Tongkungon ialah Ziter Tiub Idiokordik yang popular dalam kalangan masyarakat etnik Kadazan-Dusun khususnya di daerah Tambunan, Penampang dan Tuaran. Ia tergolong dalam kategori Kordofon yang diperbuat daripada batang buluh “Poring” iaitu sejenis buluh bersaiz besar dengan ukuran panjang di antara 40 hingga 50 sentimeter yang mempunyai tali daripada kulit buluh itu sendiri.
Tongkungon sebenarnya adalah alat muzik alternatif untuk menggantikan Gong yang perlu dimainkan oleh peramai pemuzik. Namun begitu, jika menggunakan Tongkungon, hanya seorang pemuzik sahaja yang digunakan dan ia mewakili semua resonans bunyi gong tersebut. Oleh hal yang demikian, jumlah bilangan tali yang terdapat pada sebuah Tongkungon adalah mewakili ensembel gong. Sebagai contoh, ensembel gong daripada daerah Penampang iaitu ‘Sompogogungan’ mempunyai enam jenis gong maka Tongkungon daripada daerah ini lazimnya mempunyai enam utas tali. Manakala Tongkungon dari daerah Tambunan pula adalah terdiri daripada tujuh utas tali kerana ensembel gongnya iaitu ‘Sopogandangan’ mempunyai tujuh jenis gong. Setiap utas tali ini juga diberikan nama seperti jenis gong tersebut iaitu ‘Bobogon’, ‘Tagung Tolombou’, ‘Tagung Tohison’, ‘Kuribadon’, ‘Kutou Kutowon’, ‘Tawag’ dan ‘Tongtoangon’.
Selain berfungsi sebagai alat muzik alternatif menggantikan gong, Tongkungon juga sangat signifikan dengan mitos atau legenda dalam masyarakat etnik Kadazan-Dusun. Suatu ketika dahulu, Tongkungon sering dimainkan dalam majlis perkahwinan adat oleh seorang pemuda. Jika terdapat mana-mana wanita yang tertarik dengan pemuda tersebut, maka si wanita akan memainkan alat muzik Sundatang untuk membalas lagu yang dimainkan oleh pemuda tersebut. Ia sebagai tanda halus persetujuan atau ketertarikan oleh si wanita kepada si pemuda.
Selain itu, alat muzik ini juga menjadi sebahagian daripada ensembel alat muzik buluh yang mengiringi pelbagai upacara ritual dan tarian tradisionall masyarakat etnik Kadazan-Dusun. Namun kini, alat muzik ini semakin mendapat tempat dengan nilai komersialnya sehingga ia sering dimainkan dalam majlis keramaian seperti sambutan perayaan, pesta sambutan budaya tradisional, instumen penting untuk ensembel muzik kontemporari.
-
Penghasillan alat muzik Tongkungon ini sangat mudah kerana ia sepenuhnya hanya menggunakan batang buluh ‘Poring’ sahaja. Tali pulla dipotong daripada permukaan buluh dan diangkat dengan ‘Ponodul’ kecil atau ‘Baji’ yang diperbuat daripada kayu atau rotan yang diletakkan pada setiap hujung Tongkungon. Ia berfungsi sebagai pelaras kekuda dan boleh digerakkan pada bahagian bawah setiap tali untuk meninggikan atau merendahkan nadanya semasa proses menala. Lubang resonan biasanya dipotong di bahagian tepi buluh yang menghadap pemuzik atau apda kedua-dua bahagian hujungnya.
Tongkungon biasanya dimainkan oleh lelaki secara solo. Ia dipegang secara menegak atau bahagian atasnya disokong oleh tali gegantung. Setelah itu, pemuzik akan memetik setiap tali Tonkungon mengikut laras resonator bunyi yang ingin dimainkan.
-
Hamdan, S., Mohamad Said, K. A., Kipli, K., Duin, E. A. M., & Sinin, A. E. (2024). The Tongkungon: A Traditional KadazanDusun Plucked Musical Instrument from Sabah, Malaysia. BioResources, 20(1), 357–367. Retrieved from https://ojs.bioresources.com/index.php/BRJ/article/view/23559
Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Kuala Lumpur.
Pugh-Kitingan, J. (2016). Dancing the sound, musicking the movement: Contextual dialogues between music and dance in northern Borneo. In Sounding the Dance, Moving the Music (pp. 122-132). Routledge.
Unchi, S., & Zamrie, I. (2009) Quantitative assessment of culm characteristics of some bamboo species. SEPILOK BULLETIN, 47.
Wei, O. C., & Dayou, J. (2009). Frequency characteristics of sound from sompoton musical instrument. Borneo Science, 25, 71-79.