Rumah Lamin, juga dikenali sebagai Rumah Panjang, dibina dalam bentuk empat segi dengan kepanjangan sehingga 300 meter dan dengan kelebaran sehingga 25 meter. Rumah ini dibina pada posisi menghadap ke arah sungai yang berdekatan. Rumah panjang ini terbina daripada susunan beberapa buah rumah secara bersambung dengan setiap satunya dimiliki masing-masing oleh keluarga yang berlainan. Ruang di dalam setiap rumah, terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu ruang tertutup yang menyediakan tempat tidur dan dapur, manakala ruang terbuka dibina pula ruai atau serambi. Setiap rumah milik sesebuah keluarga dipisahkan dengan binaan dinding dengan unit rumah keluarga yang lain. Dinding ini menentukan ruang peribadi dan sempadan sosial bagi setiap ahli keluarga yang menghuni unit rumah tersebut. Sementara itu, pintu utama dipasang pada bahagian hadapan rumah bagi memudahkan urusan keluar masuk penghuni ke ruang peribadi di dalam rumah. Di kawasan persekitaran rumah panjang ini pula diletakkan binaan patung-patung besar yang diperbuat daripada kayu. Patung-patung ini dibina khusus oleh kaum Iban untuk tujuan ritual persembahan kepada nenek moyang mereka.
-
-
-
UPACARA MENDIRIKAN RUMAH LAMIN
Terdapat tujuh peringkat utama dalam upacara ini, iaitu:
i. Meramu atau Mengumpul Bahan Binaan
Tuai Rumah atau Ketua Rumah akan memaklumkan dan berbincang dengan anak buahnya yang juga penduduk di rumah panjang mengenai keperluan membina sebuah Rumah Lamin baharu. Setelah mencapai persetujuan, setiap keluarga akan mula mengumpulkan bahan-bahan binaan secukupnya yang terdiri daripada tiang, alang, kasau dan papan. Dengan bantuan Tuai Burung iaitu petunjuk daripa burung yang bertindak sebagai tukang tilik, tuai rumah akan menentukan tarikh yang paling sesuai untuk membersihkan tapak rumah lamin. Penentuan ini berkait rapat dengan usaha memilih hari yang boleh memberi tuah kepada seluruh penduduk rumah panjang itu nanti.
ii. Tuai Burung
Beberapa hari sebelum kerja membersihkan tapak rumah dimulakan, tuai rumah perlu terlebih dahulu pergi ke hutan untuk mencari alamat atau petanda baik untuk memulakan kerja. Sekiranya rumah lamin baru itu bakal dibina di hilir sungai dan di tapak rumah yang sebelumnya, tuai rumah akan cuba mencari bunyi burung Nendak di sebelah kanannya. Sebaik terdengar bunyi burung tersebut, tuai rumah akan mencabut sebatang anak pokok di kawasan tersebut. Tindakan mencabut anak pokok ini dinamakan sebagai tambak burung bagi menandakan lokasi kejadian burung berbunyi. Anak pokok yang dicabut itu kemudiannya dibawa pulang bersama oleh tuai rumah untuk tujuan simpanan di rumah.
Pada hari berikutnya tuai rumah akan pergi ke hutan lagi untuk tujuan yang sama dan mengulangi tindakan sama. Seterusnya, pada awal pagi pada hari yang ketiga, tuai rumah akan pergi ke hutan lagi untuk mencari bunyi burung dari arah kirinya. Setelah terdengar bunyi burung di sebelah kirinya, tuai rumah akan mencabut sebatang anak pokok dengan tujuan yang serupa sebagaimana pada kali pertama.
iii. Membersih Tapak Gemberang/ Membakar Tambak Burung
Kerja pembersihan tapak rumah biasanya dilakukan pada awal pagi. Perkara pertama yang dilaksanakan oleh tuai rumah ialah membersihkan dan membakar semak samun dan pokok di tengah-tengah tapak baharu. Setelah itu, langkah seterusnya tuai rumah akan memimpin penduduk untuk memulakan kerja pembersihan di seluruh kawasan tapak rumah baharu tersebut sehingga selesai. Dengan tersedianya tapak rumah yang lapang dan sudah dibersihkan itu, ahli keluarga tuan rumah baharu masing-masing akan mengumpulkan dan membawa semua bahan binaan ke tapak rumah baharu tersebut.
iv. Merenjis Darah Khinzir Betina dan Berdoa kepada Tuhan serta Roh
Setelah tapak rumah disediakan dengan sempurna, upacara seterusnya ialah mendirikan tiang utama dan diikuti tiang-tiang yang lain. Upacara merenjis darah khinzir betina akan dijalankan sebelum tiang pertama didirikan dan disertakan dengan bacaan doa oleh tuai rumah. Upacara ini bertujuan untuk mendapatkan rahmat daripada roh nenek moyang dan Tuhan terhadap rumah baharu yang bakal dibina. Diharapkan juga dengan upacara tersebut seluruh penghuni rumah baharu akan beroleh rezeki banyak dan pelbagai kejayaan pada masa akan datang.
v. Memasukkan Garam ke Lubang Tiang
Satu lagi upacara penting pada peringkat pembinaan rumah selepas doa dibaca ialah memasukkan segenggam garam kasar, berserta sebutir kecil emas, kulit buah langgir iaitu sejenis buah hutan liar di Sarawak Selain itu, sebatang ranting pohon renek yang tumbuh di sepanjang dasar sungai juga merupakan elemen yang amat penting untuk dimasukkan ke dalam lubang tiang bersama-sama bahan yang lain.
vi. Mendirikan Bumbung Rumah
Selepas tiang dan rangka asas rumah berjaya disiapkan, binaan utama rumah yang perlu disiapkan pada peringkat paling awal ialah bahagian bumbung. Biasanya bumbung rumah suku kaum Iban diperbuat daripada atap yang dihasilkan daripada daun pelepah nipah yang banyak diperoleh di tebing sungai di Sarawak. Biasanya daun pelepah nipah akan disusun dan dilipat menjadi kepingan atap serta dikumpulkan dalam jumlah yang banyak sebelum kerja pemasangan atap ini dijalankan.
Biasanya pemasangan bumbung rumah dijalankan dengan teliti dan cepat serta tidak memerlukan masa yang panjang. Kerja ini memerlukan kepakaran terutama bagi memastikan tiada kebocoran sekiranya hujan. Jika berlaku kebocoran, adalah amat sukar untuk memperbaikinya setelah rumah siap sempurna. Aspek kedua, ketelitian amat diperlukan demi menjamin keselamatan ketika kerja dijalankan,. Hal ini kerana bumbung merupakan bahagian binaan yang tinggi dan tukang rumah berkemungkinan jatuh jika tidak mahir dan benar-benar teliti semasa menjalankan kerjanya. Dengan sempurnanya atap, kerja-kerja lain dapat dijalankan dengan lebih mudah, selamat dan selesa seperti pemasangan lantai, dinding, pintu dan tingkap.
vii. Tuai Rumah Memimpin Keluarga Masuk Bilik
Setelah rumah panjang baharu hampir siap sepenuhnya dan lengkap setiap bahagian binaan, tuai burung akan memimpin seluruh keluarga lain yang bakal mendiami rumah tersebut berpindah masuk secara beramai-ramai. Sebelum acara berpindah masuk yang penuh kemeriahan ini berlangsung, adalah amat penting untuk setiap keluarga memastikan binaan dapur masing-masing telah sipa dan boleh digunakan. Hal ini bagi memastikan perpindahan tersebut berjalan lancar dan memudahkan keluarga meneruskan hidup di rumah baharu. Dengan sempurnanya kelengkapan dan binaan dapur, ini bermakna keluarga tersebut akan terus tinggal menetap di rumah tersebut dan boleh menyediakan makan minum harian kepada seluruh ahli keluarga.
-
i. Bahan Bacaan
Mohd Jasmy Abd Rahman. (n.d). Upacara Adat dalam Rumah Tradisional. Universiti Kebangsaan Malaysia. https://malaycivilization.com.my/omeka/files/original/6e4f9db41555f44d6eea29c425e94618.pdf
T.p. (n.d). Adat Membina Rumah Panjang. Geocities Archive. https://www.oocities.org/ufloor/adat.html