Foto 1: Tugu Peringatan Nunuk Ragang
Sumber: Pusat Kebudayaan Kadazandun Sabah (KDCA)
Masyarakat Kadazandusun dari suku Dusun mempunyai kebiasaan menamakan tempat atau objek dengan nama yang membawa maksud tersirat (Fee & On, 2012). Nama "Nunuk Ragang" dipercayai berasal daripada dua perkataan dalam bahasa Dusun, iaitu “Nunuk”, yang merujuk kepada sejenis pokok bernama Pokok Banyan atau nama lainnya dikenali sebagai Pokok Ara Jejawi. Manakala “Ragang” pula merujuk kepada “Warna Merah”. Oleh itu, "Nunuk Ragang" secara harfiah dapat ditafsirkan sebagai pokok banyan berwarna merah. Namun demikian, terdapat juga pandangan dalam cerita-cerita masyarakat terdahulu yang menyatakan bahawa "Nunuk Ragang" bukan merujuk kepada pokok banyan berwarna merah, tetapi kepada tubuh badan manusia di kawasan tersebut yang kelihatan berwarna merah (Jolius, 2023).
Foto 2: Pokok Banyan (Pokok Ara Jejawi)
Sumber: Jabatan Perhutanan Malaysia
Kewujudan Nunuk Ragang sering dikaitkan dengan penempatan awal masyarakat Dusun, yang dianggap sebagai salah satu tapak sejarah penting dalam budaya mereka. Penduduk Dusun di daerah Ranau sangat mengaitkan identiti dan kepercayaan mereka dengan legenda Nunuk Ragang, yang sehingga kini masih diwarisi melalui penceritaan lisan dalam kalangan masyarakat Dusun. Menurut legenda tersebut, pada suatu ketika dahulu, ketua kaum Dusun memiliki seekor ayam jantan yang dianggap ajaib. Apa yang membuatkan ayam ini menjadi luar biasa adalah saiznya yang dikatakan sebesar seekor kerbau. Ayam tersebut sering mengembara ke pelbagai tempat pada siang hari dan pada waktu malam, ia akan kembali untuk berehat di atas pokok Nunuk Ragang.
Rentetan itu, masyarakat Dusun yang terkenal dengan amalan agrarianya seperti melakukan aktiviti penanaman padi huma menambah dimensi mistik terhadap kehidupan mereka di sekitar Nunuk Ragang di mana suatu hari semasa mereka sedang sibuk dengan kerja-kerja penanaman padi, terdengar suara aneh yang seolah-olah berasal dari bawah tanah. Suara itu menarik perhatian mereka kerana bunyinya menyerupai suara manusia, tetapi datang dari tempat yang tidak diduga iaitu di bawah pokok nunuk ragang tersebut. Dengan penuh rasa ingin tahu, mereka membuat keputusan untuk menggali tanah di kawasan tersebut bagi mencari sumber suara itu. Selepas usaha menggali dilakukan, mereka menemukan sebuah lubang besar di dalam tanah. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati lubang itu dihuni oleh sekelompok manusia yang telah lama menetap di sana. Ketua kumpulan manusia bawah tanah itu menyatakan niat mereka untuk merebut petempatan Nunuk Ragang, yang telah sekian lama menjadi milik masyarakat Dusun. Malah, ketua tersebut memberi amaran tegas bahawa jika orang Dusun tidak segera meninggalkan kawasan itu, mereka akan menggunakan kekerasan untuk mengusir mereka, termasuk membunuh sekiranya perlu (Low Kok On, 2005).
Ekoran kejadian tersebut, masyarakat Dusun mengambil keputusan untuk berpindah, yang akhirnya membawa kepada perpecahan penduduk asal Nunuk Ragang. Perpecahan ini menyebabkan sebahagian daripada mereka berpindah ke pelbagai lokasi lain di Sabah, termasuk Kudat, Penampang, dan Ranau. Dalam naratif ini, pemilik ayam ajaib yang juga merupakan ketua masyarakat Dusun telah dibawa terbang oleh ayamnya ke Ranau. Setibanya di Ranau, ayam ajaib tersebut menggunakan cakarnya untuk mengais tanah, menjadikan kawasan itu rata dan sesuai untuk didiami.
Namun, apabila tindakan ini diketahui oleh penghuni bawah tanah yang berniat jahat, mereka datang ke Ranau untuk membunuh ayam ajaib itu. Ayam tersebut, menyedari kehadiran musuh, segera terbang ke Tambunan sebelum sempat diserang. Di Tambunan, ayam ajaib sekali lagi meratakan tanah seperti yang dilakukan sebelumnya di Ranau. Namun, musuh-musuhnya terus mengejar, memaksa ayam itu terbang ke Keningau. Di situ, ayam ajaib ini menetap sehingga akhirnya meninggal dunia akibat sakit tua.
Selain legenda ayam ajaib ini, Nunuk Ragang juga sering dikaitkan dengan kepercayaan tradisional masyarakat Dusun, khususnya Momolianisme atau animisme (Segunda, 2004). Kepercayaan ini mengajarkan bahawa terdapat interaksi mistik antara alam dan roh di kawasan sekitar Nunuk Ragang. Oleh sebab itu, Nunuk Ragang dipercayai mempunyai elemen-elemen kerohanian yang kuat, dan hingga ke hari ini, golongan Bobolian dalam masyarakat Dusun masih memegang teguh kepada kepercayaan ini. Kisah ini tidak hanya mencerminkan hubungan spiritual masyarakat Dusun dengan alam sekitar, tetapi juga menunjukkan pengaruh mitologi dalam membentuk identiti dan warisan budaya mereka.
Akhirnya, Pada tahun 2004, Pertubuhan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) telah mengambil inisiatif membina sebuah tugu peringatan Nunuk Ragang di Kampung Tampias, Ranau. Kampung ini dipercayai sebagai lokasi asal masyarakat Dusun sebelum mereka berpecah dan berpindah ke pelbagai daerah lain di Sabah. Tugu ini bukan sahaja menjadi lambang warisan budaya tetapi juga simbol penghormatan terhadap asal-usul dan sejarah masyarakat Dusun.
Namun demikian, sehingga hari ini, tiada bukti arkeologi yang dapat mengesahkan kewujudan petempatan manusia lampau di kawasan tersebut. Ketiadaan bukti ini menjadikan kisah mengenai Nunuk Ragang kekal dalam domain mitos dan naratif lisan, tanpa sokongan saintifik yang kukuh. Walaupun begitu, legenda ini terus menjadi elemen penting dalam identiti dan tradisi masyarakat Dusun, mencerminkan kepercayaan kolektif mereka terhadap asal-usul dan warisan nenek moyang.
-
-
-
-
-
Fee, L. Y., & On, L. K. 2012. Investigating the Relationship between Kadazandusun Beliefs about Paddy Spirits, Riddling in Harvest and Paddy-related Sundait. Southeast Asia Journal of General Studies, 92-96.
iloveborneo. (2022, October 15). Nunuk Ragang, Ketahui Tempat Yang Dipercayai Sebagai “asal usul” kadazan-dusun. Diambil daripada. https://www.iloveborneo.my/nunuk-ragang-ketahui-tempat-yang-dipercayai-sebagai-asal-usul-kadazan-dusun/
Jolius, J. (2023). Tugu Nunuk Ragang, Ranau: Simbol Budaya dan Kepercayaan Masyarakat Dusun: Nunuk Ragang Monument, Ranau: The Symbol of Culture and Beliefs of Dusun Community. Jurnal Borneo Arkhailogia (Heritage, Archaeology and History), 8(1), 169-188.
Low Kok On. 2005. Membaca Mitos Lagenda Kadazan Dusun, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur.
Saimin Ginsari. 2022. Sejarah Migrasi Dusun di Sabah. Tuaran: Institut Pendidikan Guru Kampus Kent.