon-pisang-untuk-kesehatan/


Putra, A. (2023). Fitokimia dan aktivitas biologis senyawa bioaktif pada pisang. Pharmademica: Jurnal Kefarmasian dan Gizi, 2(2), 71–78. https://jurnal.poltekkespim.ac.id/index.php/pharmademica/article/download/71/44/1201


Shaharuddin, N. B. (2013). Use of coconut milk versus dairy milk in Malaysian cuisines: Comparison of nutritional value (Doctoral dissertation). Universiti Putra Malaysia.


Widayati, D. (2019). Diversity of culinary ecolexicon of main cuisine in Malay communities on the east coast of North Sumatra. Jurnal Arbitrer, 6(2), 113–121.


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Mohammad Salleh bin Mahmud

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah
Kompleks JKKN Kedah Lot PTD 400, Pumpong 05250 Alor Setar KEDAH DARUL AMAN

011-10899646

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!