Ngoncong merupakan kaedah perubatan tradisional dalam suku kaum Selako yang dipercayai amat berkesan mengubati penyakit berkaitan dengan makhluk halus dan ilmu hitam. Suku Selako merupakan suku kaum yang terdapat di Pulau Borneo yang tertumpu di kawasan Lundu, Sematan, Bengkayang dan Sambas. Mereka mempunyai budaya tradisi yang unik dalam bidang perawatan penyakit mistik dengan upacara yang khusus dan istimewa.
-
-
-
Persembahan Ngoncong merupakan persembahan tradisional bagi masyarakat etnik Bidayuh Salako yang terdapat di Daerah Lundu, Sarawak. Secara tradisi, persembahan Ngoncong dahulunya digunakan sebagai aktiviti perubatan tradisional. Ngoncong juga disebut sebagai Koncong hanya terdapat dalam kalangan kaum Bidayuh Salako. Bomoh dalam persembahan perubatan ini dikenali sebagai pangoncong atau pengoncong yang begitu arif dengan persembahan Ngoncong melalui warisan ilmu daripada keluarga secara turun-temurun.
Ngoncong ialah kaedah perubatan berbentuk persembahan yang sangat penting dan terkenal dalam kalangan suku kaum Selako pada suatu ketika dahulu. Suku kaum Salako memanfaatkan Ngoncong bagi tujuan mengubati penyakit dan sebagai medium hiburan dalam komuniti. Secara langsung persembahan Ngoncong memberikan identiti yang unik kepada suku kaum Salako terutama daripada segi adat dan budaya yang tersendiri.
Upacara ini mempunyai beberapa peringkat dan biasanya dilakukan di rumah pesakit dalam keadaan individu yang bakal dirawat biasanya dibaringkan atau didudukkan di tengah rumah. Sementara para tetamu yang hadir akan duduk mengelilingi pesakit dan tidak dibenarkan melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu perlaksanaan upacara. Semasa rawatan dilakukan, peralatan muzik khususnya biola, gong dan rebana akan dimainkan.
Kehidupan masyarakat Salako yang berasaskan budaya agraria terjelma dalam seni budaya dan juga adat pantang larang yang sangat berkait rapat dengan alam semula jadi. Persembahan dalam perubatan Ngoncong dimulakan dengan nyangahant iaitu ritual penyembahan roh sebagai menerusi bacaan mantera penyembahan yang disebut sebagai baiean 'I. Bagi Ngoncong perubatan penyembahan kepada baiean 'l wajib dilakukan iaitu penyembahan kepada roh halus atau hantu yang dipercayai akan membantu pangoncong untuk mengubati pesakt. Namun begitu baiean'l tidak dilaksanakan dalam Ngoncong untuk tujuan hiburan.
Pengendali upacara Ngoncong atau disebut pegoncong memulakan bacaan mantera bagi menyeru semangat dan roh tertentu untuk membantunya mencari semangat pesakit yang dipercayai terpisah dari tubuhnya. Dalam keadaan ini pengoncong bertindak sebagai penghubung antara pesakit dan roh tersebut. Pengoncong akan terus-menerus membaca mantera memanggil roh dan semangat sehingga ke tahap tidak sedarkan diri. Dipercayai bahawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ini pengoncong akan dapat menemukan semangat pesakit untuk digabungkan semula dengan tubuh badanya. Akibatnya pengoncong boleh menjadi begitu merasa lemah sehingga tidak berupaya untuk berdiri. Dalam keadaan ini, pengoncong biasanya akan dibantu oleh seorang penolong yang dipanggil penadek.
Mantera nyangahanl sering dibaca dalam setiap majlis sambutan termasuklah majlis kesyukuran, gawai padi, majlis perkahwinan dan acara sambutan lain. Namun begitu, mantera yang digunakan tidak sama seperti dalam upacara Ngoncong perubatan dan gawai kesyukuran. Ini kerana nyangahant dibuat dalam upacara Ngoncong ditujukan kepada Tuhan yang disembah dan dikenali sebagai Jubala. Melalui penyembahan ini masyarakat Bidayuh Salako percaya bahawa kesemua keberkatan dan kelancaran sesuatu majlis serta hasil tanaman yang diperoleh adalah hasil daripada izin Tuhan yang disembah.
Oleh itu, dalam upacara nyangahant terdapat tiga buah talam yang disediakan semasa persembahan Ngoncong untuk meletakkan hidangan makanan dan alatan sebagai persembahan. Sementara talam tambahan turut disediakan bagi tujuan hadirin dan penonton meletakkan sumbangan dalam bentuk wang tunai pada akhir penghujung persembahan. Dalam persembahan Ngoncong perubatan, seorang pembantu yang dipanggil panadek bertindak sebagai pembantu pangoncong dalam upacara perubatan terutamanya untuk menyedarkan sepenuhnya pangoncong sekiranya beliau berada terlalu lama dalam keadaan separuh sedar. Hal ini kerana pengoncong dikatakan dikuasai sepenuhnya oleh roh halus sewaktu menjalankan upacara Ngoncong. Dikatakan pada ketika itu pangoncong sedang bertarung dengan roh halus untuk mendapatkan kembali semangat pesakit yang sedng dirawat.
Bagi menjalankan upacara ini nanti, beberapa peralatan khusus diperlukan iaitu talam apar bagi meletakkan beras, telur, sirih, ayam, mangkuk, air tawar, kemenyan dan beras kuning. Kemenyan dan beras kuning turut diletakkan di dalam mangkuk yang kemudiannya diletakkan di atas talam apar semasa upacara persembahan dijalankan. Persembahan Ngoncong selalunya dijalankan di ruang tamu atau di serambi rumah bagi membolehkan orang ramai bertandang untuk menziarahi pesakit dan menyaksikan upacara tersebut.
Persembahan Ngoncong untuk rawatan pesakit biasanya melibatkan tarian Ngoncong oleh tiga orang penari wanita yang berkebaya dan berkain batik serta membawa sehelai sapu tangan ketika membuat persembahan. Setelah selesai persembahan, keluarga pesakit akan memberikan tampas kepada bomoh dalam bentuk wang tunai. Nilai bayaran adalah tertakluk mengikut kemampuan keluarga dan disertakan dengan seekor ayam dan bekal lain yang terdiri daripada lemang, kuih penyaram dan nasi yang dimasak di dalam daun. Bagi Ngoncong hiburan yang lebih berupa acara membayar niat atas kesembuhan daripada penyakit, membuat rumah baru, majlis kenduri kahwin dan pelbagai majlis kesyukuran lain. Tarian oleh tiga orang penari ataupun lebih biasanya ditarikan mengikut alunan bunyi gesekan biola dan diselitkan dengan dendangan pantun.
Selesai upacara ini kini giliran si pengoncong pula untuk disedarkan semula dengan bantuan si penadek yang memerlukan bahan-bahan seperti air tawar dan mayang pinang. Si penadek menepuk muka si pengoncong menggunakan mayang pinang yang dicelupkan ke dalam air tawar. Upacara ini selesai sebaik sahaja si pengoncong sedar.
i. Bahan Bacaan
Adlyn Anak Amat Daud (2018). Persembahan Ngoncong Hiburan Dan Perubatan Bidayuh Salako Di Kampung Biawak, Lundu. Kota Samarahan. Universiti Malaysia Sarawak.
T.p. (27 Mac, 2018). ‘Ngoncong’, upacara kesyukuran masyarakat Salako. Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2018/03/27/ngoncong-upacara-kesyukuran-masyarakat-salako