Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
LOMPAT TIKAM
Makanan Tradisional
Gambar
3
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
23
Pengenalan dan sejarah
Foto 1: Hidangan Lompat Tikam
Sumber: https://resipicitarasawan.blogspot.com
Kuih Lompat Tikam merupakan salah satu manisan tradisional yang popular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya di negeri Kelantan. Keunikan kuih ini terletak pada kombinasi tiga elemen utama iaitu lapisan tepung berwarna hijau berperisa pandan, lapisan santan putih yang lemak berkrim dan hidangan sampingan pulut berwarna merah yang dimakan bersama air gula nise (gula Melaka) yang manis pekat. Lapisan putihnya biasanya sedikit masin untuk menyeimbangkan rasa lemak dan manis. Kuih ini lazimnya dihidangkan pada waktu minum petang, sering dinikmati bersama secangkir kopi atau teh panas.
Asal-usul nama Lompat Tikam dikaitkan dengan sebuah kisah dongeng yang dipercayai bermula pada zaman Kerajaan Majapahit sekitar tahun 1700, ketika sebuah hadiah ingin dipersembahkan kepada Kerajaan Kelantan. Menurut cerita lisan, beberapa orang dayang telah diperintahkan membawa dulang berisi sejenis kuih dengan penuh berhati-hati. Namun, salah seorang daripada mereka tersandung akibat tersepak bendul istana. Kejadian itu mengejutkan Sultan Kelantan, yang secara spontan melompat terkejut lalu secara tidak sengaja menikam dayang tersebut. Sebagai tanda mengingati peristiwa itu, baginda menamakan kuih tersebut sebagai “Lompat Tikam”.
Walaupun kisah ini menarik untuk didengar, ia hanyalah mitos tanpa bukti sejarah yang sahih. Hakikatnya, kuih Lompat Tikam telah sekian lama menjadi sebahagian daripada warisan kulinari masyarakat Kelantan, diwarisi turun-temurun dan masih kekal popular sehingga hari ini. Penyediaannya yang ringkas tetapi memerlukan ketelitian dalam membentuk lapisan warna menjadikannya bukan sekadar hidangan, tetapi juga cerminan kreativiti dan kemahiran masyarakat setempat.
Dalam konteks gastronomi tradisional masyarakat Pantai Timur, Lompat Tikam bukan sekadar hidangan manisan tradisional, tetapi juga sebahagian daripada identiti budaya yang menghubungkan rasa, memori, dan nilai sosial. Fungsi utamanya sebagai hidangan manisan waktu minum petang telah menjadikannya pilihan yang mudah dikenali di meja-meja rumah kampung mahupun di gerai-gerai tepi jalan. Disajikan bersama secangkir kopi atau teh panas, ia menjadi penghubung perbualan santai di serambi rumah dan menjadi salah satu hidangan yang sentiasa dihidangkan.
Di samping itu, Lompat Tikam sering menjadi hidangan istimewa dalam majlis keramaian seperti kenduri kahwin, pertunangan, dan kenduri kesyukuran. Keistimewaan ini bukan sahaja terletak pada rasanya, tetapi juga pada proses penyediaannya yang ringkas dan mudah dilakukan secara gotong-royong atau rewang. Proses membuat kuih ini biasanya melibatkan pembahagian tuga, ada yang mengacau lapisan hijau, ada yang menyiapkan santan putih, dan ada pula yang memasak air gula nise. Ironi ini menjadikan ia bukan sekadar aktiviti kulinari, tetapi juga medium pengukuhan hubungan sosial dan silaturahim.
Dari sudut komersial, Lompat Tikam mempunyai nilai ekonomi yang tersendiri. Ia kerap menjadi produk tempahan untuk majlis-majlis tertentu dan merupakan salah satu menu wajib bagi peniaga kecil di pasar pagi, pasar tani, dan bazar Ramadan. Kos pembuatannya yang relatif rendah berbanding permintaan yang konsisten menjadikannya sumber pendapatan lumayan, terutama bagi suri rumah dan pengusaha makanan tradisional berskala kecil. Dengan kebolehan untuk disesuaikan mengikut citarasa , sama ada menambah pulut merah, mengubah kemanisan air gula, atau mempercantik lapisan warna, Lompat Tikam kekal relevan dan mampu bersaing dengan pelbagai pencuci mulut moden di pasaran.
Secara keseluruhannya, Lompat Tikam mengisi peranan sebagai manisan warisan yang bukan sahaja memuaskan selera, tetapi juga berfungsi sebagai simbol keterhubungan sosial, medium perayaan, dan sumber ekonomi komuniti. Ia membuktikan bahawa sebuah hidangan tradisional boleh melangkaui sekadar fungsi pemakanan, menjadi sebahagian daripada naratif budaya yang terus hidup dan berkembang dari generasi ke generasi.
Foto 2: Produk Komersial Kuih Lompat Tikam
Sumber: Rapidah Ahmad
-
Bahagian ramuan kuih Lompat Tikam dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu lapisan hijau, lapisan putih santan, pulut merah, dan air gula Melaka (nise) yang melengkapkan keseluruhan hidangan. Gabungan keempat-empat komponen ini menjadikan kuih Lompat Tikam bukan sahaja enak dipandang, malah memikat selera.
Bahagian Hijau
1 ½ cawan tepung beras
1 sudu kecil air kapur (gunakan bahagian air yang jernih sahaja)
1 cawan air daun pandan (diperah daripada daun pandan segar)
2 titis pewarna hijau
2 cawan air putih
Bahagian Putih (Kepala Santan)
1 kotak santan pekat atau 1 biiji kelapa parut
1 sudu teh garam
1–2 sudu besar tepung beras (dibancuh dengan sedikit air)
Pulut Merah
1 cawan beras pulut susu (direndam seketika sebelum dimasak)
1 sudu besar minyak masak
¼ sudu teh garam
4 titis pewarna merah
Air Gula Melaka/Nise
1 keping gula Melaka/nise
1 cawan air
1 helai daun pandan (disimpul)
Langkah 1: Menyediakan Bahagian Hijau
Di dalam periuk, satukan tepung beras, air kapur, air daun pandan, pewarna hijau, dan air biasa.
Kacau adunan sehingga sebati dan tidak berketul.
Letakkan periuk di atas api sederhana dan kacau berterusan sehingga adunan menjadi pekat, licin, dan berkilat.
Tuangkan adunan pekat ini ke dalam loyang atau bekas hidangan, ratakan permukaannya, dan biarkan sejuk sedikit.
Langkah 2: Menyediakan Bahagian Putih (Kepala Santan)
Satukan santan pekat dengan garam di dalam periuk.
Bancuh tepung beras dengan sedikit air, kemudian masukkan ke dalam campuran santan.
Masak di atas api perlahan sambil dikacau tanpa henti sehingga santan menjadi pekat dan berkrim.
Tuangkan lapisan santan ini di atas lapisan hijau yang telah sejuk sedikit, kemudian ratakan.
Langkah 3: Menyediakan Pulut Merah
Toskan beras pulut susu yang telah direndam.
Masukkan ke dalam pengukus bersama minyak masak, garam, dan pewarna merah.
Kukus sehingga pulut masak sempurna dan kelihatan lembut serta berwarna sekata.
Langkah 4: Menyediakan Air Gula Melaka (Nise)
Masukkan gula Melaka, air, dan daun pandan ke dalam periuk.
Masak di atas api sederhana sehingga gula larut sepenuhnya.
Tapis air gula untuk membuang sebarang kekotoran, kemudian ketepikan.
Langkah 5: Menghidang Kuih Lompat Tikam
Potong kuih Lompat Tikam (lapisan hijau dan putih) mengikut saiz yang diingini.
Hidangkan bersama pulut merah di sisi.
Siram dengan air gula Melaka secukupnya sebelum dinikmati.
Foto 3: Empat Elemen Utama Lompat Tikam
Sumber: Zaleha Mat Ali
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Cookpad. (n.d.). Kuih lompat tikam. Cookpad. https://cookpad.com/my/recipes/14857633?view=search
Discovery Terengganu. (n.d.). Kuih lompat tikam. https://www.discoveryterengganu.com/kuih-lompat-tikam/
Mawardi, Y. (2022, Ogos 2). Asal usul nama kuih lompat tikam. Mawardi Yunus. https://www.mawardiyunus.com/2022/08/asal-usul-nama-kuih-lompat-tikam.html
Cookpad. (n.d.). Resepi kuih lompat tikam. Cookpad. https://cookpad.com/my/recipes/15241109?ref=search&search_term=lompat+tikam
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Wan Mohd Rosli bin Wan Sidik
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan
Kompleks JKKN Kelantan
Lot 1993, Seksyen 49,Tanjong Chat,
15200, Kota Bharu,
KELANTAN DARUL NAIM
09-741 7000
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris




