Sarun adalah alat muzik tradisional yang diwarisi oleh masyarakat etnik Iranun di Sabah yang kebanyakannya mendiami daerah Kota Belud dan Kota Marudu. Sarun adalah alat muzik Metalofon yang diperbuat daripada besi logam atau gangsa dan diketegorikan sebagai alat muzik Idiofon yang menghasilkan bunyi melalui getaran logam apabila dipukul. Namun, berikutan logam dan gangsa sukar untuk diperolehi pada suatu ketika dahulu, masyarakat Iranun secara kreatif menggunakan besi daripada tong dram bekas yang diolah menjadi material utama penghasilan Sarun. Alat muzik ini merupakan warisan secara turun-temurun sebagai alat hiburan yang dimainkan khususnya selepas mengusahakan tanaman padi di sawah. Sementara itu, Sarun bukan sahaja mencerminkan identiti budaya masyarakat Iranun, tetapi ia juga memperlihatkan elemen muzik tradisional yang unik dan penuh dengan nilai tradisi.
Alat Muzik Sarun memainkan peranan penting sebagai alat hiburan dalam kehidupan seharian masyarakat Iranun. Selepas selesai melakukan aktiviti pertanian khususnya tanaman padi, Sarun sering dimainkan untuk menceriakan suasana dan menghibur. Di samping itu, Sarun juga membawa nilai simbolik dalam budaya Iranun, kerana ia menggambarkan ekspresi seni dan kreativiti yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Walaupun dimainkan secara solo, irama yang dihasilkan mampu mengisi ruang dengan melodi yang menenangkan dan mengasyikkan.
-
Sarun diperbuat daripada logam atau gangsa yang dipotong menjadi lapan kepingan. Namun, sesetengah masyarakat Iranun di daerah Kota Belud atau sekitar Kota Marudu sukar mendapatkan material logam dan gangsa lalu menggantikannya dengan besi daripada tong dram bekas. Dikatakan besi-besi daripada tong dram ini bukan sahaja menjadi bahan atlernatif untuk menggantikan logam ataupun gangsa, tetapi ia mempunyai melodi tersendiri yang signifikan dengan rumpun etnik ini.
Setiap kepingan akan dipotong sepanjang enam inci dan selebar dua inci. Variasi panjang tertentu bagi setiap kepingan ini akan menghasilkan nada yang berlainan. Kepingan-kepingan besi ini kemudiannya disusun di atas rak kayu yang dikenali sebagai ‘Kalipapa’. Rak kayu kalipapa tersebut memuatkan lapan kepingan besi yang disusun mengikut susunan atau khas bagi menghasilkan harmoni bunyi yang unik apabila dimainkan. Alat pemukul Sarun juga turut diperbuat daripada kayu Kalipapa yang dikenali dengan nama ‘Tabuh’ yang dibentuk seperti tukul.
Sarun pada kebiasaanya dimainkan secara solo oleh wanita dengan cara memukul bahagian tengah setiap kepingan besi menggunakan Tabuh. Susunan pukulan ini menghasilkan pelbagai jenis lagu dan bunyi yang boleh diolah menjadi irama yang unik dan menghiburkan. Cara pukulannya adalah sesuai dengan nada baik cepat atau lambat mengikut si pemain atau jenis lagu yang dimainkan.
-
Lokman Abdul Samad & Asmiaty Amat. (2012). Iranun. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong (Eds.). Murut dan Pelbagai Etnik Kecil Lain di Sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia.
Mohammad, M. S., & Tarsat, M. (2022). Sejarah Asal Usul Iranun Dan Balangingi Di Tungku, 1840-1879: History Origin of Iranun and Balangingi in Tunku, 1840-1879. Jurnal Borneo Arkhailogia, 7(1), 178-188.