TARIAN CERACAP INAI
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tarian Ceracap Inai ialah tarian rakyat Melayu tradisional yang terkenal di Johor, Malaysia. Asal-usulnya dikaitkan dengan era Kesultanan Melayu Melaka, khususnya semasa Sultan Mahmud Shah berangkat ke hulu Sungai Muar. Pada mulanya, tarian ini dipersembahkan di istana di hadapan Sultan dan pembesar negeri semasa majlis keramaian. Oleh itu, gerak tari Ceracap Inai mengandungi unsur 'menyembah duli' dan merendah diri, biasanya ditarikan di hadapan pengantin sebagai simbol penghormatan. Tarian ini pada asalnya giat ditarikan di Kampung Gombang, Lenga dan kemudiannya dikembangkan di Kmapung Baru Batu 28, Lenga. 


Fungsi dan Peranan

Tarian ini berfungsi sebagai hiburan dalam majlis perkahwinan dan keramaian, melambangkan sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan bagi pasangan pengantin. Ia juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan warisan budaya dan seni tradisional Melayu, khususnya di Johor.


Busana/ Aksesori

Penari Ceracap Inai mengenakan pakaian tradisional Melayu yang elegan. Penari lelaki memakai baju Melayu lengkap dengan samping dan tanjak, manakala penari wanita mengenakan baju kurung atau kebaya yang dihiasi dengan kerongsang dan selendang. Aksesori tambahan seperti bunga-bungaan emas dan lilin digunakan untuk memperindah persembahan, melambangkan sinaran kebahagiaan. 


Peralatan/ Bahan-Bahan

Persembahan Ceracap Inai melibatkan penggunaan peralatan seperti:


Ceracap: Sejenis dulang kecil yang digunakan oleh penari semasa persembahan.

Inai: Daun inai yang digunakan dalam upacara berinai, simbolik dalam konteks perkahwinan Melayu.

Lilin: Digunakan untuk menerangi dan menambah elemen estetika dalam tarian.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tiada ketetapan khusus tentang jumlah penari yang menarikan tarian ini. Namun, tarian ini biasanya dipersembahkan oleh lima hingga lapan penari, sama ada secara berpasangan atau oleh penari wanita sahaja. Gerak tari menekankan unsur penghormatan dan merendah diri, dengan penari membawa ceracap yang dihiasi bunga-bungaan emas dan lilin yang menyala. Persembahan dimulakan dengan penari memasuki pentas dalam formasi tertentu, diikuti dengan gerakan yang selaras dengan irama muzik tradisional yang mengiringi tarian.


Tokoh dan Pencapaian

Tarian Ceracap Inai terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga, dalam daerah Muar, Johor. Walaupun tiada tokoh individu yang dikenal pasti sebagai pencipta tarian ini, komuniti setempat memainkan peranan penting dalam memelihara dan meneruskan tradisi ini. Antaranya seperti Tuan Haji Sukur bin Basir dan Encik Majid bin Rawino. Usaha mereka memastikan tarian ini terus dipersembahkan dalam majlis perkahwinan dan keramaian, mengekalkannya terus relevan dalam budaya Melayu Johor.


Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Hamza, H. Z., Chin, L. F. H., & Sampurno, M. B. T. Prosiding Seminar Kajian Ilmiah Seni Persembahan 2024.

Mohamad Nor, K. (2013). Tarian Ceracap Inai. Istana Budaya, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.


Lokasi