PEKASAM PUYU

Makanan Tradisional

Gambar

1

Video

ada

Pelawat Hari ini

35

Jumlah Pelawat

674

Pengenalan dan sejarah

Pekasam ikan puyu amat popular di negeri Perlis sebagai juadah pembuka selera. Bahan asas sajian tradisi ini ialah ikan puyu, beras yang telah digoreng, asam jawa serta garam secukupnya. Bahan-bahan ini digaul bersama dan diperap selama sekitar empat hingga lapan minggu. Sama ada pada musim ikan puyu banyak ataupun tidak, aktiviti memancing di tali air, di negeri Perlis sememangnya suatu kebiasaan, tidak kira peringkat umur. Kanak-kanak juga handal memancing di tali-tali air dan sawah. Apabila tiba musim pula, lazimnya aktiviti ini dilakukan pada waktu petang, kerana pada ketika cuaca redup, ikan banyak timbul untuk mencari makan. 

Musim memancing puyu selalunya berlaku pada hujung tahun apabila anak puyu sudah besar dan boleh memakan umpan pada mata kail. Lebih tepat, puyu seronok dipancing pada musim menuai padi, iaitu sekitar Ogos hingga Oktober. Hal ini berikutan, jika bukan musim menuai padi, agak sukar untuk mendapat ikan kerana pada ketika itu air dari petak sawah dilepaskan ke tali air. Ikan akan turut masuk ke tali air dan semestinya susah untuk ikan memakan umpan. Masyarakat sekitar lebih gemar memancing atau mengail puyu berbanding membelinya di pasar kerana rasa ikan puyu sawah lebih sedap. Isi ikan puyu sawah dikatakan lebih manis berbanding ikan puyu yang dijual di pasar. Hal ini berikutan di bendang, anak puyu memakan bunga rumput, makanan alami yang menyebabkan isinya lebih enak.

Suatu perkara yang unik tentang masyarakat Perlis, puyu selalu dijadikan hidangan sekeluarga, tetapi bukan itu sahaja, puyu turut dijadikan pekasam untuk dimakan dalam tempoh yang lama serta untuk dijual. Menariknya, mengail puyu akhirnya bukan sahaja untuk menghilangkan bosan atau melepas gian, bahkan menjadi aktiviti domestik sihat kerana menjana ekonomi masyarakat. Inilah keunikan mengail puyu di tengah padang (bendang)!

Fungsi dan Peranan

- Aktiviti domestik

- Menjana ekonomi

- Kebijaksanaan lokal, proses penapaian ikan (jeruk atau pekasam) untuk dimakan berbulan lamanya


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

1 kg ikan puyu

1 mangkuk beras

1 cawan garam kasar

Air suam


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Gaul dengan garam kasar dan dibiarkan semalaman dalam bekas yang tertutup.

Beras (tak perlu dicuci) digoreng sehingga menjadi perang. Kisar sehingga halus.

Larutkan 1/2 cawan garam kasar dengan 3 cawan air suam.

Masukkan beras yang telah dikisar ke dalam air garam.

Ikan puyu yang telah diperap semalaman itu dibasuh terlebih dahulu untuk mengurangkan kemasinannya.

Celupkan ikan tadi seekor demi seekor ke dalam bancuhan beras dan susun di dalam bekas yang ditutup rapat. Biarkan selama seminggu.

Untuk rasa yang lebih padu, goreng sehingga garing dan masukkan bawang kemudian hidangkan bersama perahan limau nipis.

Pekasam ikan puyu boleh tahan selama 1-2 bulan sekiranya dibuat mengikut langkah yang tepat.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

-

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Siti Rohayu binti Muhamad

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis
Kompleks JKKN Perlis Persiaran Wawasan Kangar 01000 Kangar PERLIS

019-504 0015

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!