ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM IBAN: ADAT MIRING
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Kaum Iban merupakan penduduk majoriti di negeri Sarawak iaitu menghampiri 30% daripada jumlah keseluruhan. Mereka menetap di beberapa kawasan khususnya Sri Aman, Betong, Kapit, Song, Bintulu, Sibu dan sepanjang Sungai Rajang. Dalam kalangan kaum ini terdapat sejenis adat yang menjadi begitu menyerlahkan identiti budaya kaum Iban iaitu adat miring. Adat miring ini bertujuan memperoleh keberkatan kepada penduduk, melindungi dari mala petaka selain memberi atau membawa kebahagiaan, kedamaian dan keharmonian dalam kalangan ahli masyarakat. Adat ini biasanya dilakukan sebelum sesuatu aktiviti penting dan sesudah terjadinya malapetaka atau kejadian buruk dalam kalangan mereka.

Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

PELAKSANAAN

Adat ini menggunakan piring dengan empat tahap penggunaan iaitu:


1. Minima menggunakan tiga piring yang merupakan miring biasa dan kerap kali terjadi dalam kehidupan seharian khususnya apabila  mendapat mimpi yang buruk atau apabila hendak memulakan kerja pembukaan sawah.

2. Penggunaan sejumlah lima piring adalah untuk tujuan dan urusan membina dan mendirikan rumah panjang iaitu rumah kediaman kaum Iban.

3. Penggunaan tujuh piring sering kali bagi tujuan khusus yang lebih serius dan berat terutamanya apabila hendak memulakan perjalanan yang jauh dan perjalanan yang mempunyai urusan yang sangat penting.

4. Sementara penggunaan sembilan piring adalah dikhususkan untuk tujuan peperangan.


Bahan-bahan untuk persembahan dalam acara miring ialah nasi pulut putih, nasi pulut hitam, nasi putih, nasi himpit, ayam, khinzir, tuak, sagun, rokok daun apung/nipah, tembakau, telur yang dimasak, sirih, pinang, garam dan minyak masak. Bahan-bahan ini diletakkan dalam piring dan dibacakan mantera. Bagi miring tahap lima dan ke atas, adalah perlu untuk disediakan khinzir untuk tujuan bahan persembahan.


Upacara ini dimulai dengan mengorbankan seekor khinzir dan seekor ayam. Biasanya sebelum dikorbankan, seekor ayam akan dikibas-kibas pada tetamu atau yang diraikan. Darah dan bulu ayam diperlukan bagi melengkapkan upacara ini. Yang diraikan menuang separuh air tuak ke dalam beberapa buah gelas sebagai pedara dan separuh lagi akan diminum.


Pakar ritual yang disebut lemambang akan melakukan acara bebiau iaitu acara memanggil dewa-dewa, orang Panggau Libau agar datang ke upacara itu. Seekor ayam akan digunakan untuk miau Piring. Setelah digunakan untuk miau Piring ayam tersebut akan disembelih dan darah ayam tersebut akan disapukan di telapak tangan menggunakan bulu ayam sebagai simbolik bahawa seseorang itu layak menerima rezeki daripada Petara dengan tangan terbuka. Bulu ayam yang sudah dibaluti darah tersebut akan diletakkan di atas piring yang telah disediakan untuk acara tersebut. Kaum Iban percaya bahawa ayam adalah pendinding roh yang utama. 


Upacara miring amat penting dalam budaya masyarakat Iban, sehinggakan setiap aturan dalam upacara ini adalah diturunkan oleh Petara dan bukan dibuat mengikut hati seseorang atau sesiapa sahaja dalam komuniti Iban itu. Malah, hanya orang yang layak untuk mengendalikan upacara miring adalah orang yang mempunyai ilmu mengenai piring. Justeru, masyarakat Iban pada dasarnya tidak akan melakukan upacara miring tanpa sebab yang konkrit dan penting. Hal ini kerana setiap perkara yang dilakukan termasuklah miring sememangnya mempunyai tujuan khusus dan maksud tertentu.


Pokok ranyai dihiasi dengan menggantung buah-buahnya yang berupa sumbangan makanan dan minuman untuk dicantas dan diambil oleh para penari ngajat sebagai hadiah apabila menari mengelilingi pokok itu. Beberapa biji kelapa selalunya turut digantung sebagai lambang kepala musuh. Para penari lelaki secara simbolik memenggal kepala musuh yang dilambangkan dengan buah kelapa tersebut.


Dengan kehidupan yang masih begitu kuat dengan kepercayaan warisan, semangat dan unsur-unsur magis ternyata begitu penting kepada masyarakat Iban. Unsur-unsur ini sentiasa menjadi keutamaan malah begitu dijaga dan dipuja dalam upacara miring biasa dan miring dalam gawai. Secara langsung cara hidup masyarakat Iban amat banyak dipengaruhi oleh keyakinan mereka terhadap kuasa-kuasa luar biasa tersebut sehingga menjadi keperluan untuk sering melakukan ritual miring. Ekoran kuatnya rasa takut dan khuatir dalam pemikiran dan jiwa masyarakat Iban, kuasa-kuasa luar biasa ini begitu mempengaruhi perilaku dan amalan kehidupan harian mereka. Justeru itu, ritual miring perlu dilakukan bagi menyelesaikan segala masalah di samping dapat meredakan kemarahan kuasa-kuasa luar biasa. 

Jelas bahawa segala mala petaka yang berlaku cuba diselesaikan dengan melakukan ritual miring iaitu memohon keampunan dan kemaafan daripada kuasa-kuasa luar biasa. Oleh itu terdapat Piring ampun bagi permasalahan seseorang melakukan kesalahan sehingga menimbulkan kemarahan petara. 

Dikhuatiri mala petaka berupa tanah runtuh, wabak penyakit, musim kemarau, kematian dan nasib malang akan menimpa individu yang melakukan kesalahan. Pada masa yang sama,ritual miring juga dilakukan bagi memohon keberkatan, keizinan, mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat serta dikurniakan kebaikan yang diperlukan oleh masyarakat Iban. Diharapkan agar kesejahteraan hidup dapat dipertingkatkan lagi dengan melakukan ritual miring demi memperoleh pertolongan dan perlindungan daripada kuasa-kuasa luar biasa. Ringkasnya, ritual miring merupakan keperluan penting bagi masyarakat Iban yang masih mengamalkan kepercayaan warisan.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

i. Bahan Bacaan

Bibiana Motey Anak Bilon @ Senang & Noria Tugang. (2016). Ritual Miring dalam Masyarakat Iban di Sarawak. International Seminar on the Heritage and Folklore of the Malay Archipelago. https://www.researchgate.net/publication/322695932_RITUAL_MIRING_DALAM_MASYARAKAT_IBAN_DI_SARAWAK#:~:text=Ritual%20Miring%20merupakan%20satu%20persembahan,diperlukan%20malah%20boleh%20mengundang%20malapetaka

Bibiana Motey Anak Bilon @ Senang & Noria Tugang. (2018). The Iban Traditional Religion: Miring. Journal of Borneo-Kalimantan, 4(1), 37-43. https://www.researchgate.net/publication/331246018_The_Iban_Traditional_Religion_Miring

Daniel Ugih Echoh, Salfarina Abdul Gapor & Haris Fadzilah Abdul Rahman. (2020). Fungsi Upacara Miring dalam Proses Pemuliharaan Kubu di Wilayah Tengah Sarawak. Journal of Borneo Social Transformation Studies, 6(1), 148-162. https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/jobsts/article/view/2800/1848

T.p. (11 Disember, 2021). Adat Miring Diadakan Sebelum Berlangsungnya Aktiviti Penting. Rakan Sarawak. https://www.rakansarawak.com/v3/2021/12/11/adat-miring-diadakan-sebelum-berlangsungnya-aktiviti-penting/


Lokasi