Kaum Orang Sungai yang menetap di Pitas merupakan salah satu daripada 30 subetnik Orang Sungai di negeri Sabah. Komuniti ini tinggal di daerah Pitas bersama-sama dengan beberapa kumpulan etnik lain, khususnya etnik Rungus. Majoriti masyarakat Orang Sungai di Pitas menganut agama Islam, namun terdapat juga sebahagian kecil yang beragama Kristian, khususnya dalam kalangan sub-suku Tambanuo. Sama seperti sub-suku lain seperti Buludupi, Idahan, Milian, Liwago, Begahak, Bengkoka, Dewara, Dumpas, Inokang, Kuamut, Lingkabau, Mangkaak, dan Paitan, masyarakat ini memiliki struktur adat resam, budaya, kepercayaan, serta pantang larang yang unik. Mereka juga mengalami proses akulturasi dan asimilasi budaya yang dipengaruhi oleh kepercayaan animisme, terutamanya dalam adat berkaitan kematian. Struktur adat dan budaya ini mencerminkan identiti serta warisan tradisi yang masih diamalkan oleh komuniti Orang Sungai di Pitas.
-
-
-
Hidup dan mati merupakan dua konsep yang bertentangan, di mana kedua-duanya tidak boleh berlaku secara serentak dalam satu masa. Kehidupan dicirikan oleh pergerakan, manakala kematian ditandai dengan terhentinya pergerakan tubuh manusia. Kematian adalah satu kepastian yang tidak dapat dielakkan dan sering dianggap sebagai peralihan kepada kehidupan di alam kematian. Setiap makhluk hidup di muka bumi pasti akan menghadapi saat kematian.
Sehubungan itu, etnik Orang Sungai di daerah Pitas, Sabah, memberi perhatian khusus terhadap hal-hal berkaitan kematian. Adat dan tradisi berkaitan kematian dalam komuniti ini mempunyai persamaan dengan struktur adat kematian dari kumpulan etnik lain. Ini termasuk pengurusan jenazah, proses pengebumian, dan amalan pasca-pengebumian. Berikut adalah struktur adat kematian yang diamalkan oleh masyarakat Orang Sungai di Pitas.
1. Pengurusan Jenazah
Apabila berlaku kematian, gong akan dibunyikan sebagai isyarat untuk memaklumkan berita kematian kepada penduduk kampung. Tangisan-tangisan daripada seisi keluarga terdekat si mati akan dilakukan dengan cara meraung sebagai satu bentuk simbolik kesedihan dan manifestasi penghormatan terhadap individu yang telah meninggal dunia. Sementara itu, doa akan dibacakan oleh imam sebagai sebahagian daripada ritual penghormatan, dan jenazah ditutup dengan kain pada ruang tamu rumah si mati sebagai tanda penghormatan terakhir.
Ketika jenazah masih berada di rumah, Bomoh atau ahli keluarga akan meletakkan gunting, jarum, cermin, dan benang di atas jenazah. Jarum tersebut diselitkan pada kain yang membalut tubuh jenazah sebagai simbolik perlindungan daripada gangguan jin atau syaitan dan untuk membatalkan sebarang kesan ilmu hitam kepada tubuh tubuh jenazah. Cermin pula berfungsi sebagai alat pelindung yang dapat menghalang jin atau syaitan daripada mendekati jenazah kerana dipercayai syaitan akan terkejut apabila melihat pantulan wajah hodohnya sendiri di permukaan cermin. Manakala gunting dan benang dipercayai memainkan peranan dalam proses pemisahan roh daripada jasad.
Untuk tujuan perlindungan tambahan, sesetengah ahli keluarga meletakkan daun limau berduri di bawah rumah tempat jenazah disemayamkan. Suatu Ketika dahulu masyarakat di daerah Pitas pada masa lampau terkenal dengan amalan ilmu hitam, seperti ilmu kebal dan "ilmu bangkit tua," iaitu kepercayaan terhadap kebolehan seseorang untuk hidup semula selepas meninggal dunia. Bagi membatalkan kesan ilmu tersebut, cermin dan benang diletakkan pada jenazah, manakala benang hitam dibakar sehingga putus. Bau asap benang yang terhidu oleh jenazah dipercayai dapat menghalang mereka daripada "bangkit semula".
Selepas ahli keluarga dan tetamu memberikan penghormatan terakhir dan menjalankan beberapa adat sebelumnya, proses pengurusan dilakukan mengikut syariat Islam, termasuk memandikan, mengkafankan, dan menyembahyangkan jenazah. Sebelum memulakan proses memandikan, imam akan meminta izin daripada keluarga si mati untuk melafazkan istighfar, selawat ke atas Nabi SAW, serta bacaan surah al-Fātiḥah, al-Ikhlāṣ, al-Falaq, dan al-Nās. Amalan ini bertujuan untuk melembutkan tubuh jenazah agar proses pengurusan berjalan lancar. Selepas itu, jenazah diuruskan sepenuhnya seperti yang ditetapkan oleh syariat Islam.
Dalam ritual memandikan jenazah, individu yang terlibat menerima upah yang berbeza mengikut peranan dan tugas khusus yang dilaksanakan. Terdapat dua kategori petugas utama dalam proses ini, iaitu “Memiruang” dan “Menyandar.” Petugas Memiruang, yang bertanggungjawab membersihkan tubuh jenazah dari pinggang hingga ke kaki, biasanya diberi upah berupa sebentuk cincin emas sebagai penghargaan. Sementara itu, petugas Menyandar, yang bertugas melapik tubuh jenazah semasa proses permandian, menerima upah dalam bentuk wang tunai, kain batik, kain pelikat, dan pinggan mangkuk.
Foto 1: Cincin Emas untuk Memiruang
Sumber: Amsalib Pisali
Terdapat pantang larang ketika jenazah dimandikan iaitu, melarang sama sekali ahli keluarga untuk melalui kawasan bawah rumah (rumah Orang Sungai di Pitas adalah rumah kayu bertiang dan mempunyai kolong). Hal ini kerana dipercayai, sesiapa yang terkena air sisa mandi jenazah akan mengalami gangguan “badi mayat” selama 40 hari dan boleh mendatangkan bahaya atau ketidakselesaan kepada mereka.
Selepas jenazah selesai dimandikan, ahli keluarga akan berjabat tangan dengan jenazah sebagai simbolik permohonan maaf atas segala kesalahan yang mungkin berlaku semasa hayat si mati. Jenazah kemudian diberikan wuduk dan disiram dengan "air sembilan," iaitu air yang telah dijampi menggunakan doa-doa serta ayat-ayat tertentu daripada al-Quran. Selain itu, asap kemenyan dimasukkan ke dalam bekas air tersebut untuk melengkapkan ritual.
Selepas itu, jenazah dikafankan. Dalam kes tertentu, jika si mati semasa hidupnya merupakan seorang perokok, ahli keluarga akan meletakkan sebatang rokok di mulut jenazah seketika, dipercayai sebagai langkah untuk menghindari kempunan si mati. Jika si mati merupakan penggemar cerut, maka cerut juga diletakkan dengan cara yang sama. Amalan ini mencerminkan adat dan kepercayaan komuniti dalam memastikan ketenangan roh si mati pada peralihan ke alam akhirat.
Di samping itu, terdapat amalan nyanyian yang disertai dengan penggunaan alat muzik oleh ahli keluarga di sekitar jenazah di rumahnya. Tradisi ini dipercayai bertujuan untuk menghiburkan roh si mati dan memberikan suasana tenang. Dalam sesetengah kes, aktiviti nyanyian ini diteruskan di tanah perkuburan selama tujuh malam berturut-turut, dengan pemasangan lampu dan penyediaan jamuan makan diiringi alunan nyanyian.
2. Adat Pengebumian
Sebelum memulakan proses penggalian kubur, penggali kubur dalam masyarakat Orang Sungai diwajibkan menjalani beberapa ritual sebagai tanda penghormatan dan persediaan rohani. Pertama, mereka akan memberi salam kepada “Nabi Bumi” dan berselawat sebagai permohonan restu dan perlindungan sepanjang proses tersebut. Seterusnya, sebilah parang digunakan untuk melakar bentuk huruf "D" pada permukaan tanah, yang melambangkan saiz dan dimensi liang lahad.
Ritual ini dimulakan dengan parang ditusukkan ke tanah dan ditarik tanpa diangkat sehingga lakaran huruf "D" disiapkan dengan teliti. Sebelum melakar, ukuran tubuh jenazah diambil untuk memastikan saiz liang lahad sesuai dan mencukupi. Setelah lakaran selesai, proses penggalian tanah dimulakan. Sebagai sebahagian daripada tradisi ini, tanah yang digali akan dibentuk menjadi bantal untuk menjadi alas kepala jenazah di dalam liang lahad.
Sementara itu, ketika jenazah diletakkan di dalam keranda untuk dihantar ke tanah perkuburan, terdapat satu adat yang dipanggil “Naja-Naja” akan dilakukan. Adat ini bermaksud ahli keluarga dan saudara mara terdekat berpusimng di bawah keranda si mati sebanyak tiga (3) kali. Amalan ini dipercayai membantu ahli keluarga untuk tidak terus-menerus mengenang si mati dan mengelakkan roh si mati daripada merindui keluarganya atau hadir dalam jelmaan roh yang mendampingi mereka.
Ketika mayat diusung ke tanah perkuburuan, penyediaan “Payung-Payung” disediakan sebagai pengiring jenazah ke tanah perkuburan. Payung ini diperbuat daripada kayu, dengan kain putih digunakan sebagai peneduh. Batang payung tersebut akan dililitkan dengan kain pelbagai warna seperti putih, biru, kuning, merah, dan hitam mengikut urutan tertentu. Setiap warna melambangkan bilangan rukun Islam atau solat lima waktu. Kain putih mewakili solat Subuh, kain biru melambangkan solat Zohor, kain kuning untuk solat Asar, kain merah untuk solat Maghrib, dan kain hitam untuk solat Isyak. Susunan warna ini dipercayai membawa makna tersirat berkaitan ibadah dan penghormatan kepada si mati. Namun begitu, dalam adat pengebumian moden, kain-kain tersebut telah digantikan dengan kain sarung iaitu kain pelikat sebanyak lima (5) helai untuk jenazah lelaki dan kain batik tujuh (7) helai untuk jenazah Wanita. Kemudian, kain tersebut akan diserahkan kepada individu yang bertanggungjawab dalam upacara pengebumian.
Setibanya di tanah perkuburan, proses membuka keranda perlu dilakukan dengan penuh cermat, di mana hanya satu bahagian tepinya sahaja yang dibuka, manakala bumbung keranda tidak boleh ditanggalkan sepenuhnya. Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, tradisi melaungkan azan atau iqamat dilaksanakan. Jika jenazah merupakan seorang lelaki, azan akan dilaungkan, manakala iqamat dilakukan bagi jenazah perempuan. Laungan azan atau iqamat ini dilakukan sama ada di dalam liang lahad atau di permukaan kubur. Amalan ini berasaskan justifikasi simbolik, di mana sebagaimana seseorang itu diazankan ketika awal kelahirannya, maka kehidupannya juga akan ditutup dengan laungan azan atau iqamat sebagai tanda penghormatan terakhir dan penutup kepada perjalanan hidupnya di dunia.
Ketika jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, beberapa biji buah pinang yang dibalut dengan kain putih diletakkan di sisi jenazah. Buah pinang ini melambangkan anak cucu si mati yang masih kecil, sebagai simbolik hubungan mereka dengan si mati. Selepas itu, petugas pengebumian akan mengepal tiga ketul tanah dan meletakkannya di bahagian kaki jenazah. Mengikut kepercayaan tradisional, tiga ketul tanah ini berfungsi sebagai isyarat kepada jenazah bahawa ia kini telah berada di dalam liang lahad.
Proses ini disertai dengan bacaan selawat sebagai tanda permulaan proses menimbus tanah. Semasa menimbus kubur, petugas hanya meratakan tanah tanpa menghulurkan tangan melebihi paras permukaan kubur. Amalan ini dipercayai penting untuk menjaga keharmonian rohani, kerana pelanggaran peraturan ini dikatakan boleh menyebabkan roh si mati yang telah banyak melakukan dosa merayau dan berpotensi mengganggu ahli keluarga yang masih hidup. Ritual ini mencerminkan kepatuhan terhadap kepercayaan adat dan usaha menjaga hubungan harmoni antara alam roh dan alam nyata.
Setelah jenazah selesai dikebumikan, ahli keluarga dan saudara mara akan menyiram air yang dicampur dengan cendana atau bunga-bungaan wangi di atas permukaan kubur. Amalan ini dipercayai oleh masyarakat Orang Sungai bertujuan untuk menghilangkan dahaga jenazah yang dikatakan sedang kehausan di dalam kubur. Selain itu, sebahagian kain perca yang digunakan untuk mengikat kain kafan akan diambil semula selepas jenazah diletakkan dalam liang lahad. Kain perca tersebut kemudian diikat pada batu nisan di bahagian kepala jenazah sebagai tanda simbolik. Pada mulanya, batu nisan sementara diperbuat daripada kayu atau ranting digunakan. Namun, batu nisan sementara ini akan digantikan dengan nisan yang diperbuat daripada batu atau simen pada masa tertentu, khususnya pada sambutan Hari Raya, terutamanya Hari Raya Aidiladha.
Foto 2: Adat Menyiram Kubur
Sumber: Amsalib Pisali
3. Adat Pasca Pengebumian
Pada hari-hari pasca kematian, majlis kenduri kematian atau tahlil arwah sering diadakan sebagai sebahagian daripada tradisi memperingati si mati. Kenduri ini diadakan pada hari-hari tertentu yang dianggap signifikan, di mana setiap hari tersebut diberi nama khusus dan dipercayai mempunyai makna mistik. Pemilihan dan penetapan hari-hari ini dipercayai berkait dengan perjalanan roh dari satu alam ke alam yang lain, hingga akhirnya tiba di “Alam Arasy” pada hari ke-100.
Selain itu, kepercayaan tradisional menghubungkan hari-hari kenduri dengan perubahan fizikal jenazah di dalam kubur. Setiap hari kenduri melambangkan perubahan tertentu yang berlaku pada tubuh si mati, yang diyakini mencerminkan tahap perjalanan rohnya. Berikut adalah jadual hari-hari kenduri arwah serta kepercayaan yang berkaitan dengan perubahan jenazah di dalam kubur:
Jadual 1: Kenduri Arwah
Orang Sungai di Pitas
Hari Kenduri |
Deskripsi |
3 |
Tubuh mayat mula membengkak. Kononnya roh akan bersedih
dan terseksa melihat keadaan badannya. Maka, kenduri dan majlis tahlil adalah
ibarat penenang kepada roh. |
7 |
Kulit mayat mula menggelupas dan menampakkan daging. |
10 |
Keseluruhan kuit mayat tertanggal. |
17 |
Daging pada badan mayat reput dan jatuh. |
20 |
Sendi-sendi dan lipatan anggota badan terpisah. |
27 |
Perut mayat dipercayai mula pecat dan organ internal
terkeluar. |
30 |
Kesemua cecair badan telah kering dan daging badan
mulai mereput. |
37 |
Dikenali sebagai “Koturuan Dos”, menandakan
penghujung ritual, dipercayai bertepatan dengan pecahnya organ dalaman
terakhir, iaitu hempedu. |
38 |
Kenduri ini dikenali sebagai “Lantang”, diadakan tanpa bacaan
doa dan bertujuan menghimpunkan ahli keluarga terdekat untuk membuat
persiapan bagi majlis kenduri kematian ke-40. |
39 |
Dikenali sebagai “Luba”, melibatkan bacaan doa
arwah sebelum Subuh, dihadiri ahli keluarga dan jiran. Orang tua menjemput
tetamu menggunakan bahasa kiasan. Pada zaman Dahulu, lelaki memburu rusa
sebagai persediaan kenduri hari ke-40, manakala wanita mengurus dapur,
termasuk menjemur beras dan menumbuk padi. |
40 |
Dikenali sebagai “Momupus”, iaitu kenduri utama
dalam adat Orang Sungai yang melambangkan berakhirnya roh pulang ke untuk
meminta makanan. Di hari Momupus, tetamu akan diberi makanan, kain
batik atau pelikat, duit dan buku Sūrah Yāsīn sebagai sedekah untuk si mati. Pada hari ke-40, dipercayai rambut si mati mula gugur,
otak kering, dan tubuh si mati mulai serasi dengan bumi, dengan gigi dan
rambut menjadi bahagian yang paling lama bertahan. |
44 |
Pada hari ke-44, mayat dalam kubur dipercayai hanya
tinggal gigi dan tulang-belulang. Dalam kenduri ini, hidangan khas dalam
talam (dulang) disediakan sebagai sedekah kepada petugas Memiruang yang
bertugas memandikan jenazah. Tilam bangkai-bangkaian diberikan kepada
imam, manakala pakaian si mati disedekahkan kepada petugas lain. |
100 |
Kenduri kematian ke-100, dikenali sebagai kenduri "turun batu
nisan", diadakan sebagai tanda
memperingati 100 hari selepas kematian. Dari sudut spiritual, hari ke-100
dianggap sebagai saat roh memasuki jemaah ahli kubur atau tiba di destinasi
terakhirnya, "Alam
Arasy". |
Kenduri tahunan |
Kenduri ulang tahun kematian biasanya diadakan selama
tiga (3) tahun pertama selepas kematian. Selepas tempoh tersebut, ahli
keluarga diberi kebebasan untuk meneruskannya atau tidak, bergantung kepada
kemampuan mereka. |
Sumber: Khairulnazrin Nasir, Rahim KZ & Saifullah Mamat (2019).
Dalam proses pasca kematian, terdapat amalan khidmat bacaan zikir dan doa yang dilakukan secara perseorangan oleh imam-imam kampung, di mana mereka diberikan saguhati sebagai bayaran ke atas khidmat tersebut. Amalan ini dikenali sebagai "Fidyah Tahlil" atau "Fidyah Jenazah" dan dianggap sebagai hadiah pahala kepada si mati. Bacaan zikir ini melibatkan lafaz "Lā Ilāha illa Allāh" sebanyak 7777 kali, disertai dengan pergerakan kepala serta kawalan turun naik pernafasan. Sebagai balasan, imam yang melaksanakan amalan ini akan menerima bayaran sebanyak RM 77.70 sebagai penghargaan atas perkhidmatan yang diberikan.
Kenduri arwah lazimnya diadakan pada waktu Maghrib, sesuai dengan kepercayaan yang dipegang oleh segelintir individu, terutamanya imam kampung. Bagi imam yang dijemput untuk menghadiri dan mengetuai majlis tahlil, kehadiran mereka bergantung pada syarat bahawa kenduri tersebut mesti berlangsung pada waktu Maghrib. Menurut kepercayaan tradisional, roh si mati tidak akan hadir pada waktu siang hari, menjadikan waktu Maghrib sebagai masa yang paling sesuai untuk melaksanakan kenduri arwah. Namun begitu, terdapat juga majlis tahlil yang dimulakan sebelum azan Maghrib dan diteruskan sehingga melewati waktu Isyak. Dalam kes sedemikian, para hadirin biasanya tidak menunaikan solat Maghrib sehingga majlis tahlil selesai.
Sebelum majlis tahlil dimulakan, imam akan mengasapi biji tasbih dengan asap kemenyan, yang disedut melalui hidung menggunakan teknik dan bacaan tertentu. Kemenyan digunakan kerana dipercayai memiliki keistimewaan tersendiri, termasuk dalam perbomohan dan ilmu sihir, serta keupayaannya menghantar asap hingga ke langit ketujuh. Dalam konteks kenduri kematian, kemenyan digunakan untuk memudahkan pengiriman pahala kepada si mati.
Foto 3: Kemenyan dan Lilin
Sumber: Amsalib Pisali
Suatu ketika dahulu, penyediaan bekas tembaga sebagai tempat membakar kemenyan dianggap wajib, dan majlis tidak akan dimulakan tanpa kehadiran bekas tersebut. Kegagalan menyediakan bekas tembaga dianggap tanda bahawa ahli keluarga tidak menghormati atau menyayangi si mati. Namun, amalan ini kini menjadi lebih fleksibel, dan kemenyan sering dibakar dalam bekas biasa seperti mangku serami mahupun pinggan besi. Perubahan ini mencerminkan penyesuaian tradisi mengikut zaman dan keperluan semasa.
Semasa majlis tahlil dijalankan, pelita atau lampu akan dimalapkan kerana dipercayai roh akan turut menghadiri majlis tersebut. Amalan orang yang terdahulu selalunya akan meletakkan tepung gandum di ruang tamu untuk mengesan tapak kaki roh yang dipercayai akan kelihatan selepas pelita dinyalakan. Namun kini, amalan itu tidak lagi dilakukan agar tidak menimbulkan sebarang hal-hal syirik dalam kalangan mereka.
Juadah utama dalam setiap majlis kenduri arwah ialah sejenis kuih yang dikenali sebagai Pinjaram. Kuih ini dikatakan mempunyai nilai mistik dan merupakan syarat wajib dalam setiap upacara kenduri arwah. Dalam masa yang sama, keluarga si mati akan menyediakan set hidangan di dalam sebuah dulang untuk si mati di sepanjang proses tahlil kematian. Hidangan tesebut dilengkapi dengan air basuh tangan, nasi, lauk-pauk, rokok, kopi dan segala makanan yang menjadi kegemaran si mati semasa hidupnya.
Seterusnya, segala pakaian dan peralatan yang digunakan oleh si mati tidak boleh diusik atau digunakan. Pakaian dan peralatan tersebut yang dipanggil “Bangkai-Bangkaian” dan akan dikumpulkan di suatu tempat pada mana-mana sudut rumah sehingga hari ke-40 kematian. Dalam bangkai-bangkaian itu diletakkan juga cermin dan jarum agar mengelakkan bangkai-bangkaian itu menjadi jelmaan si mati. Setelah kenduri hari ke-7, bangkai-bangkaian itu akan dibungkus dan digantung. Apabila tibanya kenduri hari ke-37, bangkai-bangkaian itu akan dibuka kembali dan dijaga sehingga kenduri hari ke-40. Setelah 40 hari kematian berlalu, pakaian tersebut akan disedekahkan kepada yang sentiasa menghulurkan bantuan dalam pengurusan jenazah.
Dipercayai bahawa amalan menyediakan bangkai-bangkain ini bertujuan mengelirukan iblis atau jin yang menyerupai burung besar yang digelar “Pendoatan”. Mereka percaya burung itu datang dan menerbangkan mayat kerana burung itu akan menyangka pakaian tersebut adalah tubuh manusia. Terdapat juga kepercayaan bahawa roh masuk dalam bangkai-bangkaian tersebut kerana kononnya roh masih pulang ke rumah sepanjang tujuh hari pertama kematian.
Selain itu, terdapat satu majlis tahunan yang dikenali sebagai “Sampang Arwah” yang dilangsungkan pada hari terakhir bulan Syaaban. Mereka berpendapat bahawa roh-roh keluarga yang sudah meninggal dunia akan kembali ke rumah untuk melihat anak cucu dan menikmati santapan keluarga sebelum menjelang Ramadhan. Kenduri sampang arwah didahului dengan aktiviti ziarah kubur dan “mandi sunat puasa”. Mereka bergotong-royong membersihkan kawasan kubur sanak saudara mereka yang telah meninggal dunia. Kemudian, pada waktu petang, mereka akan “mandi sunat puasa” sebagai persediaan dan menyucikan diri sebelum memasuki bulan Ramadan.
Menurut kepercayaan, sesiapa yang tidak “mandi sunat puasa” ini, maka puasanya tidak akan diterima oleh Allah SWT. Pada waktu malam, mereka akan berkumpul di surau atau masjid untuk mengadakan tahlil arwah sempena memperingati orang yang telah meninggal dunia. Setiap keluarga akan membawa makanan masing-masing untuk dihidangkan kepada jemaah surau yang datang. Kenduri sampang arwah juga dipanggil “kenduri talam”. Menurut pengamalan nenek moyang, mereka akan bertukar-tukar talam yang berisi makanan. Makanan itu akan dimakan pada waktu sahur hari pertama puasa.
Tuan Hj Muminin Hj Norbinsha. Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Lot 6, Block B, 2nd Floor, Midtown Plaza,Lintas Road, 90000 Sandakan Sabah. 12 November 2024.
KAN Panglima Abd Aziz Angau. Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Lot 6, Block B, 2nd Floor, Midtown Plaza,Lintas Road, 90000 Sandakan Sabah. 12 November 2024.
Josin Romut, Hamrah@Amirah Haji Liwangsa & Denis J. Sading. (2011). Inventori budaya etnik negeri Sabah: Etnik Orang Sungai Buludupi. Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Mahali, S. N. (2010). Adat dan ritual kematian di Sabah. Penerbit Universiti Malaysia Sabah. eBooks. http://eprints.ums.edu.my/18085/
Nasir, K., Zaman, A. R. K., & Mamat, S. (2019). Pengaruh Animisme dalam Adat Kematian Orang Sungai di Daerah Pitas, Sabah: Satu Tinjauan. Borneo International Journal, 1(3), 1–11.
Zainal, S., Abdul Rahman, M. K., & Ibrahim, M. A. (2018). ’Melabuh Ajung’: Signifikasi Kepercayaan Kosmologi Dalam Pembentukan Identiti Teater Tradisional Etnik Pantai Timur Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA)