Kaum Orang Sungai yang menetap di Pitas merupakan salah satu daripada 30 subetnik Orang Sungai di Sabah. Majoriti masyarakat ini menganut agama Islam dan memiliki struktur adat resam, budaya, kepercayaan, serta pantang larang yang unik, termasuklah adat kelahiran yang dikenali sebagai Betimbang.
Adat betimbang ini khusus diadakan ke atas kelahiran bayi dalam bulan Safar menurut kalendar Islam yang perlu dielakkan kerana dianggap sebagai bulan yang bersifat panas dan berpotensi membawa ketidakharmonian ke atas bayi dan keluarganya. Persepsi ini tidak mempunyai asas yang jelas dalam ajaran Islam, tetapi lebih kepada pengaruh budaya tempatan dan kepercayaan animisme yang telah wujud sebelum kedatangan Islam dalam masyarakat Orang Sungai di Pitas.
Foto 1: Adat Betimbang Orang Sungai di Pitas
Sumber: Afiqah Tuah
Secara tradisional, kepercayaan Orang Sungai terhadap bayi yang lahir di bulan Safar dipercayai membawa tenaga atau pengaruh yang kurang baik dan sering dikaitkan dengan petanda atau kejadian malapetaka. Selain itu juga, dipercayai bahawa bayi akan terdedah dengangangguan makhluk halus, jin, atau tenaga negatif yang boleh menjejaskan pertumbuhan bayi sehingga membawa kepada kematian.
Namun begitu, masyarakat Orang Sungai di Pitas kini sepenuhnya berpegang kepada ajaran Islam dan tidak lagi mengamalkan adat Betimbang mengikut struktur adat tradisional. Sebaliknya, adat ini dilaksanakan sebagai satu cara untuk meraikan kelahiran bayi, semata-mata sebagai bentuk kesyukuran dan penghargaan atas rezeki anak yang dikurniakan kepada keluarga. Pelaksanaannya telah disesuaikan dengan ajaran Islam dan tidak lagi mengikuti tatacara tradisional yang bercanggah dengan prinsip-prinsip agama.
-
-
-
Upacara adat Betimbang lazimnya diadakan berdasarkan kesediaan keluarga yang baru menyambut kelahiran bayi. Ia biasanya dilaksanakan pada hari ketujuh selepas kelahiran atau ketika bayi berusia 40 hari, bergantung kepada kemampuan dan persiapan keluarga. Hal ini demikian kerana adat ini melibatkan jamuan kenduri kesyukuran untuk meraikan kehadiran kaum keluarga yang hadir, selain memerlukan peruntukan kos tertentu yang perlu ditanggung oleh pihak keluarga.
Secara tradisional, pada hari pelaksanaan adat Betimbang, pihak keluarga bayi akan menyediakan satu replika timbangan yang digantung pada tiang atap atau siling rumah. Sebuah tali besar digunakan untuk mengikat “Galu” iaitu kayu penumbuk lesung padi, yang berfungsi sebagai pengimbang utama. Kemudian, kedua-dua hujung galu tersebut akan digantungkan kain sarung. Jika bayi adalah perempuan, maka kain sarung batik akan digunakan dan jika bayi lelaki, maka kain sarung pelikat akan digunakan.
Di salah satu hujung kain sarung, barang-barang khas adat Betimbang seperti kayu api, beras, dan kelapa muda, akan diletakkan. Sementara itu, di hujung yang bertentangan, bayi diletakkan di dalam kain sarung yang digantung. Keseimbangan dicapai apabila berat barang-barang tersebut menyamai berat bayi. Setelah keseimbangan tercapai, penimbang akan dipusing sekali ke arah kanan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan adat Betimbang.
Foto 2: Timbangan ‘Galu’
Sumber: Zubai Ani
Dalam amalan moden, sesetengah keluarga membina replika timbangan khusus yang dikenali sebagai “Panimbangan”, menyerupai timbangan jenis dacing. Replika ini diperbuat daripada kayu dengan ketinggian sekitar 6 kaki dan lebar 4 kaki. Sebatang kayu khas diletakkan secara melintang untuk berfungsi sebagai tuil gantungan. Sebagai ganti kepada kain sarung tradisional, panimbangan moden menggunakan platform empat segi berukuran dua kaki setiap satu dan diikatkan menggunakan tali setebal jari telunjuk pada kayu tuil. Platform ini digunakan untuk meletakkan barang-barang adat di satu sisi, manakala bayi diletakkan di sisi bertentangan. Struktur penimbang ini dihiasi dengan kain berwarna-warni dan bunga-bungaan sebagai elemen estetika, disesuaikan dengan jantina bayi.
Setelah Panimbangan mencapai tahap keseimbangan, timbangan tersebut akan dihayun diiringi bacaan selawat dan berzanji secara beramai-ramai. Selawat dan berzanji tersebut akan dipimpin oleh imam. Bacaan ini bertujuan untuk memohon keberkatan dan perlindungan ilahi bagi bayi yang baru dilahirkan. Imam kemudiannya akan melaksanakan ritual penyucian, di mana rambut bayi disapu dengan air kelapa muda yang telah dicampurkan dengan wangi-wangian seperti pati bunga ros atau bunga cempaka. Air kelapa muda digunakan kerana dipercayai memiliki sifat menyucikan dan simbolik kesegaran hidup. Selepas penyucian, rambut bayi akan digunting oleh imam, menandakan permulaan kehidupan baru bayi dengan doa agar bayi tersebut membesar dengan sihat, beradab, dan diberkati.
Foto 3: Timbangan Moden
Sumber: Hurai Tasmiah
Semasa imam menggunting rambut bayi, ahli keluarga yang lain berdiri membentuk bulatan di sekeliling bayi. Mereka berpegangan tangan sambil mengibas daun kelapa muda yang telah dianyam berbentuk burung dan bunga ke arah bayi. Perbuatan ini dilakukan secara berulang sebagai simbolik untuk menghalau gangguan dan memohon perlindungan ilahi, sambil mengiringi bacaan selawat dan berzanji. Ritual ini diteruskan sehingga bacaan selawat dan berzanji selesai, menandakan kesepaduan keluarga dalam menyambut kelahiran bayi dengan penuh kesyukuran dan doa keberkatan.
Setelah upacara adat Betimbang selesai, pihak keluarga akan mengadakan bacaan doa kesyukuran. Makanan dihidangkan di tengah-tengah ruang tamu, dengan para tetamu duduk mengelilingi hidangan tersebut. Imam memimpin bacaan doa, memohon keberkatan untuk bayi dan keluarga. Selesai bacaan doa, para tetamu dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan. Kemudian, semua barang yang ditimbang akan diberikan kepada imam dan saguhati wang ringgit. Berakhirnya bacaan doa selamat tersebut maka menandakan bayi telah selesai menjalankan adat betimbang.
Tuan Hj Muminin Hj Norbinsha. Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Lot 6, Block B, 2nd Floor, Midtown Plaza,Lintas Road, 90000 Sandakan Sabah. 12 November 2024.
KAN Panglima Abd Aziz Angau. Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Lot 6, Block B, 2nd Floor, Midtown Plaza,Lintas Road, 90000 Sandakan Sabah. 12 November 2024.
Josin Romut, Hamrah@Amirah Haji Liwangsa & Denis J. Sading. (2011). Inventori budaya etnik negeri Sabah: Etnik Orang Sungai Buludupi. Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Mahali, S. N. (2010). Adat dan ritual kematian di Sabah. Penerbit Universiti Malaysia Sabah. eBooks. http://eprints.ums.edu.my/18085/
Nasir, K., Zaman, A. R. K., & Mamat, S. (2019). Pengaruh Animisme dalam Adat Kematian Orang Sungai di Daerah Pitas, Sabah: Satu Tinjauan. Borneo International Journal, 1(3), 1–11.
Zainal, S., Abdul Rahman, M. K., & Ibrahim, M. A. (2018). ’Melabuh Ajung’: Signifikasi Kepercayaan Kosmologi Dalam Pembentukan Identiti Teater Tradisional Etnik Pantai Timur Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA)