TARIAN TINGKAH TALU
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tingkah Talu atau nama penuhnya disebut Jepin Tingkah Talu Ulun Pagun adalah tarian yang diwarisi oleh etnik Tidung dari daerah Tawau, meliputi kawasan Kalabakan, Merotai, Bum Balai, Sebatik dan beberapa kawasan di sekitar Sandakan dan Beluran (Sugut). ‘Tingkah Talu’ membawa maksud ‘Langkah Tiga’  yang berasal dari Kampung Mentadak, Pulau Sebatik merupakan sebuah tarian berasaskan zapin. Menurut sejarah, tarian ini berakar daripada pengaruh budaya Arab Parsi yang diperkenalkan melalui perkahwinan antara orang Arab dengan etnik Tidung semasa perkembangan pengaruh Islam ke seluruh dunia. Sehubungan dengan itu, gaya permainan persembahan ini sangat signifikan dengan bentuk tarian zapin umumnya kerana, struktur asas tarian ini sendiri lazimnya akan dimulakan dengan Taqsim dan diiringi dengan Gambus Solo lalu diakhiri dengan Wainab.  

Fungsi dan Peranan

Pada asalnya, tarian Tingkah Talu hanya ditarikan oleh kaum lelaki dan Ia berfungsi sebagai sebuah persembahan hiburan dalam majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, perayaan tradisional, sambut tamu serta dan sebarang acara-acara rasmi. Kini, dalam konteks dunia kontemporari, ia mulai ditarikan secara berpasangan dan ia terus mendapat perhatian dalam kalangan pemain-pemain zapin. Oleh itu, tarian memainkan peranan penting sebagai ikon budaya yang membanggakan bagi masyarakat Tidung.

Busana/ Aksesori

Secara umumnya, tarian ini tidak mempunyai busana khusus ketika dipersembahkan. Lazimnya, busana yang dipakai oleh penari adalah sepasang baju melayu tradisional seperti baju teluk belanga atau cekak musang yang dipadankan dengan persalinan baju kurung atau kebaya labuh ketika menarikannya. 

Peralatan/ Bahan-Bahan

Ketika persembahan tarian ini akam diiringi dengan lagu “Andang-Andang” yang bermaksud “sudah menjadi kebiasaan” atau “memang begitu”. Ia dinyanyikan bersama ensembel muzik seperti gambus, rebana, gendang dan marakas.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Pada asalnya tarian ini hanya boleh ditarikan oleh kaum lelaki. Tetapi kini, ia boleh ditarikan secara berpasangan dalam satu kumpulan. Kiraan langkah dan bit lagu asasnya dikira dalam kiraan tiga. Penekanan ragam geraknya adalah pada pusingan tangan (2 kali) dan tepukan menyembah (1 kali) sambil kaki di hentak kanan-kiri-kanan. Ragam lainnya dalah dalam bentuk bulatan dan posisi ini setiap kalinya berubah mengikut henjutan pada kiraan ketiga sebelum berubah pola lantai. Sebagai sebuah tarian yang berentak zapin, ciri utama yang mendasari persembahan ini adalah dimulakan dengan Taqsim dan diakhiri dengan Wainab.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Abdul Munir Hafizy Ladoni. (2012). Tidung. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong. Siri etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil Lain di Sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia. 


Kebudayaan, R. D. T. Laporan Penelitian Corak Perkembangan dan Analisis Hubungan Kehidupan Masyarakat Suku Tidung Ulun Pagun Di Wilayah Kota Tarakan Dengan Teori Receptio In Complexu.


Nor, M. A. M. (1990). The Zapin Melayu dance of Johor: from village to a national performance tradition. University of Michigan.


Nor, M. (2010). Dancing the silent dhikr: Negotiating temporality and reciting litanies in the zapin dance in Maritime Southeast Asia.


Lokasi
Pautan Google Maps :