Adat pingirih merupakan sebuah tradisi yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di Sarawak. Tradisi ini membawa nilai budaya muafakat dan saling membantu yang unik dalam aktiviti harian anggota komuniti Bidayuh di negeri ini. Adat pengirih biasanya dapat dikesan dalam aktiviti berkaitan pembinaan rumah dan kerja pertanian melibatkan penanaman padi, lada, koko dan getah yang merupakan komoditi utama masyarakat Bidayuh.
Dengan kata lain, tradisi pengirih bukan sahaja dapat memudahkan kerja, malah mampu meringankan beban kerja selain menjimatkan masa untuk menyempurnakan kerja yang tuan rumah sedang usahakan. Seperti tradisi gotong-royong kerja dalam tradisi pengirih dijalankan secara beramai-ramai tanpa sebarang bayaran atau upah.
KONSEP PINGIRIH
Apabila sesebuah keluarga berhasrat untuk toban pingirih yakni menganjurkan pingirih, pemakluman dan permintaan akan disampaikan kepada ahli komuniti berkaitan tarikh dan masa serta tempat juga jenis kerja yang akan dijalankan. Biasanya kalangan ahli komuniti sentiasa bersedia daripada segi kelengkapan masa dan tenaga untuk tujuan tersebut. Pada hari dan masa yang telah ditetapkan, ahli komuniti berkenaan akan odi ngiri atau datang mengirih dan menyumbangkan kemahiran dan tenaga untuk melaksanakan kerja dan aktiviti yang telah dimaklumkan oleh penganjur pingirih.
Dalam keadaan tertentu, sebilangan ahli komuniti yang datang menyertai pingirih adalah kalangan mereka yang pernah menganjurkan pingirih sebelum ini. Mereka hadir sebagai tindakan untuk membalas pingirih atau disebut sebagai odi rapas pingirih.
Penyertaan pingirih diukur dengan berdasarkan bilangan hari seseorang menyumbangkan tenaganya. Dalam keadaan tertentu, ahli komuniti yang menyertai pingirih boleh juga membuat permintaan khusus kepada penganjur berkaitan balasan penyertaannya. Atas permintaan, peserta pingirih boleh juga dibalas dengan keperluan dapur asas yang terdiri daripada beras, garam dan belacan. Dalam keadaan ini, persetujuan untuk memberi balasan ternyata dapat membantu ahli komuniti yang menghadapi kesukaran hidup dari segi keperluan asas iaitu bekalan makanan.
Tambahan pula peserta pingirih ialah kalangan saudara mara dan rakan taulan yang bersedia membantu penganjur pingirih. Malah sekiranya sesuatu pingirih tidak sempat dibalas penganjur, bantuan yang diberikan akan dianggap dan diingati sebagai budi dan jasa ikhlas.
Pingirih yang dianjurkan tidak terhad kepada lingkungan kawasan dan batas geografi tertentu sahaja. Oleh itu, sering kali pingirih turut melibatkan hampir seluruh penduduk sekampung malah kampung-kampung berdekatan yang lain. Justeru, penduduk kampung sentiasa pingirih-birumiek atau saling berpingirih sesama mereka. Contohnya pingirih ngutuom iaitu pingirih dalam kerja menuai padi dilaksanakan dengan harapan untuk memperoleh hasil tuaian yang lumayan selain dapat mengukuhkan rasa kekitaan.
Pada dasarnya rapas pingirih tidak semestinya serentak dan dilakukan bersama-sama dengan aktiviti semasa odi ngirih. Sebaliknya, lebih bergantung kepada keadaan dan kehendak rapas pingirih itu sendiri. Justeru, seseorang penganjur pingirih boleh boleh mengirih orang lain atas sebab keperluan terhadap kemahiran khusus yang dimilikinya. Dengan kata lain, seseorang itu diperlukan atas faktor kepakarannya dalam sesuatu pekerjaan.
PENGIRIH DALAM PEKERJAAN MENANAM PADI
Pekerjaan menanam bagi masyarakat Bidayuh biasanya dilakukan secara berperingkat iaitu nou yakni menebas, nobong bermaksud menebang, ngokas yakni membakar kayu, nuruk bermaksud menanam, nyobu atau merumput, dan ngutuom iaitu menuai.
PESERTA PINGIRIH
Pada amnya, seluruh ahli komuniti boleh menyerai acara pengirih kerana pada asasnya acara ini lebih kepada kerja sukarela dan didasari atas sikap saling membantu. Namun begitu, disebabkan jenis dan bentuk kerja yang dijalankan ketika mengirih adalah kerja yang berat dan memerlukan kemahiran serta pengalaman, kebanyakan yang terlibat ialah kaum lelaki dan wanita dewasa.
Sungguhpun begitu, kumpulan remaja yang berkebolehan sering kali diajak bersama dalam urusan kerja dan pingirih ini. Jelas sekali bahawa pingirih dalam komuniti Bidayuh diadakan tanpa membezakan jantina atau tahap umur selagi boleh bekerja bersama-sama dalam mencapai hasrat penganjur pengirih.
Dalam menentukan untuk Odi ngirih iaitu pergi ngirih dan rapas pingirih yakni membalas pingirih, seseorang individu atau keluarganya bebas menentukan keputusan masing-masing. Tiada ukuran dan panduan kekerapan dibuat untuk Odi ngirih. Sementara dari sudut berbalas pingirih, biasanya ukuran secara setara digunakan sebagai panduan. Oleh itu pingirih lelaki dikatakan paling sesuai dibalas oleh individu lelaki, pingirih perempuan dibalas oleh individu perempuan. Begitulah juga sekiranya pingirih melibatkan institusi keluarga, maka balasan penyertaan adalah juga seisi keluarga.
-
-
-
-
i. Bahan Bacaan
Ajien Nyigor. (2015). Pingirih: Budaya Muafakat Etnik Bidayuh. Institut PendidikanGuru. https://www.youtube.com/watch?v=PTmM1PRwR-w
Clayton Robert. (30 Mei, 2022). Musuh Pingirih. Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2022/05/30/musuh-pingirih
T.p. (8 Mei, 2015). Bidayuh makin melupai ‘pengirih’. Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2015/05/08/bidayuh-makin-melupai-pengirih