Gambar

10

Video

tiada

Pelawat Hari ini

4

Jumlah Pelawat

60

Pengenalan dan sejarah

Foto 1: Cek Mek Molek

Sumber: https://resipicitarasawan.blogspot.com


Cek Mek Molek merupakan sejenis kuih tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya di negeri Kelantan.  Asal-usul Cek Mek Molek dikaitkan dengan kreativiti masyarakat Pantai Timur dalam memanfaatkan hasil tanaman tempatan, khususnya keledek yang mudah didapati di kawasan berpasir. Di Kelantan, kuih ini dipercayai mula dikenali sejak awal abad ke-20, ketika keledek menjadi sumber makanan penting bagi penduduk kampung. 


Nama “Cek Mek Molek” muncul daripada bahasa pasar masyarakat setempat iaitu “cek mek” merujuk kepada anak dara manis, manakala “molek” bermaksud cantik. Nama ini dipercayai diberikan kerana bentuk kuih yang kecil, manis, dan menarik, seolah-olah menggambarkan keayuan gadis muda. Oleh itu, ada juga yang mengaitkan rupa bentuknya yang memanjang atau bujur tirus di kedua hujung, menyerupai ‘senyuman’ atau ‘lesung pipit’, sesuai dengan namanya yang membawa maksud “gadis cantik”.


Foto 2: Ubi Keledek

Sumber: Salina Jalaluddin


Ia diperbuat daripada ubi keledek rebus yang dilenyek halus dan digaul bersama tepung gandum, kemudian diisi dengan gula pasir sebelum digoreng sehingga keperangan. Rasanya yang manis di bahagian dalam dan lembut di luar menjadikan Cek Mek Molek kegemaran pelbagai lapisan umur, sama ada dimakan panas-panas atau ketika telah sejuk. 

Fungsi dan Peranan

Kuih ini lazimnya dinikmati sebagai hidangan minum petang bersama keluarga atau tetamu, dengan rasa manis gula cair di bahagian tengah serta kelembutan adunan keledek yang menjadi pelengkap suasana santai. Ia juga sering dihidangkan dalam pelbagai majlis keramaian seperti kenduri kahwin, majlis doa selamat, dan jamuan santai, sekali gus memeriahkan meja hidangan tradisional dan menarik perhatian tetamu dari pelbagai lapisan umur. Selain itu, Cek Mek Molek turut berperanan sebagai sumber pendapatan bagi pengusaha kecil, terutamanya peniaga pasar malam, gerai tepi jalan, dan penjual kuih tradisional, memandangkan kos penghasilan yang rendah serta permintaan yang sentiasa tinggi. Dalam konteks industri makanan pula, kuih ini kekal relevan walaupun berdepan persaingan daripada pelbagai kuih moden, malah kini turut dipasarkan dalam bentuk sejuk beku (frozen) untuk memudahkan penyediaan di rumah atau restoran, membuktikan daya tarikannya yang berterusan dalam pasaran tempatan.


Foto 3: Cek Mek Molek Sejuk Beku

Sumber: Ina Kitchen




Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Untuk menghasilkan Cek Mek Molek yang enak dan bertekstur sempurna, bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:


  • 500 gram ubi keledek oren/unggu – dibersihkan, direbus sehingga empuk, dan dilenyek halus.

  • 1 sudu teh garam – untuk menyeimbangkan rasa manis inti gula.

  • ½ cawan tepung gandum – berfungsi sebagai pengikat adunan ubi supaya mudah dibentuk.

  • 1 sudu besar tepung ubi kayu – membantu memberi kelembutan dan keanjalan pada kuih.

  • ½ sudu teh serbuk penaik (baking powder) – untuk menjadikan adunan lebih ringan.

  • Marjerin – pilihan untuk menjadikan terkstur yang lembut

  • Gula pasir secukupnya – dijadikan inti, memberikan rasa manis cair di bahagian tengah kuih.

  • Minyak masak secukupnya – untuk menggoreng kuih sehingga berwarna keemasan.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Berikut adalah kaedah cara penyediaan Cek Mek Molek;


Langkah 1: Penyediaan Ubi Keledek

  • Kupas kulit ubi keledek oren dan potong kepada beberapa bahagian kecil.

  • Rebus ubi keledek di dalam periuk berisi air sehingga empuk (lebih kurang 15–20 minit).

  • Angkat ubi yang telah masak, toskan airnya, dan lenyek halus ketika masih panas supaya mudah sebati.


Langkah 2: Penyediaan Adunan

  • Masukkan garam ke dalam ubi keledek yang telah dilenyek.

  • Tambahkan tepung gandum, tepung ubi kayu, marjerin dan serbuk penaik.

  • Gaul dan uli perlahan sehingga semua bahan sebati dan membentuk adunan lembut yang tidak melekat di tangan. Jika terlalu lembik, taburkan sedikit lagi tepung gandum.

    Foto 4: Lenyekkan Ubi Keledek Rebus

    Sumber: Bahiah Saripuddin

    Foto 5: Campurkan Semua Bahan 

    Sumber: Bahiah Saripuddin

Langkah 3: Membentuk Kuih

  • Cubit sedikit adunan (lebih kurang sebesar bola pingpong) dan leperkan di tapak tangan.

  • Letakkan sedikit gula pasir di bahagian tengah sebagai inti.

  • Lipat dan bentukkan menjadi bentuk bujur tirus di kedua-dua hujung, pastikan gula tertutup rapat supaya tidak keluar semasa menggoreng.

    Foto 6: Masukkan Inti Gula Kasar 

    Sumber: Bahiah Saripuddin

Langkah 4: Menggoreng

  • Panaskan minyak masak dalam kuali menggunakan api sederhana.

  • Goreng kuih secara berperingkat sehingga berwarna keemasan.

  • Angkat dan toskan minyak berlebihan menggunakan tisu dapur.

Langkah 5: Penyajian

  • Hidangkan Cek Mek Molek ketika masih panas untuk menikmati gula cair yang manis di dalamnya.

  • Kuih ini sesuai dinikmati bersama minuman panas seperti teh atau kopi, terutamanya waktu minum petang.

    Foto 7: Lipat dan bentukkan menjadi bentuk bujur tirus

    Sumber: Bahiah Saripuddin

    Foto 8: Susun Cek Mek Molek dengan Saiz yang Seragam

    Sumber: Bahiah Saripuddin

    Foto 9: Goreng Cek Mek Molek Sehingga Warna Keemasan 

    Sumber: Bahiah Saripuddin

    Foto 10: Hidangan Cek Mek Molek

    Sumber: Bahiah Saripuddin




















Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan


Resipi Citarasawan. (2020, April 15). Kuih cek mek molek. Dalam Resipi Citarasawan. https://resipicitarasawan.blogspot.com/2020/04/kuih-cek-mek-molek.html


Cookpad. (n.d.). Kuih cek mek molek. Dalam Cookpad Malaysia. https://cookpad.com/my/recipes/17199484?ref=search&search_term=cek+mek+molek


Haiqal Hitoshi [@haiqalhitoshi]. (2020, Jun 8). Kuih cek mek molek [Tweet]. X. https://x.com/haiqalhitoshi/status/1270216367157870592?lang=bg

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Wan Mohd Rosli bin Wan Sidik

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan
Kompleks JKKN Kelantan Lot 1993, Seksyen 49,Tanjong Chat, 15200, Kota Bharu, KELANTAN DARUL NAIM

09-741 7000

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!