Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
KUIH BADAK KUBANG
Makanan Tradisional
Gambar
12
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
1
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Kuih Badak Kubang
Sumber: Munch Malaysia
Kuih Badak Kubang memainkan peranan penting sebagai salah satu sajian tradisional yang mengisi ruang hidangan harian dan juga acara istimewa masyarakat di negeri Pahang. Ia sesuai dinikmati sebagai sarapan pagi yang mengenyangkan atau kudapan minum petang yang manis dan berlemak. Selain itu, kuih ini turut menjadi pilihan utama dalam majlis-majlis rasmi, kenduri kahwin, jamuan perayaan, dan acara keramaian lain, melambangkan kemesraan tuan rumah dalam meraikan tetamu.
-
Bahan-bahan untuk membuat Kuih Badak Kubang terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu bahan inti dan bahan kuih/doh. Berikut adalah senarai ramuan yang perlu disediakan.
Bahan Inti
3 keping kecil gula melaka (ditumbuk atau dipotong halus)
½ cawan gula pasir
3 helai daun pandan (disimpul)
Secubit garam
1 cawan air
1 biji kelapa parut (ambil bahagian putih sahaja)
2 sudu besar tepung gandum
Bahan Kuih Badak Kubang
2 cawan tepung pulut
½ cawan tepung pulut hitam
Air secukupnya
1 kg santan segar
1 sudu besar gula
2 sudu besar tepung gandum
Daun pisang secukupnya (untuk alas kukusan)
Sedikit minyak (untuk sapuan)
Langkah 1: Menyediakan Inti
Masukkan semua bahan-bahan inti seperti gula melaka, gula pasir, daun pandan, garam, dan air ke dalam kuali.
Masak di atas api sederhana sambil dikacau hingga gula larut sepenuhnya dan larutan mendidih.
Masukkan kelapa parut, gaul rata dan teruskan memasak sehingga inti hampir kering.
Taburkan tepung gandum, kemudian kacau sehingga inti menjadi kering dan masak sepenuhnya.
Tutup api dan biarkan inti sejuk.
Langkah 2: Menyediakan Doh
Panaskan pengukus terlebih dahulu.
Alas loyang pengukus dengan potongan daun pisang berbentuk bulat, kemudian sapu sedikit minyak untuk mengelakkan kuih melekat.
Di dalam mangkuk besar, satukan tepung pulut, tepung pulut hitam, dan sedikit garam. Kacau hingga sebati.
Masukkan air sedikit demi sedikit sambil diuli sehingga adunan menjadi doh lembut seperti adunan kuih buah melaka.
Cubit doh bersaiz kecil, leperkan di tapak tangan, kemudian letakkan inti kelapa di bahagian tengah.
Tutup inti dengan doh dan bentukkan menjadi bebola bulat. Susun bebola doh di atas daun pisang yang telah disediakan.
Langkah 3: Menyediakan Kuah Santan dan Mengukus
Dalam mangkuk, satukan santan, tepung gandum, garam, dan gula. Gaul hingga sebati.
Untuk hasil lebih halus, kisar atau tapis bancuhan santan ini sebelum digunakan.
Tuangkan bancuhan santan ke dalam loyang, tetapi jangan sampai penuh bagi mengelakkan limpahan semasa mengukus.
Susun doh yang telah diisi inti ke dalam loyang berisi santan.
Kukus menggunakan api sederhana selama 10–15 minit atau sehingga kuih masak sepenuhnya.
Angkat dan sedia dihidangkan.
Foto 2: Masukkan campuran bahan-bahan inti
Sumber: Dapurfaafeefoo.com
Foto 3: Masukkan kelapa parut dan tepung gandum
Sumber: Dapurfaafeefoo.com
Foto 4: Masak sehingga menjadi likat dan sebati
Sumber: Dapurfaafeefoo.com
Foto 5: Satukan tepung pulut, tepung pulut hitam, dan sedikit garam.
Sumber: Dapurfaafeefoo.com
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Cookpad. (n.d.). Kuih Badak Kubang. Cookpad Malaysia. https://cookpad.com/my/recipes/15418174
Fauzi, F. A., Jamil, J., & Majid, H. N. A. (2022). Dari Perlis ke Sabah: Warna-warni kuih-muih warisan Malaysia. Pelestarian makanan warisan Melayu diwarisi sejak zaman ke zaman, peliharalah hidangan setiap satu, jadikan panduan juga rujukan (hlm. 133).
Mohamad Abdullah, K., Ismail, F. H., Zamzuri, N. H., Abdul Aziz, S. A., & Muhamad, R. (2020). Pahang food terminologies: Young generations’ understanding and usage. Journal of Tourism, Hospitality & Culinary Arts, 12(1), 1–9.
RASA. (n.d.). Kuih Badak Kubang Bunga Telipok sedap sungguh rasanya. RASA. https://www.rasa.my/kuih-badak-kubang-bungatelipok-sedap-sungguh-rasanya/
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Norlelah Abd Karim
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang
Kompleks JKKN Pahang
Lot 57100, Jalan Teluk Sisek,
25000, Kuantan,
Pahang Darul Makmur
09-517 8466
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris




