Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN SUMAGAYAN
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
0
Video
tiada
Pelawat Hari ini
7
Jumlah Pelawat
64
Pengenalan dan sejarah
Sumagayan atau dikenali juga sebagai Sagayan merupakan salah satu daripada tarian tradisional masyarakat etnik Iranun di Sabah yang kebanyakannya menetap di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Tuaran. Ia dipersembahkan dengan menggunakan topeng kerana tarian ini berkait rapat dengan legenda 'Darangan ni Bantugen' yang merupakan kisah epik kepahlawanan dalam kesusasteraan tradisional Iranun. Epik ini mengisahkan tentang watak Bantugen, seorang pahlawan terbilang yang melawan musuh-musuh demi melindungi kaumnya (Bangsa Iranun). Oleh itu, elemen asas dalam gerak tarian ini adalah berbentuk pertarungan dan seni mempertahankan diri yang mirip kepada gerak silat.
Namun begitu, sejak akhir tahun 1970-an, populariti tarian ini semakin berkurangan untuk dipersembahkan menyebabkan ia kurang dikenali oleh masyarakat umum. Salah satu elemen iaitu memakai topeng dalam persembahan tersebut juga tidak lagi dipraktikkan secara khusus dan kini hanya segelintir komuniti Iranun yang masih mempraktikkannya seperti di kawasan Pantai Timur Sabah meliputi daerah kecil Tungku, Nala, dan Barigas yang masih terus menghidupkan tarian ini sebagai usaha untuk mengekalkan budaya dan identiti mereka.
Pada kebiasaanya, tarian ini berfungsi sebagai persembahan untuk menyambut ketibaan rombongan pengantin lelaki ke rumah pihak perempuan. Ia berperanan sebagai simbolik kehangatan pihak tuan rumah (pengantin perempuan) untuk menyambut bakal keluarga baharu yang hidup menyatu dengan kerabat mereka. Selain itu, tarian ini berfungsi sebagai bentuk apresiasi kepada pengantin lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga bagi si pengantin perempuan kelak.
Busana penari Sumagayan umumnya akan mengenakan set pakaian tradisional masyarakat etnik Iranun yang dikenali sebagai ‘Malaboro’. Bahagian baju dikenali sebagai ‘Sinipak’ iaitu jenis baju berbelah pada bahagian tangan hingga ke siku penari. Penari wanita akan dilengkapkan dengan skirt panjang bertenun dan disuaikan bersama penari lelaki akan memakai seluar panjang bersamping yang dipakai secara menyerong. Busana ini pada lazimnya diperbuat daripada material kain tenunan yang dikenali sebagai kain ‘Mugah’.
Lazimnya, aksesori busana penari lelaki dan wanita adalah terdiri daripada hiasan leher, pinggang dan kepala. Hiasan pada bahagian leher disebut ‘Mandapun’ yang diperbuat daripada kepingan tembaga atau alumnium yang berwarna emas dan dijahit pada kain baldu hitam. Pada bahagian pinggang pula, akan dipakaikan tali pinggang yang disebut ‘Sabitan Bobutulan’ untuk kaum lelaki dan ‘Sabitan’ untuk kaum perempuan. Tali pinggang ini diperbuat daripada kepingan aluminium dengan getah pinggang atau kain baldu berukuran tiga inci lebar. Manakala, untuk hiasan kepala wanita akan dipakaian ‘Sinisip’ atau dikenali juga sebagai ‘Sarimpak’ yang turut diperbuat sepenuhnya daripada kepingan aluminium nipis yang dicat warna emas. Berbeza dengan penari lelaki, mereka akan dipakaikan dengan ‘Sigar’ iaitu tanjak yang diperbuat daripada kain dastar.
Aksesori tambahan yang menjadikan busana ini lebih unik adalah pemakaian aksesori tangan yang disebut ‘Kinuku’, iaitu hiasan kuku panjang diperbuat daripada kepingan alumnium nipis dan berukuran antara tiga hingga lima inci khusus untuk penari wanita. Manakala penari lelaki pula akan membawa peralatan props tangan seperti lembing atau parang.
Alat muzik yang mengiringi tarian ini adalah terdiri daripada Kulintangan, Bebandir (Canang) dan gong. Lazimnya tarian ini akan memainkan rentak muzik yang rancak untuk memberikan kekuatan kepada elemen gerak silat yang kelihatan tangkas disepanjang persembahan.
Tarian ini akan ditarikan oleh seorang penari lelaki dan empat hingga enam orang penari wanita. Penari lelaki tersebut akan menjadi penyanyi yang dikenali sebagai ’Daragan’ kerana ia memainkan peranan penting dalam memberikan konteks naratif disepanjang persembahan untuk menyampaikan kisah epik Bantugen. Nyanyian akan diselaraskan dengan alunan muzik yang dimainkan, dan gerak tariannya pula mengikuti irama nyanyian tersebut.
En. Asnari Taim. Persatuan Citra Seni Budaya, 89150 Kota Belud, Sabah. 01 November 2024.
Sumber Rujukan
Lokman Abdul Samad & Asmiaty Amat. (2012). Iranun. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong (Eds). Siri Etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil di Sabah. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Kuala Lumpur.
Saidatul Nornis. (2018). Ngalai: Ritual Penyembuhan dalam Kalangan Orang Bajau di Kota Belud, Sabah. Akademika 88(3), 101-112. doi: 10.17576/akad-2018-8803-09.
Taim, M. A., & Amat, A. (2022). Sumaranun dance: Movement changes from medical ritual to dance movement. Imaji Jurnal Seni Dan Pendidikan Seni, 20(1), 47–57. https://doi.org/10.21831/imaji.v20i1.45189
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Hassanal Redzuan
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!