BEDUAN
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Beduan adalah persembahan kesenian yang tertua di negeri Perlis, direkodkan muncul kira-kira 250 tahun yang lalu pada zaman pemerintahan Siam. Muzik ini mula diperkenalkan oleh dua keluarga yang bersembunyi di atas puncak Bukit Tuk Wang Gunung bagi mengelak keganasan dan kekejaman tentera Siam. Di puncak bukit itu, keluarga tersebut berasa kesunyian dan mereka memukul keratan batang kayu sebagai gendang sambil menyanyi secara melaung-laung. Setelah peperangan berakhir, kedua-dua keluarga ini kembali ke kampung halaman mereka lalu memperkenalkan kesenian tersebut kepada penduduk kampung. Mereka memberi nama muzik itu Beduan yang berasal daripada perkataan ‘berdua-duaan’. 

Beduan amat popular semasa acara kenduri perkahwinan dan biasanya dipersembahkan di atas balai yang dibina bersambung dengan rumah utama pengantin. Laungan nyanyiannya yang nyaring menjadi tanda penunjuk kepada tetamu menuju ke rumah pengantin tersebut. Tetamu dan penonton berdiri di hadapan rumah bagi menyaksikan persembahan ini. Ahli kumpulan Beduan terdiri daripada 10 sehingga 12 orang. Gendangnya agak besar, berukuran lilit kira-kira 140 cm, diperbuat daripada belulang lembu, kayu nangka atau temak. Terdapat tiga jenis gendang yang digunakan iaitu Gendang Pengibu, Gendang Peningkah dan Gendang Penganak. Dalam nyanyian Beduan si pemukul gendang berbalas pantun dengan ahli yang lain. Namun, hanya ahli Beduan sahaja yang memahami pantun tersebut kerana mereka menggunakan dialek yang difahami dalam kalangan mereka sahaja. Antara pantunnya ialah:



Anak ayam di dalam celepa,

Buka tudung patuk padi,

Siang malam aku tak lupa,

Kasih terkandung di dalam hati.


Selain pantun, ketika Beduan disampaikan, alunan zikir atau dikir, burdah, qasidah, juga selawat-selawat ke atas Nabi Muhammad SAW turut dilaungkan, sebagai panjatan doa supaya perkahwinan yang dibina makmur sehingga akhir hayat. 


Fungsi dan Peranan

Beduan amat popular semasa acara kenduri perkahwinan dan biasanya dipersembahkan di atas balai yang dibina bersambung dengan rumah utama pengantin.

Busana/ Aksesori

Baju Melayu dan songkok yang seragam antara semua pemain Beduan

Peralatan/ Bahan-Bahan

Gendang Pengibu, Gendang Peningkah dan Gendang Penganak

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Dimulakan dengan lagu-lagu selawat sebelum lagu-lagu lain dimainkan semasa temasya perkahwinan

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

https://www.scribd.com/doc/46560780/asignment-muzik 

https://perlisnews.wordpress.com/perlanconganhotel/sejarah-kesenian-dan-warisan-negeri-perlis/

https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/senibudaya/detail/748/pengenalan

https://www.academia.edu/9399523/Modul_BMM3114_Kebudayaan_melayu 


Lokasi
Pautan Google Maps :