Suku Kelabit merupakan suku kaum unik yang terdapat di kawasan tanah tinggi Bario, Sarawak iaitu di bahagian utara negeri ini. Suku kaum ini begitu terkenal dengan adat resam dan amalan budaya yang begitu istimewa. Suku kaum Kelabit yang merupakan antara golongan etnik terkecil di Sarawak dengan majoriti kalangan mereka beragama Kristian. Mereka mendiami rumah panjang dan mengamalkan pertanian tradisional untuk menyara kehidupan. Beras Bario merupakan hasil kerja tani yang sangat istimewa dan mewakili identiti orang Kelabit Sarawak.
-
-
-
Dalam kalangan suku kaum Kelabit, adat menyambut tetamu dan pahlawan dilakukan dengan begitu istimewa dan penuh tertib. Dalam adat ini, terdapat beberapa pemeringkatan upacara bagi menyambut tetamu dan meraikan pahlawan yang terdiri daripada:
i. Acara menghidangkan jus buah nanas
Jus buah nanas merupakan hidangan awal yang amat istimewa kerana dihidangkan di pintu utama sebelum memasuki rumah panjang. Jus buah yang enak ini menjadi simbol keceriaan selamat datang kepada tetamu atau pahlawan bagi menghilangkan penat dan dahaga setelah memalui perjalanan yang jauh dan dalam tempoh yang lama.
ii. Menyanyi Petabi Medting atau Selamat Datang
Setelah tetamu dan pahlawan menikmati minum jus nanas, mereka seterusnya diperdengarkan dengan dendangan lagu selamat datang. Sebaik sahaja nyanyian lagu selamat datang berakhir, tetamu dan pahlawan seterusnya dibawa masuk ke ruang tamu. Dendangan lagu selamat datang adalah bertujuan untuk menghargai tetamu yang diyakini oleh suku kaum Kelabut sebagai pembawa tuah dan rezeki.
iii. Memukul Tubong
Dalam perjalanan dari pintu utama menuju ke tawa iaitu ruang tamu tetamu dan pahlawan biasanya akan diraikan dengan alunan pukulan tubong. Persembahan ini bermotifkan keraian dan sambutan kepada tetamu yang baru sampai dan kebanggaan buat pahlawan yang baru pulang.
iv. Upacara Tarian Arang Kadang, Arang Decur Dan Arang Delai
Sesampainya di ruang tamu rumah, tetamu dan pahlawan akan dipersembahkan pula dengan persembahan tarian yang unik dalam sukun kaum Kelabit. Tarian yang dinamakan Arang Kadang ditarikan oleh penari secara beramai-ramai dalam posisi satu barisan panjang di hadapan para tetamu. Selain itu, tarian solo wanita yang dinamakan Arang Decur diikuti tarian solo lelaki yang dinamakan Arang Delai turut dipersembahkan bagi tujuan menghiburkan para tetamu dan pahlawan yang datang. Sering kali juga bagi memeriahkan acara tarian ini, para tetamu atau pahlawan yang hadir akan dipelawa secara rawak untuk menari bersama-sama mengikut rentak tari yang telah dipersembahkan.
v. Acara Menyanyikan Lagu Tutu Udan Na Perah
Lagu istimewa ini dinyanyikan secara beramai-ramai oleh kaum wanita suku Kelabit sementara jus nanas disediakan kepada tetamu. Biasanya setiap seorang tetamu akan dilayan oleh seorang wanita sambil memberikan segelas jus nanas untuk diminum. Tetamu yang diberikan jus ini harus menghabiskannya sebaik sahaja lagu Tutu Udan Na Perah ini selesai dinyanyikan.
vi. Menjamu Hidangan
Menghampiri ke upacara kemuncak, tetamu dan pahlawan yang hadir akan dijamu dengan hidangan makanan di ruang tamu. Menu hidangan yang disediakan adalah bergantung kepada pilihan dan kesediaan tuan rumah. Oleh itu, jenis makanan yang dihidangkan selalunya mengikut masa yang tertentu ketika menyambut kedatangan tetamu dan pahlawan tersebut. Ini bermakna, tiada hidangan yang khusus untuk disediakan setiap kali suku kaum Kelabit menerima kunjungan tetamu atau kepulangan pahlawan dalam kalangan mereka di rumah panjang.
vii. Bermain Permainan Tradisional
Sepanjang tempoh masa tetamu menikmati juadah yang disediakan, suku kaum Kelabit akan mempersembahkan permainan tradisional yang sering dimainkan dalam kalangan mereka. Permaina yang palaing popular dalam kalangan suku kaum Kelabit ialah permainan raut nekab tising iaitu permainan mencari cincin, ngurad bigan atau permaina pusing piring, dan permainan upun aluh atau lompat buluh.
Dalam masyarakat tradisional Kelabit, semua permainan ini diadakan sebagai medium bersosial antara lelaki dan wanita. Melalui permainan inilah ahli komuniti suku kaum Kelabit memperoleh ruang dan peluang untuk kedua-dua belah pihak berinteraksi secara dekat dan mesra namun masih dalam lingkungan batas sosial suku kaum Kelabit.
viii. Upaacara Mekasur
Sebaik sahaja tetamu menyatakan hasrat untuk berangkat pulang atau berehat, tuan rumah akan bersedia untuk membuat persediaan acara mekasur. Acara ini melibatkan persembahan oleh hadirin dengan cara berbaris dalam satu barisan panjang bermula dari tawa hingga ke pintu utama rumah panjang. Dengan itu, tetamu akan bergerak keluar meninggalkan majlis dan tuan rumah berkenaan.
-
i. Bahan Bacaan
Bilcher Bala. (1993). Masyarakat Kelabit dan Lun Bawang di Sarawak. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, 21, 21-54. https://journalarticle.ukm.my/450/1/1.pdf