ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM ORANG SUNGAI BULUDUPI DI KINABATANGAN: ADAT PERKAHWINAN
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah


Bangsa Orang Sungai merupakan salah satu suku kaum asli yang mendiami Negeri Sabah, Malaysia. Etnik ini kebanyakannya terdapat di daerah Kinabatangan, Sandakan, Beluran, Tongod, Pitas, Membakut, Sugut, dan Paitan. Secara etnografik, Bangsa Sungai tergolong dalam gugusan suku kaum Kadazan-Dusun kerana perkongsian adat resam dan bahasa yang hampir serupa. Terdapat sekitar 30 sub-etnik yang dikenali dalam komuniti Orang Sungai, antaranya Buludupi Idahan, Milian, Liwago, Begahak, Bengkoka, Dewara, Dumpas, Inokang, Kuamut, Lingkabau, Mangkaak, Paitan, dan lain-lain. Setiap sub-etnik ini mempunyai identiti dan warisan budaya tersendiri yang mencerminkan kepelbagaian etnik di Sabah.


Etnik ini memiliki adat resam yang kaya, sama seperti suku kaum lain di Sabah. Namun, bagi masyarakat Orang Sungai yang beragama Islam, beberapa adat yang bertentangan dengan ajaran agama telah diubah atau dihapuskan selaras dengan proses asimilasi budaya Melayu. Proses ini melibatkan pengadaptasian amalan seperti perkahwinan, berkhatan, akikah, dan lain-lain. Oleh itu, tidak menghairankan jika adat resam Orang Sungai kini mempunyai banyak persamaan dengan adat masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia. Ditambah pula dengan budaya yang dipengaruhi oleh perkahwinan campur telah menyumbang kepada penggabungan dan evolusi elemen budaya mereka. Walau bagaimanapun, beberapa adat tetap dikekalkan sebagai warisan dan panduan untuk generasi akan datang, khususnya dalam konteks adat perkahwinan.


Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

KAEDAH/CARA PENYEDIAAN/CARA PERSEMBAHAN

Struktur adat perkahwinanan Orang Sungai Suku Buludupi di Kinabatangan terbahagi kepada tujuh tahap yang bermula daripada adat merisik sehinggalah kepada majlis sambut menantu. Berikut proses atau tahap dalam adat perkahwinan etnik Orang Sungai;


1. Jarum-Jarum (Merisik)

Dalam tradisi Jarum-Jarum iaitu adat merisik, keluarga pihak lelaki biasanya menghantar seorang atau dua wakil ke rumah keluarga perempuan untuk mendapatkan maklumat tentang status gadis yang dimaksudkan. Tujuan merisik adalah untuk memastikan sama ada gadis tersebut masih bujang, sudah bertunang, atau telah berkahwin. Jika gadis tersebut masih bujang, wakil pihak lelaki akan menyampaikan hasrat bahawa keluarga mereka akan datang meminang pada tarikh yang akan ditentukan. Proses ini berfungsi sebagai langkah awal untuk memastikan kesesuaian sebelum melangkah ke peringkat pertunangan.


2. Menawo (Meminang)

Adat Menawo yang bermaksud adat meminang, merupakan salah satu elemen penting dalam adat istiadat perkahwinan tradisional etnik Orang Sungai Buludupi. Ia berfungsi sebagai langkah awal perundingan rasmi antara keluarga lelaki dan perempuan sebelum ikatan perkahwinan dilangsungkan. Dalam amalan ini, kedua-dua pihak biasanya melantik wakil sebagai jurucakap untuk perbincangan. Wakil-wakil yang dilantik terdiri daripada individu yang berpengalaman dalam adat perkahwinan, fasih berbicara, dan bijaksana dalam menyampaikan maksud. Kebijaksanaan jurucakap ini memainkan peranan penting dalam memastikan perundingan berjalan dengan harmoni dan tidak menimbulkan rasa terguris kepada mana-mana pihak, terutama apabila keputusan yang dicapai tidak memihak kepada satu pihak.


Sehubungan itu, majlis Menawo lazimnya dimulakan dengan penyerahan Pengawang Basaro atau pembuka mulut oleh pihak lelaki kepada keluarga perempuan. Pengawang basaro ini membawa simbolik mendalam, melambangkan rasa hormat, budi pekerti yang luhur, dan kesungguhan pihak lelaki dalam menyampaikan hasrat untuk meminang perempuan. Barangan yang disertakan dalam Pengawang Basaro termasuk wang tunai, sebilah parang bersarung, gulungan kawat, sebentuk cincin, serta beg pakaian lelaki yang akan ditinggalkan di rumah perempuan sebagai simbol pertunangan. Selain itu, Belanja Badung iaitu bayaran perbelanjaan jamuan majlis peminangan turut diserahkan kepada tuan rumah sebagai tanda penghargaan dan menghormati pihak perempuan yang telah mengeluarkan belanja jamuan untuk majlis peminangan ini.


Jika persetujuan dicapai di antara kedua belah pihak, jumlah hantaran atau Ssur dalam bahasa Orang Sungai akan ditetapkan sekali  dengan mas kahwin. Lazimnya, jumlah hantaran ini akan ditetapkan oleh pihak perempuan dengan anggaran hantaran sebanyak RM 10 ribu hingga RM 30 ribu, tergantung dengan kekuatan ekonomi si lelaki atau kemampuan pihak keluarganya. Mas kahwin pula lazimnya adalah dalam jumlah RM 100 hingga RM 300. Setelah kata sepakat dicapai, sesi penyarungan cincin emas dilakukan sebagai Penando iaitu tanda setuju penerimaan pinangan. Cincin disarungkan oleh wakil pihak lelaki (ibu) ke jari manis si gadis yang dipinang. Ia menandakan bahawa si gadis telah terikat secara rasmi dalam tempoh pertunangan. Sepanjang tempoh ini, gadis tersebut perlu menjaga tata susila dan pergaulannya untuk mengelakkan fitnah yang boleh menjejaskan status pertunangan.


Selain itu, adat Kelangkahan atau Langkah Bendol turut dibincangkan dalam majlis ini, sekiranya adik perempuan mendahului abang atau kakaknya untuk berkahwin. Adat ini memerlukan persetujuan bersama kedua-dua pihak untuk menentukan bentuk pelaksanaan. Satu lagi aspek penting dalam adat Menawo ialah penentuan tempoh dan tarikh penghantaran hantaran (ssur) oleh pihak lelaki, yang menjadi tanda persiapan akhir menuju majlis pernikahan.


3. Mengossur (Penyerahan Hantaran)

Pada majlis Mengossur, semua hantaran permintaan pihak perempuan perlu diserahkan selengkap-lengkapnya dengan penuh adat istiadat. Kedua belah pihak perlu membuat penyataan dengan merujuk jumlah permintaan ssur yang dipersetujui sebelum ini. Pada kebiasaannya, semua hantaran diletakkan di dalam dulang dengan dihiasi kraftangan yang halus. Selalunya pihak perempuan akan membalas dulang hantaran pihak lelaki sebagai tanda kasih dan sukacita sempena majlis penyerahan hantaran. Bilangan dulang hantaran diharuskan dalam bilangan ganjil dan tidak ditentukan jumlahnya. Manakala bilangan dulang balasan pihak perempuan selalunya melebihi bilangan dulang hantaran pihak lelaki. Pada majlis ini, tarikh perkahwinan dan aturcara majlis nikah akan ditentukan oleh wakil kedua belah pihak.


4. Gabbpie Tullau (Malam Berinai)

Majlis ini akan berlangsung pada sebelah malam iaitu sehari sebelum majlis akad nikah diadakan keesokan harinya. Pihak pengantin lelaki akan menghantar set kelengkapan untuk majlis berinai kepada pihak perempuan. Kedua-dua pengantin akan mengadakan majlis ini secara berasingan di rumah masing-masing dengan dihadiri oleh kaum keluarga terdekat sahaja. Pengisian acara pada malam berinai pada kebiasaanya diserikan dengan acara bertimbang iaitu majlis cukur jambul, membaca berzanji, marhaban dan khatam Al-quran. Mengikut pantang larang suku kaum Orang Sungai Buludupi, kedua pengantin digalakkan Tullau iaitu berjaga di sepanjang malam untuk mengelakkan mendapat mimpi yang tidak baik.


5. Nagnikah (Akad Nikah)

Pada keesokan harinya, kedua pengantin dinikahkan di rumah keluarga pengantin perempuan. Majlis pernikahan ini berlaku mengikut tuntutan ajaran agama Islam namun turut disertakan dengan beberapa struktur adat agar memastikan kedua-dua pasangan sah digelar suami isteri. Antara adat-adat tersebut adalah;


Adat Okab Lawing

Adat Okab Lawing yang bermaksud "membuka pintu," adalah sebuah tradisi yang dilakukan sebelum atau selepas sahnya akad nikah. Jika dilaksanakan sebelum majlis pernikahan bermula, wakil atau pengiring pengantin lelaki akan menyerahkan hadiah berupa wang tunai kepada wakil pihak pengantin perempuan sebagai tanda untuk memulakan proses akad. 


Namun, adat ini lebih lazim dilaksanakan selepas akad nikah disempurnakan. Tujuan adat  ini dilakukan adalah sebagai simbolik si suami menyunting pengantin perempuan yang kini sah menjadi isteri. Ia juga berfungsi sebagai simbolik bayaran hak kepada si suami untuk menyentuh isterinya, menandakan terjalinnya hubungan yang halal dan ikatan perkahwinan yang sah.


Setelah selesai melaksanakan adat Okab Lawing,  si pengantin lelaki akan dipimpin  oleh ayah mertuanya untuk bersalaman dengan seisi keluarga pihak perempuan dan para tetamu yang hadir. Usai bersalaman, imam akan memimpin bacaan doa kesyukuran dan pengantin akan diarak masuk ke bilik pengantin perempuan.


Adat Pengawang Ambat-Ambat (Buka pagar)

Apabila pengantin lelaki tiba di hadapan bilik pengantin perempuan, tradisi adat Pengawang Ambat-Ambat akan dilakukan atau sering dirujuk sebagai adat “buka pagar”. Adat ini mengkehendaki kaum wanita yang terdiri daripada ibu saudara, adik-beradik, sepupu, atau rakan karib pengantin perempuan melakukan sekatan di balik pintu atau tirai-tirai berlapis yang menyelindungi pengantin perempuan. Mereka akan meminta bayaran atau hadiah sebagai syarat untuk membuka halangan tersebut.


Dalam adat ini, pengapit atau pengiring pengantin lelaki memainkan peranan penting untuk memastikan halangan tersebut dapat dileraikan. Proses ini biasanya melibatkan sesi rundingan seperti beradu pantun, gurauan mesra, atau perbincangan nilai bayaran. Aktiviti ini lazimnya dilaksanakan dalam suasana yang meriah dan penuh kegembiraan, mencerminkan elemen budaya dan hubungan sosial yang erat dalam komuniti tersebut.


Adat Penemmil (menepung tawar) 

Setelah pengantin lelaki berjaya menembusi setiap halangan dan sekatan dalam adat buka pagar, kedua-dua mempelai akan menjalani adat Penemmil iaitu adat menepung tawar. Dalam upacara ini,  ibu bapa daripada kedua-dua belah pihak dan sanak saudara terdekat akan menepung tawar mempelai sebagai simbolik doa restu dan keberkatan ke atas pasangan pengantin. Tradisi ini juga melambangkan penyatuan dua keluarga serta harapan dalam meraikan ahli keluarga baharu.


Adat Menemo (suap-menyuap)

Acara seterusnya dalah dengan melakukan adat Menemo iaitu upacara suap menyuap yang dilakukan oleh wakil keluarga perempuan yang mempunyai posisi atau kedudukan terpandang dalam keluarga. Wakil keluarga tersebut akan menyuap kedua-dua mempelai dengan nasi putih yang dikepalkan dan telur ayam rebus. 



Adat Baring Tarugan 

Kemudian, kedua-dua pengantin akan dibaringkan serentak sebanyak tiga (3) kali berturut-turut di atas Tarugan atau katil kelamin oleh wakil keluarga yang telah dilantik. Proses ini disertai dengan sorakan gemuruh daripada ahli keluarga yang hadir di dalam bilik tersebut, menambahkan suasana kemeriahan. Setelah adat ini selesai, wakil keluarga tersebut akan memimpin pasangan pengantin keluar dari bilik untuk meneruskan majlis bersanding.


6. Nagsanding (Majlis Persandingan)

Kedua pengantin akan disandingkan di atas sebuah singasana raja sehari. Tujuan majlis ini dilaksanakan adalah untuk mempertontonkan kepada orang ramai tentang mereka yang terlibat dalam majlis perkahwinan pada hari tersebut. Ketika ini acara merenjis disempurnakan oleh kaum keluarga kedua belah pihak dan beberapa orang kenamaan sebagai tanda restu perkahwinan tersebut.


Majlis ini lazimnya diulangi pada malam ketiga, dikenali sebagai Ratub Tello’, dan pada malam ketujuh, yang disebut Ratub Turu’. Sebelum tempoh tujuh hari selesai, pasangan pengantin dilarang untuk memijak tanah sebagai sebahagian daripada pantang larang adat yang bertujuan menjaga kesejahteraan mereka. Dalam tempoh berpantang ini, pengantin akan diberikan bimbingan khusus melalui sesi nasihat oleh tok guru dan mak andam yang berpengalaman, bagi mempersiapkan mereka untuk menghadapi kehidupan rumah tangga. Selain itu, Majlis Makan Beradab turut diadakan sepanjang tempoh ini sebagai simbol penghormatan dan peneguhan nilai budaya dalam institusi perkahwinan.


7. Tingkuang (Majlis Sambut Menantu)

Selepas genap tujuh hari, pihak pengantin lelaki akan membawa isterinya pulang ke rumah keluarga suami untuk diperkenalkan secara rasmi kepada ahli keluarganya. Tradisi ini melambangkan fasa baru dalam kehidupan pasangan pengantin, iaitu sebagai sebahagian daripada keluarga besar pengantin lelaki. Sebelum memasuki rumah atau kawasan rumah, adat Penemmil akan dilaksanakan sebagai simbolik keberkatan dan kesejahteraan untuk pasangan tersebut. Dalam upacara ini, kedua-dua pengantin akan melangkah secara bergilir ke dalam dulang tembaga yang diisi dengan pelbagai ramuan tradisional, seperti beras, bunga, dan daun-daun atau bunga-buangaan tertentu yang dipercayai membawa maksud kebaikan dan perlindungan. Ramuan ini dikenali sebagai ramuan Penemmil, yang diwarisi turun-temurun dalam adat masyarakat Orang Sungai.


Seterusnya, sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah, kedua-dua pengantin akan ditaburi dengan beras kunyit atau disebut sebagai Begkas Bianing. Ia adalah simbolik rasa kesyukuran kepada Tuhan atas kelancaran perjalanan perkahwinan mereka. Simbolik ini juga dipercayai membawa keberuntungan dan kebahagiaan kepada rumah tangga mereka. 


Dalam majlis ini, pengantin perempuan akan menerima hadiah istimewa yang dikenali sebagai Pengennik daripada keluarga pengantin lelaki. Hadiah ini diberikan sebagai tanda kasih sayang dan penerimaan rasmi pengantin perempuan sebagai anggota baru dalam keluarga. Pengennik biasanya berupa barang yang bernilai seperti perhiasan barang kemas, kain tradisional, atau barang lain adat keturunan keluarga si lelaki.


Sebagai penutup majlis, doa kesyukuran akan dibacakan oleh seorang imam, mengiringi harapan agar pasangan pengantin diberikan kehidupan yang bahagia dan dirahmati. Selepas selesai majlis ini, pasangan pengantin digalakkan untuk mengunjungi rumah ahli keluarga lain, sebagai tanda menghormati dan mempereratkan hubungan kekeluargaan. Kunjungan ini juga menjadi peluang bagi pasangan pengantin untuk memperkenalkan diri secara lebih dekat kepada saudara-mara dan mendapatkan nasihat tentang kehidupan berumah tangga. 


Dalam kebanyakan tradisi Tingkuang, kunjungan pertama ini akan ditemani oleh ibu bapa dari kedua-dua pihak pengantin yang bertindak sebagai perantara dalam memperkenalkan pasangan pengantin kepada ahli keluarga yang lebih luas. Aktiviti ini bukan sahaja menekankan nilai kekeluargaan tetapi juga mengukuhkan hubungan sosial antara kedua-dua keluarga yang telah bersatu.


Tokoh dan Pencapaian

Tuan Hj Muminin Hj Norbinsha. Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Lot 6, Block B, 2nd Floor, Midtown Plaza,Lintas Road, 90000 Sandakan Sabah. 12 November 2024.


KAN Panglima Abd Aziz Angau. Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Lot 6, Block B, 2nd Floor, Midtown Plaza,Lintas Road, 90000 Sandakan Sabah. 12 November 2024.


Sumber Rujukan

Editor Edisi 9. (16 Disember 2023). Adat perkahwinan dalam suku kaum Sungai | Edisi 9. Edisi 9. Dicapai dalam https://www.edisi9.com.my/2023/12/adat-perkahwinan-dalam-suku-orang-sungai/


Josin Romut, Hamrah@Amirah Haji Liwangsa & Denis J. Sading. (2011). Inventori budaya etnik negeri Sabah: Etnik Orang Sungai Buludupi. Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.


Lokasi