ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU SUKU UBIAN – KORBAN UNTUK SI MATI
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Bajau suku Ubian merupakan salah satu suku daripada masyarakat etnik Bajau Laut yang mendiami kawasan pesisir di Sabah seperti Pulau Banggi, Kudat, Sandakan, Kunak, Lahad Datu dan Semporna. Masyarakat ini terkenal dengan tradisi adat resam yang kukuh dan mempunyai kepercayaan budaya yang berakar umbi dalam kehidupan seharian mereka. Salah satu amalan adat yang signifikan dalam kalangan Bajau Ubian adalah adat korban untuk si mati. Adat ini tidak hanya melibatkan aspek keagamaan semata-mata tetapi turut bercampur dengan unsur kepercayaan tradisi yang diwarisi dari nenek moyang mereka (Zaimie Sahibil, 2024). Pelaksanaan adat korban dilihat sebagai kewajipan yang perlu dipenuhi oleh keluarga si mati untuk memastikan roh arwah dapat menuju ke Padang Masyhar dengan selamat menggunakan tunggangan berupa binatang korban tersebut (Sahibil, 2016). 

Fungsi dan Peranan

Ritual korban dalam masyarakat Bajau Ubian berfungsi sebagai medium simbolik yang dipercayai membantu roh si mati meneruskan perjalanan ke alam akhirat, di mana haiwan korban dianggap sebagai tunggangan roh menuju ke Padang Masyhar. Amalan ini bukan sahaja melambangkan bantuan perjalanan roh, tetapi turut mencerminkan penghormatan dan kasih sayang keluarga terhadap si mati, menjadikannya satu manifestasi kepercayaan serta ikatan rohani antara keluarga dengan roh si mati (Zaimie Sahibil, 2024).

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

1. Persediaan Upacara Korban

Proses persediaan bagi adat korban untuk si Mati dalam masyarakat Bajau Ubian dimulakan seawal seminggu sebelum hari penyembelihan. Haiwan korban dipilih dengan teliti dan dijaga dengan penuh perhatian di rumah keluarga si mati. Menurut kepercayaan tradisional Bajau Ubian, haiwan korban tersebut dianggap sebagai wakil roh si mati. Oleh itu, ia diperlakukan dengan penuh adat sebagai tanda hormat seolah-olah ia adalah si mati yang masih hidup. Haiwan korban ini tidak hanya diletakkan di luar rumah, tetapi biasanya ditempatkan di satu ruang khas yang menandakan kesakralan upacara yang bakal berlangsung.


Ahli keluarga terdekat akan memberi makanan dan minuman yang istimewa seperti nasi kuning dan kopi atau sesetengah keluarga akan menyediakan makanan yang menjadi kegemaran si mati ketika masih hidup. Perbuatan ini adalah simbolik yang mencerminkan usaha keluarga untuk 'menghubungkan' diri mereka dengan roh si mati, kerana mereka percaya bahawa roh si mati turut hadir dalam bentuk haiwan tersebut. Jika haiwan korban tidak dijaga dengan baik atau ahli keluarga tidak terlibat dalam proses persediaan ini akan menyebabkan roh si mati tidak tenang atau terhalang dari memasuki alam akhirat dengan aman.



Foto 1: Kambing Korban diberikan Makanan

Sumber: Sahibil (2016)


2. Memandikan Haiwan Korban

Ketika tiba hari penyembelihan iaitu selepas solat Aidiladha dilaksanakan, haiwan korban akan dimandikan oleh imam dengan iringan bacaan doa-doa dan ayat-ayat suci Al-Quran. Proses memandikan ini bertujuan untuk membersihkan haiwan korban sebagai simbol penyucian rohani kerana masyarakat Bajau Ubian percaya bahawa binatang korban perlu dalam keadaan bersih sebelum dikorbankan sebagai tanda penghormatan kepada roh si mati serta persediaan untuk menghadap Tuhan. Selain dimandikan, kambing tersebut akan disembur dengan wangi-wangian seperti minyak attar atau minyak kasturi. Kedua-dua proses ini  mencerminkan kepercayaan bahawa haiwan korban yang 'bersih' akan membantu roh si mati memasuki alam akhirat dengan lebih mudah dan terhormat.

Foto 2: Memandikan Haiwan Korban

Sumber: Sahibil (2016)


3. Menyerahkan Hantaran Korban

Setelah haiwan korban dimandikan, wakil keluarga akan melakukan proses penyerahan hantaran korban iaitu intipati terpenting dalam adat korban untuk si mati. Hantaran ini biasanya terdiri daripada beberapa barangan seperti kain (mengikut jantina arwah), makanan kuih tradisional Bajau Ubian (kuih Penjaram, kuih Panganan, kuih Tina’ie Bollong), atau barang simbolik yang mewakili identiti arwah si mati  yang akan diserahkan kepada imam selaku pemimpin upacara. Penyerahan hantaran ini melambangkan permulaan ritual korban yang sah dan dianggap sebagai simbol niat murni keluarga untuk mempersembahkan ibadah korban bagi arwah si mati.




Foto 3: Penyerahan hantaran korban

Sumber: Sahibil (2016)


Semasa penyerahan, wakil ahli keluarga arwah, akan melafazkan ucapan khusus seperti: 


Lafaz penyerahan (Wakil keluarga arwah):

‘Assalammualaikum, tuan iman aku wakil mah kah luarga ku noongan duaan pagkulbanan arwah emmahku tahun tiahe kelna Allah Taala’.

Maksud: Assalamualaikum tuan imam saya mewakili keluargaku untuk menyerahkan hantaran barangan kurban untuk arwah ayahku tahun ini kerana Allah Taala.


Lafaz penerimaan (Imam):

“Walaikumsalam, taimaku soongan duaan kulban tiahe tu mah tahun diahe tu kelna Allah Taala”.

Maksud: Walaikumsalam, aku terima hantaran barangan kurban ini pada tahun ini

kerana Allah Taala.


Selepas itu, imam akan bertanya kepada keluarga mengenai butiran arwah si mati seperti nama, umur, dan tarikh kematian sebagai tanda pengesahan dan dicatatkan pada sehelai kertas untuk tujuan dikuburkan bersama dengan darah haiwan korban. 


4. Mengikat Serban pada Tanduk/Kepala Haiwan Korban

Usai acara penyerahan hantaran korban, proses mengikat serban pada tanduk atau kepala haiwan korban dilakukan sebelum penyembelihan dijalankan. Serban yang digunakan adalah kain putih yang melambangkan kesucian dan kesempurnaan iman. Serban ini diikat pada tanduk atau kepala haiwan korban sebagai lambang keislaman dan penghormatan terhadap arwah si mati.


Foto 4: Mengikat Serban

Sumber: Sahibil (2016)


Mengikut kepercayaan masyarakat Bajau Ubian, serban yang diikat pada tanduk atau kepada haiwan korban berfungsi sebagai simbol status dan kedudukan roh si mati di alam akhirat yang membawa simbol makna kebesaran dan kedaulatannya. Oleh yang demikian, signifikan proses ini bukan sahaja sebagai sebahagian daripada proses penyembelihan, tetapi ia juga satu upacara yang menunjukkan maruah arwah si mati. Seiring dengan itu, imam akan membacakan doa dan ayat-ayat suci Al-Quran di sepanjang pengikatan serban untuk memohon keberkatan serta memastikan roh dapat diterima dalam keadaan terhormat.


5. Pemakaian Kain Pelikat 



Foto 5: Memakaikan Kain Pelikat

Sumber: Sahibil (2016)


Selepas sahaja serban selesai diikat, haiwan korban akan dipakaikan dengan kain pelikat sebagai simbol pakaian terakhir untuk roh si mati sebelum ia 'menghadiri' alam akhirat. Kain pelikat ini dianggap sebagai pakaian rasmi yang melambangkan kesempurnaan dan persediaan roh untuk ke Padang Masyhar. Masyarakat Bajau Ubian percaya bahawa setiap roh perlu berpakaian lengkap dan terhormat semasa menuju ke alam akhirat. Sekiranya haiwan korban tidak dipakaikan kain pelikat, mereka khuatir bahawa roh si mati akan memasuki Padang Masyhar dalam keadaan berbogel, yang dianggap sebagai satu penghinaan kepada maruah si mati dan keluarganya.


6. Penyembelihan dan Bacaan Doa

Setelah sempurnanya proses pemakaian serban dan kain pelikat, haiwan korban akan dibawah ke tapak kornan. Satu lobang tanah akan dikorek sedalam 1 kaki yang berfungsi sebagai takungan untuk memastikan darah haiwan korban mengalir. Sebelum penyembelihan dimulakan, imam akan melafazkan niat dan doa khusus yang berfungsi untuk menyucikan haiwan korban serta memastikan ibadah ini diterima oleh Tuhan. Lafaz niat yang disebutkan adalah: 


“Itonah kulban [nama arwah si mati] matahun tiahie tu, sinongan eindahnamaka banaan anak-anaknah kerana Allah Taala.”


Maksud: Ini adalah qurban untuk arwah [nama si mati] pada tahun ini, yang dipersembahkan oleh isteri dan anak-anaknya kerana Allah Taala.


Nama si mati akan disebut dengan jelas untuk menandakan bahawa korban tersebut didedikasikan secara khusus bagi roh individu berkenaan. Salah satu keunikan yang terdapat dalam adat ini ialah penggunaan helaian kertas yang dicatatkan dengan nama penuh si mati, tarikh kematiannya, serta butiran niat korban yang telah ditulis dalam proses penyerahan hantaran korban. Kertas ini dilipat dan diletakkan di atas tubuh haiwan korban semasa doa dibacakan. Selepas penyembelihan selesai, kertas tersebut akan direndam bersama darah haiwan korban dan kemudian ditanam di tapak penyembelihan bersama-sama sisa darah yang mengalir. Tindakan ini dipercayai sebagai cara untuk memastikan roh si mati ‘mengenali’ bahawa korban tersebut dilakukan khusus untuknya. 


7. Melapah

Proses terakhir dalam adat korban masyarakat Bajau Ubian adalah Melapah. Sebelum daging mula dilapah, perbuatan ‘meniup batang daun betik’ ke arah daging haiwan korban akan dilakukan. Masyarakat Bajau Ubian percaya bahawa tiupan ini berfungsi sebagai satu cara untuk ‘mengusir’ roh-roh jahat, hantu, atau jin yang dipercayai berada di sekeliling binatang korban. Tiupan ini dianggap mampu membersihkan kawasan sekitarnya daripada kehadiran entiti negatif yang boleh mengganggu atau mencemarkan kesucian ibadah korban tersebut. Daun betik dipilih kerana ia dianggap mempunyai khasiat perubatan dan kemampuan mistik yang dipercayai berkesan untuk menghalang kuasa jahat. Tiupan ini juga diiringi dengan bacaan doa atau zikir untuk memohon perlindungan dan keselamatan sepanjang proses melapah dilakukan.


Setelah itu, Kulit binatang akan dikupas perlahan-lahan dan daging akan dipotong  kepada tiga bahagian utama: satu bahagian untuk keluarga, satu bahagian untuk saudara-mara terdekat, dan satu bahagian lagi untuk diagihkan kepada golongan fakir miskin.


Foto 6: Meniup Batang Daun Betik

Sumber: Muhd Hadhari Atong, 2024


Dalam tradisi Bajau Ubian, memberikan daging korban kepada golongan fakir miskin adalah satu bentuk sedekah yang penting dan wajib dilaksanakan, kerana ia dianggap sebagai pemurnian bagi keluarga si mati. Pengagihan ini bertujuan untuk memastikan bahawa roh si mati mendapat keberkatan, dan ibadah korban yang dilakukan diterima oleh tuhan.


Tokoh dan Pencapaian

Dr. Zaimie Sahibil. (58 tahun). Kampung Lagaton, Pulau Banggi, 89050 Kudat, Sabah

Sumber Rujukan

Sahibil, Z. (2016). Ritual Adat Korban dalam Adat Masyarakat Ubian. Jurnal Gendang Alam, 6. https://doi.org/10.51200/ga.v6i.511

Lokasi