Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TONSOM/NONSOM BAMBANGAN
Makanan Tradisional
Gambar
4
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
29
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Tonsom/Nonsoom Bambangan
Sumber: Obsidian Soul
Tonsom Bambangan yang juga dikenali sebagai Nonsom Bambangan, merupakan salah satu hidangan tradisional ikonik masyarakat Kadazandusun di Sabah. Ia dihasilkan dengan menggunakan buah bambangan atau nama saintifiknya ‘Mangifera Pajang’ iaitu sejenis mangga liar dalam keluarga mangga dan kuini yang memiliki rasa masam dan aroma yang unik berbanding mangga biasa. Buah bambangan ini mempunyai kulit yang lebih tebal, tekstur yang lebih berserat serta kaya dengan khasiat pemakanan seperti vitamin C, antioksidan serta serat yang baik untuk kesihatan sistem pencernaan dan imuniti badan.
Foto 2: Buah Bambangan Sumber: Obsidian Soul
Perkataan “tonsom” atau “nonsom” berasal daripada bahasa Kadazandusun yang merujuk kepada proses menjeruk atau memeram, iaitu satu teknik tradisional pengawetan makanan secara semula jadi menggunakan garam. Oleh yang demikian, hidangan Tonsom Bambangan tergolong dalam kategori kulinari peraman dengan tujuan untuk menjadikannya tahan lebih lama dan boleh dimakan pada bila-bila masa. Amalan ini mencerminkan cara hidup masyarakat Kadazandusun pada zaman dahulu yang mementingkan penyediaan makanan tahan lama, khususnya ketika bekalan makanan segar terhad.
Teknik ini telah diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat pedalaman Sabah, jauh sebelum kewujudan teknologi penyejukan moden. Sejarah penggunaannya dalam masakan membuktikan kebijaksanaan masyarakat tempatan dalam memanfaatkan hasil hutan secara optimum sebagai sumber makanan yang berkhasiat, praktikal, dan sesuai dengan persekitaran mereka.
Tonsom Bambangan lazimnya dihidangkan sebagai lauk sampingan atau pembuka selera yang dimakan bersama nasi, sambal, atau ikan goreng. Rasa masam dan pedasnya membangkitkan selera, menjadikannya pilihan yang digemari dalam hidangan harian masyarakat tempatan. Lebih daripada sekadar makanan, Tonsom Bambangan turut memainkan peranan penting dalam pengekalan warisan budaya kulinari masyarakat Kadazandusun. Ia sering disajikan dalam majlis tradisi seperti Pesta Kaamatan, kenduri, dan perhimpunan keluarga sebagai simbol kemakmuran, kesederhanaan, dan jati diri etnik tempatan.
Dari aspek komersial, Tonsom Bambangan kini turut berfungsi sebagai produk makanan bernilai tambah yang dijual secara kecil-kecilan di pasar tani, gerai makanan tradisional, dan festival kebudayaan di Sabah. Sesetengah pengusaha tempatan telah membotolkan dan membungkus hidangan ini secara moden untuk tujuan jualan, menjadikannya lebih mudah dipasarkan sebagai produk warisan makanan etnik kepada pelancong dan pengguna luar kawasan. Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, malah membantu memperkenalkan masakan tradisional Sabah ke pasaran yang lebih luas, sekali gus menyumbang kepada usaha melestarikan warisan budaya kulinari Kadazandusun pada masa kini.
Foto 3: Jeruk Bambangan Secara Komersial
Sumber: Yasimi Sambal Traditional
Bahan Asas untuk Jeruk Bambangan:
3 biji buah bambangan – Gunakan bahagian isi dan biji (biji perlu disagat halus) untuk proses pemeraman.
1 sudu besar garam kasar – Digunakan untuk menjeruk isi dan biji bambangan.
Bekas kedap udara – Untuk menyimpan bahan jeruk semasa proses pemeraman (3–5 hari).
Bahan Tambahan untuk Tonsom (selepas jeruk siap):
2–3 biji bawang merah – Dihiris halus untuk menambah aroma dan rasa.
10–13 biji cili padi – Dihiris atau ditumbuk (boleh diganti dengan cili besar jika kurang suka pedas).
Jus limau nipis atau limau kasturi – Untuk memberikan rasa masam yang segar.
Sedikit gula (pilihan) – Untuk mengimbangkan rasa jika terlalu masam atau pedas.
Daun kesum atau bunga kantan (pilihan) – Untuk menambahkan aroma herba tempatan.
Berikut adalah cara penyediaan jeruk bambangan;
Kupas kulit buah bambangan dan dicuci bersih. Kemudian hiris buah bambangan dalam bentuk potongan dadu.
Belah biji buah bambangan dan kupas selaput putih kekuningan (ambil bahagian dalam yang lembut), lalu diparut sehingga halus.
Campur buah bambangan yang telah dipotong dadu dan biji yang telah diparut bersama garam secukupnya.
Jika ingin membuat kelainan, boleh tambahkan hirisan bawang merah dan cili padi mengikut selera masing-masing.
Gaulkan sebati dan masukkan ke dalam bekas kedap udara. Kemudian, peram selama lebih kurang seminggu dalam suhu bilik sebelum boleh dimakan.
Hidangkan tomsom bambangan dengan nasi atau lebih enak lagi, makan dengan sambal belacan.
Foto 4: Hidangan Jeruk Bambangan Sumber: Stella Jonnes
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Obsidian Soul. (2010, October 16). Nonsom Bambangan [Photograph]. Wikimedia Commons.
https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Nonsom_Bambangan.jpg
Mohd Izham Unnip Abdullah. (2016, Jun 5). Rawat kanser galak petani tanam bambangan. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/06/159866/rawat-kanser-galak-petani-tanam-bambangan
Jahurul, M., Zaidul, I., Beh, L., Sharifudin, Siddiquee, S., Hasmadi, M., Sahena, F., Mansoor, A., Lee, J., & Jinap, S. (2018). Valuable components of bambangan fruit (Mangifera pajang) and its co-products: A review. Food Research International, 115, 105–115. https://doi.org/10.1016/j.foodres.2018.08.017
Lin, J., Liu, S., Hu, C., Shyu, Y., Hsu, C., & Yang, D. (2015). Effects of roasting temperature and duration on fatty acid composition, phenolic composition, Maillard reaction degree and antioxidant attribute of almond (Prunus dulcis) kernel. Food Chemistry, 190, 520–528. https://doi.org/10.1016/j.foodchem.2015.06.004
Informan
Alice Kinsui. 69 Tahun. Kampung Bongkud, Ranau, Sabah. 6 Oktober 2024
Stella Jonnes. 34 Tahun. Kampung Bongkud, Ranau, Sabah. 6 Oktober 2024
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Kam Kam Riverside Joyful Garden, Kampung Bongkud, 89300 Ranau, Sabah





