Tarian Sumirid merupakan salah satu tarian tradisional masyarakat etnik Kadazan-Dusun dari suku Dusun Liwan yang menetap di kawasan Kundasang daerah Ranau, Sabah. Tarian ini memiliki sejarah unik kerana namanya di ambil bersempena acara khas pertemuan di antara pemimpin-pemimpin kampung atau puak bagi menyelesaikan perbalahan, permasalahan, atau isu penting dalam komuniti mereka iaitu acara ‘Modtomu’.
Manakala istilah ‘Sumirid’ pula merujuk kepada gerakan dalam proses tradisional memisahkan padi dari tangkainya dengan cara memijak-mijak menggunakan kaki, yang dikenali sebagai acara Mongogik dalam bahasa Dusun. Sebelum adanya teknologi mesin pelerai padi, Mongogik dilakukan secara manual dan merupakan kaedah penting dalam pengolahan hasil padi. Pergerakan ini kemudian dijadikan inspirasi bagi rekabentuk Tarian Sumirid yangbukan sahaja sebagai sebuah tarian, tetapi juga simbol budaya yang memelihara amalan tradisi masyarakat Dusun Liwan.
Tarian Sumirid pada suatu ketika dahulu memainkan peranan penting dalam menyambut dan meraikan tetamu besar, seperti pemimpin puak, yang hadir dalam acara Modtomu untuk menyelesaikan isu-isu penting dalam kalangan komuniti Dusun Liwan. Tarian ini juga dipersembahkan sebagai selingan selepas sesuatu isu selesai dibincangkan, sebelum beralih kepada isu lain.
Selain sebagai tanda penghormatan, tarian ini juga melambangkan rasa syukur dan penghormatan kepada alam serta leluhur, terutamanya ketika merayakan kepulangan kaum lelaki yang telah melindungi komuniti mereka atau membawa hasil buruan yang melimpah dari hutan. Gerakan-gerakan simbolik dalam tarian ini bukan sahaja menyampaikan semangat juang dan ketangkasan, tetapi juga mengungkapkan rasa terima kasih masyarakat terhadap rezeki dari alam semula jadi.
Di samping itu, tarian ini turut dianggap sebagai penghormatan terhadap ‘Bambarayon,’ roh semangat padi yang dipercayai memberikan hasil tuaian yang melimpah. Pada setiap kali aktiviti Mongigik berlangsung, masyarakat Dusun Liwan mempersembahkan tarian ini sebagai tanda penghargaan terhadap warisan budaya mereka yang berakar umbi. Kini, Tarian Sumirid sering dipersembahkan dalam acara penting seperti Pesta Menuai, majlis perkahwinan, dan upacara kebudayaan, menjadikannya sebagai medium penyatuan yang mengeratkan hubungan antara ahli komuniti.
Penari lelaki memakai pakaian yang dikenali sebagai ‘Sinonson’, yang diperbuat daripada kulit kayu. Sinonson melambangkan kekuatan dan ketahanan lelaki Dusun Liwan, yang sering kali terlibat dalam aktiviti berburu dan peperangan. Penutup kepala lelaki dipanggil ‘Sigar’ yang dihiasi dengan bulu burung ‘Sungang’ sebagai simbol keberanian dan keterampilan. Di samping itu, lelaki turut mengenakan cawat yang diperbuat daripada kulit kayu atau kain tenun tradisional, menambah keaslian dan keunikan dalam persembahan tarian ini.
Penari wanita mengenakan pakaian khas berwarna hitam dengan hiasan renda atau manis keemasan yang dipanggil ‘Garung Lapoi’. Busana ini lengkap dengan penutup kepala yang disebut ‘Sunduk’ atau ‘Sinurondoi’. Aksesori yang dipakai oleh penari wanita dalam persembahan tarian Sumirid tertumpu kepada bahagian pinggang iaitu ‘Himpogot’ dan ‘Tankong’. Himpogot atau nama lainnya ‘Botungkat’ adalah aksesori pinggang berbentuk kepingan wang syiling yang diperbuat daripada perak. Manakalah Tangkong pula adalah kepingan besi atau logam yang dibuat bebentuk bulat dengan tebukan pada tengahnya dan disusun membentuk seperti tali pinggang.
Tarian ini diiringi oleh dua alat muzik tradisional etnik Dusun Liwan iaitu Gong dan Bungkau. Gong yang digunakan dalam peresembahan ini lazimnya di antara tiga hingga lima jenis yang berbeza saiz untuk menghasilkan resonans bunyi harmoni. Sementara itu, alunan bunyi Bungkau disatukan untuk menghasilkan rentak kepada tarian Sumirid. Bungkau berada dalam kategori lamelofon ataupun sejenis alat muzik ‘Hap Rahang’ yang diperbuat daripada kayu ‘Polod’ atau kayu Palma. Anggaran saiz sesuai Bungkau lazimnya berukuran di antara 6 hingga 8 inci atau 17 hingga 19 cm.
Persembahan tarian Sumirid lazimnya ditarikan secara berpasangan dalam lingkungan empat hingga lima pasangan penari. Pergerakan tarian ini berfokus kepada bahagian tangan di mana terdapat dua jenis bukaan tangan iaitu dalam posisi menapak (tangan) dan menggenggam. Bagi penari wanita bukaan tangan secara menyisih kiri dan kanan, sementara lelaki pula akan mendapakan tangan. Ragam lainnya, bukaan tangan akan dipusing secara separa bulatan. Sementara itu, kaki penari akan dihenjut setiap kali pegerakan tangan dipusingkan dan sebaliknya digeserkan ketika penari mendepakan tangan.
-
Kein, E. D., & bin Hamza, H. Z. (2023). Kajian Kes Terhadap Sumirid Sebagai Tari Gubahan Baharu Neo-Tradisional. Kajian Kes dalam Seni Persembahan Volume, 63. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.