Tarian Mongigol Sumundai merupakan tarian tradisional yang kaya dengan elemen budaya dan simbolisme bagi masyarakat etnik Rungus yang kebanyakannya mendiami kawasan utara Sabah khususnya di daerah Kudat serta daerah kecil Matunggong. Tarian Mongigol merupakan gerak tari khusus bagi penari lelaki, sementara tarian Sumundai pula adalah khusus ditarikan oleh penari Wanita. Namun, kedua-dua tarian ini dipersembahkan secara serentak, di mana penari lelaki akan mendahului tarian dan diikuti oleh empat atau lebih penari perempuan. Secara umumnya, tarian ini boleh dikategorikan sebagai tarian imitasi kerana ia meniru pergerakan objek-objek yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat etnik Rungus pada zaman dahulu (Pangayan, 2020). Pada masa kini, tarian Mongigol Sumundai sering dipersembahkan dalam pelbagai acara perayaan, khususnya semasa Pesta Kaamatan, Pesta Magahau atau upacara ritual sebagai tanda kesyukuran atas hasil pertanian.
Tarian Mongigol Sumundai adalah tarian tradisional etnik Rungus yang mempunyai peranan penting dalam ritual dan budaya masyarakat Rungus di Sabah. Tarian ini biasanya dipersembahkan dalam pelbagai acara kebudayaan dan adat, terutamanya dalam upacara perkahwinan dan sambutan pesta. Ia melambangkan kerjasama, perpaduan, dan keharmonian masyarakat Rungus. Selain berfungsi sebagai hiburan, Mongigol Sumundai juga menjadi simbol penghormatan kepada tetamu serta alat untuk memperkukuhkan identiti dan warisan budaya etnik Rungus yang unik.
Busana penari lelaki dikenali sebagai ‘Badu Sinudaan’ iaitu baju lengan panjang yang ditenun menggunakan motif ‘Surip’ dipadankan dengan seluar ‘Masap’ khusus dengan tenunan autentik yang dikenali sebagai ‘Suval Inavol’. Aksesori bahagian kepala penari lelaki dikenali sebagai ‘Sigal’ iatu sulaman daripada kain Dastar. Pada bahagian leher. penari lelaki akan memakai rantai yang dikenali sebagai ‘Tinggot’.
Pada kemasan bahu, terdapat dua jenis aksesori yang akan dipakai iaitu pertama kain panjang (selempang) bersulam yang disilang pada bahu kiri dan kanan dikenali sebagai ‘Inavol’. Manakala aksesori bahu yang kedua pula dikenali dengan nama ‘Pinakol’ iaitu merujuk pada sepasang tali pinggang jenis selempang bermanik leper yang dikenakan melintang dari bahagian dada ke belakang.
Lazimnya, tarian ini akan diiringan dengan alat muzik tradisional gong Rungus meliputi tujuh jenis iaitu, Koritikon (canang), Sandangau (canang), Pompom, Soludon, Tongikon (Tavag), Hungkodonan (Tavag) dan Bimbingan (Tavag).Penari lelaki akan mengatur pola gerak mengikut rentak gong yang dimainkan diikuti oleh penari wanita daripada belakang dengan mengimitasi setiap gerak penari lelaki yang mengepalai gerak tarian.
Secara umumnya, tarian Mongigol Sumundai mempunyai tujuh ragam gerak bagi penari wanita dan lima ragam gerak penari lelaki yang berbeza-beza seperti berikut;
Ragam Penari Lelaki:
Nama Ragam/Gerak |
Deskripsi |
Monongdiu-kondiu |
Pergerakan seperti burung
helang di mana penari lelaki akan mendepakan tangan ketika posisi pola lantai
bergerak dalam lingkaran. |
Mamari-pari |
Pergerakan imitasi atau
meniru ikan pari yang berenang dilautan |
Monongsasazau |
Perbuatan menari seperti
berpusing-pusing setempat |
Monindak
Balanak |
Pergerakan imitasi atau
meniru ikan |
Sumodili |
Perbuatan mengensot kaki
secara setempat oleh penari lelaki |
Ragam Penari Wanita:
Nama Ragam/Gerak |
Deskripsi |
Mamanbazangan |
Pergerakan mendepa tangan
yang di angkat separas pinggang |
Manangantanga |
Pergerakan seperti menuruni
tangga |
Manadusadu |
Pegerakan membuat tendangan
kecil menggunakan tumit kaki |
Mongitakita |
Perbuatan enjutan pada
tubuh |
Monondoli |
Perbuatan mengensot kaki
dalam gerakan yang lebih kecil secara setempat |
Sumirid |
Ke arah sebelah (pergerakan
badan) |
Lumingkid |
Kedudukan sisi badan yang
mengiring |
Victor B. Pangayan. (2024). Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Universiti Malaysia Sabah, 88400 Kota Kinabalu, Sabah. 10 Oktober 2024.
Pangayan, V. B. (2020). Tarian Mongigol-Sumundai Momogun Rungus Di Sabah: Analisis Konsep Persembahan dan Ragam Gerak. Jurnal Gendang Alam. https://doi.org/10.51200/ga.vi.2840
Mahfar, S. F. & Jusilin, H. (2017). Reka corak dan simbolisme motif pinakol dalam pakaian masyarakat Rungus di Sabah. Jurnal Gendang Alam, 7, 1–17.
Low Kok On. (2013). Collecting and contextualising Sundait (Riddles) among the Rungus people of Sabah. Pertanika Journal of Social Science and Humanities, 12(3), 897–922. http://www.pertanika.upm.edu.my/
Yoon, P. L., & Jusilin, H. (2018). Ciri estetika dalam reka bentuk dan motif pakaian tradisional golongan perempuan etnik Rungus di Kudat. Jurnal Gendang Alam, 8, 65.
Projek Akhir Tari (PenTAS) Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. 17 Jun 2023.