Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
Tarian Sigar Tolak Bala
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
13
Video
ada
Pelawat Hari ini
7
Jumlah Pelawat
372
Pengenalan dan sejarah
Tarian Sigar Tulak Bala merupakan salah satu warisan budaya penting dalam kalangan masyarakat etnik Bidayuh di Sarawak. Tarian ini lazimnya dipersembahkan selepas berakhirnya musim menuai sebagai sebahagian daripada ritual keagamaan dan kepercayaan tradisional bagi menghalau roh-roh penyakit yang dipercayai berkunjung ke kampung. Menurut kepercayaan masyarakat Bidayuh, kemunculan makhluk halus yang dikenali sebagai “Mindo Ngolah” bersama jelmaan roh-roh yang dipercayai mampu membawa penyakit, malapetaka, serta kesialan kepada penduduk sekiranya tidak ditangani melalui ritual tertentu.
Sepanjang pelaksanaan ritual ini, “Tua Gawai” iaitu ketua upacara yang dipercayai memiliki kebolehan untuk berinteraksi serta melihat kehadiran umot-mindo (roh-roh) akan memimpin tarian bersama sekumpulan penari. Dalam gerakan tarian tersebut, para penari akan meniru suara “Umot-Mindo” sebagai usaha untuk menenangkan, memujuk, dan mengiringi roh-roh tersebut supaya kembali ke habitat asal mereka di lautan, mengikuti Mindo Ngolah dalam keadaan gembira dan tenteram.
Secara tradisional, tarian berperanan sebagai suatu bentuk intervensi spiritual dalam sistem kepercayaan masyarakat Bidayuh untuk memulihkan diri, keharmonian alam dan masyarakat. Fungsi utamanya adalah sebagai medium ritual untuk menghalau roh-roh penyakit yang dipercayai menjadi punca berlakunya wabak dan malapetaka di kampung. Melalui persembahan tarian ini, roh-roh tersebut dipujuk serta dihantar semula ke habitat asal mereka di lautan bersama Mindo Ngolah agar tidak lagi mengganggu kesejahteraan penduduk. Selain itu, tarian ini berfungsi menghalau gangguan roh dan perosak tanaman padi mereka. Hal ini kerana, ritual ini dipercayai berupaya menolak bala yang berupa serangan penyakit dan serangga perosak yang boleh menjejaskan hasil pertanian. Justeru, pelaksanaannya sering diadakan di kawasan sawah padi sebagai langkah perlindungan spiritual terhadap hasil tanaman.
Selain daripada fungsinya dalam konteks ritual kepercayaan, kini tarian Sigar Tulak Bala mengalami anjakan fungsi sejajar dengan perubahan landskap sosio-budaya masyarakat Bidayuh. Kini, tarian ini telah berkembang menjadi salah satu elemen penting yang membentuk identiti budaya etnik Bidayuh secara kolektif. Ia bukan sahaja dipersembahkan dalam upacara adat semata-mata, bahkan turut dijadikan sebagai salah satu persembahan seni warisan yang diketengahkan dalam pelbagai majlis keramaian seperti sambutan perkahwinan, majlis menyambut tetamu kehormat, serta persembahan kebudayaan di peringkat komuniti, negeri dan negara. Melalui proses adaptasi ini, Tarian Tulak Bala bukan sahaja terus relevan dalam masyarakat kontemporari, malah berperanan aktif dalam memperkukuh nilai-nilai warisan etnik bidayuh Bidayuh terhadap kepelbagaian seni persembahan etnik di Sarawak.
Busana yang digunakan dalam persembahan ini merupakan persalinan tradisional masyarakat Bidayuh yang mengekalkan warna asas hitam sebagai warna dominan. Bagi penari lelaki, persalinan dimulakan dengan pemakaian “Bajuh Tutuh”, iaitu baju yang diperbuat daripada kulit kayu. Di bahagian pinggang pula, penari memakai “Tahup (Tawoup)”, iaitu kain panjang yang dililit mengelilingi badan dengan hujung kain dibiarkan tergantung di bahagian hadapan dan belakang. Untuk menambah kekemasan penampilan, busana ini turut dilapisi dengan “Rompi” (Vest) sebagai pakaian luar. Seterusnya, penampilan penari lelaki dilengkapi dengan pelbagai aksesori tradisional seperti “Burang Sumba”, iaitu penutup kepala atau tanjak tradisional yang dipakai di kepala; “Pagiah Nubout” dan “Pimulang” sebagai aksesori pelengkap; serta “Kima”, iaitu gelang tangan yang diperbuat daripada logam.
Dalam persembahan Tarian Sigar Tulak Bala, alat muzik tradisional yang digunakan hanya terdiri daripada tiga jenis iaitu Agukng, Gulintangan dan Gadobong. Berikut adalah penerangan bagi setiap alat muzik tersebut
Agukng (Gong)
Agukng (Gong) digunakan sebagai alat muzik utama yang menghasilkan bunyi rendah dan bergetar. Agukng memberikan rentak asas kepada keseluruhan persembahan. Biasanya terdapat dua buah Agukng yang bersaiz besar dan bersaiz lebih kecil.
Gulintangan atau Gulentang (Saron)
Gulintangan atau Gulentang adalah alat muzik yang menyerupai alat muzik Saron, tetapi ia diperbuat daripada kayu berbentuk segi empat panjang. Setiap batang kayu tersebut mempunyai panjang dan nada berbeza pada setiap bilahnya. Biasanya, dua orang pemain diperlukan untuk memainkan alat muzik ini.
Gadobong (Gendang)
Gadobong atau gendang ialah alat muzik yang menghasilkan ritma melalui bunyi ketukan. Ia diperbuat daripada kayu seperti kayu nangka, dengan bahagian tengahnya yang ditebuk. Saiz gadobong untuk Tarian We’ Jonggan biasanya lebih kecil berbanding gendang biasa, supaya bunyinya sesuai dengan irama tarian.
Dalam pelaksanaan upacara pemujaan Tarian Sigar Tulak Bala, susunan pergerakan tarian sarat dengan unsur simbolik yang berfungsi sebagai medium komunikasi spiritual. Persembahan dimulakan dengan penari wanita yang bergerak secara beriringan sambil membawa lilin minyak kelapa panyut yang diletakkan di dalam tempurung kelapa. Sementara itu, penari lelaki masing-masing membawa peralatan ritual iaitu Taya, Ajung dan kelapa muda sebagai lambang persembahan kepada roh-roh. Di dalam ajung tersebut, dimuatkan pelbagai persembahan makanan iaitu Sadis dalam bahasa Bidayuh, yang berperanan sebagai sajian persembahan kepada roh-roh yang dipujuk.
Aspek pergerakan tari pula menekankan hentakan kaki secara bergantian antara kaki kiri dan kanan yang diselaraskan dengan pukulan irama gong. Di samping itu, penari wanita melakukan gerakan mendepakan tangan ke hadapan menyerupai perbuatan menampi padi. Bagi penari lelaki pula, gerakan tangan dibuka lebih luas dengan posisi mengembang seperti seekor burung. Kedua-dua penari lelaki dan wanita juga melakukan gerakan membuka tangan pada posisi duduk atau berpusing setempat bersama pasangan. Keseluruhannya, gerakan yang berulang akan dilakukan dan disusun mengikut kehendak dan kreativiti seseorang koreografer.
Encik Charmmy Ladong. Girumpung Baatan Asal Kampung Ta-ee(GBAT). Kampung Taee, Serian, Sarawak.
Encik Andrisse Ridu. Girumpung Baatan Asal Kampung Ta-ee(GBAT). Kampung Taee, Serian, Sarawak.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Anak Jelly, R. F., & Dawam, Z. A. M. (2019). Analisis gerak dan peranan wanita dalam ritual Boris, etnik Bidayuh: Movement analysis and the role of Bidayuh women in the Boris ritual. Jurnal Gendang Alam (GA), 9.
Chelum, A., Magiman, M. M., Tugau, M., Saufi, M., Bokhari, S., & Salleh, N. (2021). The Nyangahant ritual in the culture of Salako community at Kampung Pueh Lundu, Sarawak. Turkish Online Journal of Qualitative Inquiry, 12(7).
Dewan Bahasa dan Pustaka. (n.d.). Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Diakses daripada https://prpm.dbp.gov.my/
DBNA. (2014, Mei). The Bidayuh costume. Diakses daripada https://dbna.org.my/blog/the-bidayuh-costume/
Hersy Noveelia anak Henry. (2014). Pengurusan pakaian tradisional kaum Bidayuh di Daerah Bau. Diakses daripada https://ir.unimas.my/id/eprint/18818/1/Pengurusan%20pakaian%20tradisional%20kaum%20Bidayuh%20(24pgs).pdf
Riponche, T. (2017, Mac). Pakaian tradisional Malaysia. Diakses daripada https://www.tsemrinpoche.com/tsem-tulku-rinpoche/malaysia/pakaian-tradisional-malaysia.html
Wong, M. (2012, September). Pakaian tradisional etnik Sarawak. Diakses daripada https://www.slideshare.net/cikgucikgucikgu/pakaian-tradisional-etnik-sarawak
Tokoh (jika ada temu bual tokoh) Encik Charmmy Ladong. Girumpung Baatan Asal Kampung Ta-ee(GBAT). Kampung Taee, Serian, Sarawak.
Encik Andrisse Ridu. Girumpung Baatan Asal Kampung Ta-ee(GBAT). Kampung Taee, Serian, Sarawak.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Boniface Anak Babai
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,
93000, Kuching,
SARAWAK
019-2399682/082-422006