TARIAN SUMARIKAYAU
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Sumarikayau adalah tarian tradisional yang sangat popular dan berasal dari masyarakat etnik Orang Sungai di daerah Pitas. Tarian ini adalah seni hiburan yang siginifikan dengan sambutan keramaian seperti majlis pekahwinan, sambut tamu dan ataupun pesta-pesta budaya Orang Sungai Pitas. Nama Sumarikayau diambil daripada dua perkataan iaitu ‘Sungai’ dan ‘Kuno’ yang masing-masing bermaksud ‘tangan melambai’ dan ‘kaki dihentak’. 

Fungsi dan Peranan

Tarian ini pada asalnya ditarikan oleh pasangan pengantin dalam acara perkahwinan ketika sesi bersanding. Kedua mempelai akan menari sebagai simbolik merayakan alam perkahwinan sah dan doa untuk kesejahteraan hidup berumah tangga. Setelah itu, sanak saudara secara berpasang-pasangan akan turut menarikan tarian ini bersama-sama kedua mempelai pengantin. Namun kini, tarian ini tidak lagi terhad atau khusus kepada persembahan oleh pengantin sahaja. Malahan, ia telah menjadi persembahan dalam pelbagai acara keramaian atau pesta kebudayaan Orang Sungai kerana ia berfungsi sebagai hiburan yang menjadi wadah bagi komuniti Orang Sungai untuk memperkenalkan dan memelihara tradisi mereka kepada khalayak umum.

Busana/ Aksesori

Busana yang dipakai ketika persembahan ini adalah menggunakan pakaian tradisional masyarakat etnik Orang Sungai dari daerah Pitas. Penari lelaki akan mengenakan persalinan tradisional yang dikenali sebagai ‘Kusoi’, iaitu baju Melayu cekak musang yang diperbuat daripada kain satin berkilat. Persalinan ini dilengkapi dengan samping yang diikat secara menyerong dan diketatkan menggunakan ‘Paretina,’ iaitu tali pinggang besi berwarna perak yang disusun bersama kain baldu hitam.


Selain itu, penari juga memakai tengkolok kepala yang disebut ‘Serakai’ sebagai penutup kepala. Bagi melengkapkan penampilan, penari lelaki turut membawa ‘Sempilang,’ iaitu selendang yang diletakkan secara bersilang dari bahu sehingga pinggang. Sebagai aksesori tambahan, lelaki akan mengenakan ‘Supu,’ iaitu sejenis rantai logam yang digunakan sebagai perhiasan. 

Penari wanita pula akan mengenakan pakaian tradisional yang dikenali sebagai ‘Woinoi,’ iaitu busana yang mengikut potongan baju kebaya labuh dengan belahan pada bahagian lengan. Busana ini turut dilengkapi dengan ‘Paretina,’ iaitu tali yang diperbuat daripada tembaga atau besi. Berbeza dengan versi lelaki, Paretina wanita lebih besar dan dilapisi kain bercorak serta berwarna gelap. Penari wanita juga memakai ‘Sempilang,’ yang disusun secara bersilang, sama seperti penari lelaki. 


Untuk hiasan kepala, penari wanita akan dipakaikan dengan ‘Sarimpak,’ iaitu aksesori kepala yang diperbuat daripada kepingan aluminium atau kotak keras yang diwarnai emas dan dihiasi dengan manik-manik berjuntai. Bagi melengkapkan penampilan, mereka juga memakai aksesori tambahan seperti ‘Supu’ dan ‘Medapun,’ iaitu rantai yang dikenakan di leher dan bahu. Pada bahagian tangan, penari wanita akan dipakaikan gelang yang disebut ‘Golong Tembaga’.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Alunan muzik yang mengiringi tarian Sumarikayau dikenali dengan nama irama ‘Tuntung Mangalir’ hasil paduan daripada alat muzik gong, kulintangan dan gendang. Lazimnya, sebanyak lima jenis gong dengan saiz yang berbeza-beza akan digunakan untuk menghasilkan irama ini.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tarian ini ditarikan secara berpasangan dan ragam geraknya lebih berfokus kepada bahagian kaki dan tangan. Tangan penari akan ’mengalai’ iaitu perbuatan melambai-lambaikan sapu tangan secara bergantian kiri dan kanan. Sementara itu, kaki akan bergerak seiringan dengan cara menghentak-hentak kaki. Lazimnya, hentakan kaki tersebut akan meletakkan kaki kanan pada bahagian hadapan dan kaki kiri menyambut henjutan kaki kanan tersebut.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

JIA MIN, C., & KOK ON, L. (2019). ASAL USUL, PENGOLAHAN DAN SIMBOL RAGAM GERAK TARIAN SUMANGGAK ETNIK TOMBONUO: Origin, Adaptions and Symbols of the Dance Movements in Sumanggak Dance of the Tombonuo Ethnic Group. MANU Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, 30, 47–78. https://doi.org/10.51200/manu.v30i.1890

Lokasi
Pautan Google Maps :