Perkahwinan dalam kalangan masyarakat suku Kadazan adalah ditentukan berdasarkan persetujuan daripada kedua-dua pihak ibu bapa, yang bertanggungjawab memilih jodoh untuk anak-anak mereka. Segala urusan, termasuk upacara merisik, pertunangan, dan perkahwinan akan diatur dan ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa. Anak-anak yang bakal berkahwin biasanya hanya dimaklumkan apabila tarikh perkahwinan mereka semakin hampir.
Adat masyarakat Kadazan menetapkan bahawa perkahwinan hanya dibenarkan antara pasangan yang tidak mempunyai sebarang hubungan persaudaraan. Oleh itu, penglibatan ibu bapa dalam memilih jodoh memainkan peranan penting untuk memastikan peraturan ini dipatuhi khususnya kepada anak perempuan. Ketidakpatuhan terhadap adat dan norma masyarakat Kadazan dipercayai boleh membawa malapetaka bukan sahaja kepada pasangan, tetapi juga kepada keluarga serta seluruh komuniti.
Foto 2: Perarakan Pengantin Perempuan
Sumber: AF Studio, 2023
Secara tradisional, adat ini dilakukan sebgai simbolik kepada sebuah keluarga ‘menyerahkan’ anak perempuan mereka kepada keluarga lain iaitu pengantin lelaki untuk menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Oleh yang demikian, perkahwinan anak perempuan dibuat secara besar-besaran berserta dengan upacara-upacara adat untuk menghormati dan menghargai jasa-jasanya semasa bersama dengan keluarganya. Hal ini kerana, anak perempuan memainkan peranan penting dalam membantu keluarga mereka meneruskan kehidupan.
Bersama ibu bapa mereka, anak perempuan bertanggungjawab menjaga adik-adik sejak kecil, melakukan kerja di ladang, menumbuk padi, mengumpulkan kayu api, serta menjalankan aktiviti ‘Mooi Sondot’ iaitu menjual hasil tanaman di pekan, meskipun perlu meredah hutan dan bukit. Selain itu, anak perempuan dianggap sebagai sumber kekayaan keluarga melalui pemberian ‘Nopung’ (hantaran). Oleh sebab itu, perkahwinan anak perempuan dipandang serius oleh ibu bapa dan komuniti, yang menjadikannya satu hal penting dalam adat ‘Mongoi Panau’.
-
-
Upacara adat Mongoi Panau perlu dilaksanakan tanpa sebarang petanda buruk yang dikenali sebagai ‘Kadaaton’. Jika berlaku kematian di kampung sebelum majlis perkahwinan, acara tersebut akan ditunda ke tarikh lain. Namun, sekiranya kematian terjadi semasa majlis sedang berlangsung, acara keramaian hanya akan dihentikan buat sementara waktu. Dalam situasi ini, tuan rumah perlu menjemput Bobolian untuk melaksanakan ‘Momurinait’, iaitu pembacaan mantera bagi melindungi pasangan pengantin dan seluruh keluarga daripada sebarang musibah.
Pada masa dahulu, adat ini biasanya dilangsungkan pada waktu malam. Bagi pasangan pengantin yang belum pernah bertemu dengan bakal suami atau isteri mereka, waktu malam dianggap paling sesuai untuk melangsungkan perkahwinan. Suasana malam yang gelap dan hanya diterangi cahaya lampu yang terhad membantu menyembunyikan perasaan seperti malu, gugup, takut, atau sedih. Lazimnyaa, pada sekitar jam 3.00 petang, wakil daripada pihak lelaki seramai tiga orang akan datang ke rumah pihak perempuan sambil membawa sebuah ‘Sanang’, iaitu gong jenis canang. Ketibaan mereka disambut mesra oleh keluarga pihak perempuan yang menyediakan hidangan makanan dan minuman tradisional. Selain itu, sesetengan pihak mengadakan aktiviti cabaran dan rintangan kepada pihak rombongan di mana, mereka perlu meminum ‘Tapai’ yang memabukkan, sehingga para rombongan dibenarkan naik ke atas rumah untuk menjemput si pengantin perempuan.
Salah satu kebijakan masyarakat Kadazandusun dalam menilai budi pekerti seseorang adalah dengan memerhatikan tingkah laku mereka semasa makan dan minum. Dalam tradisi ini, wakil rombongan lelaki akan diminta minum tapai sehingga mabuk atau muntah. Wakil yang memiliki budi pekerti baik tidak akan bertindak kasar atau menimbulkan kekacauan di rumah keluarga pengantin perempuan, berbeza dengan mereka yang kurang berbudi. Oleh itu, wakil yang dipilih mestilah individu yang berakhlak baik, kerana melalui pemerhatian ini, keluarga pihak perempuan dapat memahami dengan lebih mendalam sikap dan keperibadian keluarga pihak lelaki.
Lafaz Tondiandi |
Terjemahan |
Wonsoi totobon do taan, id sungkad do solianon, i purinding ku lo’i oton, do kosusut do rondomon. Oton pananom po’d siot, do siot nu panatadon, sorou no pihuyan nu lohing,
do daamot nu mooi wagu. |
Terbukalah pintu langit, di gerbang laluan, pendindingku untuk si oton (panggilan manja untuk anak perempuan), menyusup malam yang gelap. Tanamlah siot dahulu oton, Siot untuk asal usulmu, ingatlah lelah tuamu, tatkala engkau mengambil yang baharu. (siot ialah sejenis tumbuhan berupa kayu yang biasanya digunakan
sebagai tangkal oleh etnik Kadazandusun tradisional) |
Lafaz Tondiandi |
Terjemahan |
Mili-kili roun do
sibu, id tanga do
tindalanon, i purinding ku lo’i
oton, do kosusut do
rondomon. |
Melambai-lambai daun sibu, Di tengah perjalanan, Pendindingku untuk si oton, Menyusup malam yang gelap. |
Sumber: Minah Sintian, 2021
Selain itu, perjalanan menuju ke rumah pengantin lelaki juga akan melalui beberapa buah rumah orang kampung. Masyarakat secara kolektif telah sedia maklum bahawa rombongan Mongoi Panau akan melalui kawasan rumah mereka. Penghuni rumah yang teruja telah pun bersedia di beranda rumah masing-masing untuk mengalu-alukan rombongan dan memberi sokongan moral kepada pengantin perempuan dalam menempuhi alam rumah tangganya kelak. Rombongan akan melafazkan Tondiadi yang sesuai dengan situasi pada ketika itu seperti berikut;
Foto 4: Perjalanan Menuju Rumah Lelaki dan Tondiandi
Sumber: Prestly Golibot, 2017
Lafaz Todiandi tuan rumah di beranda,
Lafaz Tondiandi |
Terjemahan |
Mantad toi’d modtiga
oku toi moningayam do rilib bayu ma’d kalalangadan do tuhup dot kosondoton. |
Adakah saya menjengah ini, hanya untuk memalukan selendang, hanyalah kerinduan, membantu tempat dituju. |
Sumber: Minah Sintian, 2021
Lafaz Todiandi oleh wakil pihak lelaki,
Lafaz Tondiandi |
Terjemahan |
Pongisan kou i’
manawalai do ootungan do
tinggoron insan ka po’d
kadansaran nga pomosuon o moningot. |
Bersedialah kamu hai tuan rumah, Guruh datang menimpa, Sekali bertembung, Tebuan akan menggigit. |
Sumber:
Minah Sintian, 2021
Lafaz Todiandi oleh wakil pihak perempuan,
Lafaz Tondiandi |
Terjemahan |
Oton ponolokoi no’d walai
do walai’d
turu sonsusun pamakabai-kabai no kama
do rugading
polumboting. |
Masuklah ke rumah wahai oton, rumah berlapis tujuh, berpegang-peganglah, do rugading polumboting. |
Sumber: Minah Sintian, 2021
Rugading merujuk kepada sejenis buluh burisan atau berjalur yang memiliki nilai istimewa dalam kepercayaan etnik Kadazandusun. Buluh ini tidak boleh dimusnahkan sewenang-wenangnya kerana terdapat pantang larang tertentu yang mesti dihormati. Dalam konteks bait Tondiadi tersebut, Rugading melambangkan kekayaan. Sementara itu, kata Polumboting membawa maksud terbentang atau terpampang. Oleh itu, pengantin perempuan diingatkan agar berhati-hati dengan tingkah lakunya kerana keluarga pengantin lelaki tersebut merupakan golongan yang berada.
Setelah selesai acara berbalas Tondiadi, rombongan pengantin perempuan akan dijemput masuk ke dalam rumah. Pengantin perempuan akan didudukkan di atas ‘Timpohon’, iaitu kerusi kayu yang rendah. Pada waktu itu, pengantin lelaki tidak dibenarkan berada di rumah. Sebagai tanda penghormatan, rombongan pihak perempuan akan disajikan hidangan makanan yang lazat serta minuman tradisional yang memabukkan sehingga mereka merasa kenyang.
Minuman tapai telah disediakan dalam beberapa buah ‘Tajau Nodopitan’ (tajau yang telah dibacakan mantera) kerana ia dipercayai berfungsi untuk menghindari perkara tidak baik seperti pergaduhan atau percakapan yang tidak sopan semasa majlis berlangsung. Perkahwinan dalam adat ini dimeriahkan dengan kehadiran seluruh penduduk kampung, yang bersama-sama meraikan pasangan pengantin dalam suasana harmoni dan penuh kegembiraan.
Pada malam mongoi panau itu, mempelai tidak dibenarkan tidur bersama. Pengantin perempuan tidur ditemani teman-teman perempuan dalam rombongannya. Keesokan harinya pengantin perempuan dihantar balik ke rumahnya oleh ibu pengantin lelaki bersama empat orang wakil kaum perempuan di pihak pengantin lelaki. Pada petang itu sekali lagi pengantin perempuan diarak ke rumah pihak lelaki. Pada hari kedua ini barulah kedua-dua pengantin dipertemukan dan bermalam bersama. Mereka duduk dan makan seperti biasa bersama kaum keluarga dan rakan-rakan. Selepas bergelar suami isteri pengantin perempuan dibenarkan kembali dan tinggal bersama ibu bapanya sehingga dia cukup bersedia untuk tinggal bersama di rumah keluarga suami.
Mazizy J. Lomodi. (30 Tahun). Kampung Limbanak, 89650 Penampang, Sabah. 12 November 2024.
Alice Kinsui. 69 Tahun. Kampung Bongkud, Ranau, Sabah. 13 November 2024.
Stella Jonnes. 34 Tahun. Kampung Bongkud, Ranau, Sabah. 13 November 2024.
Arena Wati. (1978). Dusun satu tinjauan dalam konteks kepercayaan, kultus dan hukum adat di Sabah. Kota Kinabalu: Penerbitan Yayasan Sabah.
Buyoh, R., Ling, J. W. K., & Loven, C. L. (2021). Kelompok Tema “Tukadan” Dalam Subjek Bahasa Kadazandusun: Theme-Based Clustering Of “Tukadan” In Kadazandusun Language Subject. Journal of Borneo Social Transformation Studies, 7(1), 148-168.
Henry Bating. (2014). Tradisi Mongoi Panau - Warisan jalinan kasih sayang dan persaudaraan. http://kampungpamilaan.blogspot.com/2014/02/kasih- sayang-dan-persaudaran dalam.html
Henry Bating. (2015). Makan beradat ‘Mitambul’ Perkahwinan Callina Marcus dan Nattemius Andoh, Kg Paka Dua, Ranau. Diperoleh daripada Facebook. 24 November 2024.
Miller, J., & Miller, C. (1991). Thematic continuity and development in Coastal Kadazan narratives. In Thematic continuity and development in languages of Sabah. Pacific Linguistics.
Minah Sintian & Rosliah Kiting (eds.). (2016). Tinimungan tangon Kadazandusun Himpunan cerita Kadazandusun. Tanjong Malim & Kota Kinabalu: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris & Penerbit Universiti Malaysia Sabah.
Minah Sintian. (2012). Mantera atau rinait Kadazandusun: Tinjauan dalam aspek pengamal dan fungsinya dalam kehidupan. Prosiding Simposium Bahasa dan Budaya Iban dan Folklor Borneo/Kalimantan. Kuching, Sarawak: Dewan Bahasa dan Pustaka Kuching, Persatuan Folklor Malaysia, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.
Minah Sintian. (2013). Kadaaton tinaru Kadazandusun: Koubasanan om kotumbayaan di mongowit korutumon? (Petanda buruk dalam masyarakat Kadazandusun: Amalan dan kepercayaan yang membawa kemunduran?). Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Kadazan Dusun. Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, FBK, UPSI & SMK Tun Fuad Stephen Kiulu, Tuaran. Julai 2013.
Minah Sintian. (2021). Perkahwinan Etnik Kadazandusun Tradisional: Suatu Gambaran Kearifan Tempatan. Dalam Saidatul Nornis Haji Mahali (Ed). Geliga Etnik di Sabah. Penerbit Universiti Malaysia Sabah
Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.