Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN CANGGUNG
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
22
Video
ada
Pelawat Hari ini
42
Jumlah Pelawat
349
Pengenalan dan sejarah
Tarian Canggung merupakan salah satu seni tari tradisional yang menjadi identiti budaya di Negeri Perlis. Tarian ini mempunyai keunikan tersendiri kerana persembahannya diiringi dengan elemen nyanyian berbalas pantun di antara penyanyi lelaki dan wanita. Asal-usul Tarian Canggung berkait rapat dengan pengaruh tarian Rambong atau Makyong Laut yang kemudiannya telah diolah oleh masyarakat setempat di Perlis, sehingga membentuk identitinya sendiri sebagai Tarian Canggung. Dari segi etimologi, perkataan Canggung dipercayai berasal daripada perkataan bahasa Thai iaitu Tanggung yang membawa maksud "menari", mencerminkan sedikit pengaruh budaya serantau dalam pembentukannya.
Tarian Canggung mula diperkenalkan secara aktif ketika zaman pendudukan Jepun sekitar tahun 1941. Persembahan terawal tarian ini dibawakan oleh dua orang penari adik-beradik iaitu Che Lian dan Che Intan, yang menjadi pelopor kepada penyebaran dan populariti tarian ini dalam kalangan masyarakat Perlis. Sejak daripada itu, Tarian Canggung terus berkembang sebagai salah satu bentuk hiburan rakyat yang sering dipersembahkan dalam majlis keramaian seperti kenduri, majlis perkahwinan, atau perayaan selepas musim menuai padi.
Walaupun mempunyai persamaan dengan beberapa genre tarian rakyat seperti Ronggeng, namun Tarian Canggung memiliki keaslian tersendiri, terutamanya dalam elemen berbalas pantun di antara pasangan penari lelaki dan wanita. Pantun yang dilagukan dalam persembahan sering membawa tema nasihat, senda gurau, dan sindiran manja yang mencerminkan kehalusan budi bahasa serta kebijaksanaan masyarakat Melayu. Kini, Tarian Canggung terus dipelihara dan dipersembahkan dalam pelbagai acara kebudayaan, festival, serta dijadikan sebagai sebahagian daripada warisan budaya tidak ketara Malaysia yang dibanggakan khususnya oleh rakyat Negeri Perlis.
Pada asalnya, Tarian Canggung dipersembahkan sebagai hiburan santai semasa majlis kenduri, perayaan menuai padi, perkahwinan dan acara-acara keramaian lain. Keindahan berbalas pantun di antara penari lelaki dan wanita mewujudkan suasana riang, ceria, serta menggalakkan pergaulan yang sopan dan terkawal. Di samping fungsinya sebagai persembahan hiburan, tarian Canggung turut membawa nilai estetika tradisional yang tinggi, menjadikannya antara warisan seni tari yang signifikan di negeri Perlis malahan di seluruh Malaysia. .
Pada masa kini, Tarian Canggung bukan sahaja terus dipelihara oleh penggiat seni tradisional, malah fungsinya turut berkembang dalam konteks moden dan lebih terbuka. Ia sering dipersembahkan dalam program kebudayaan peringkat kebangsaan dan pertandingan tarian tradisional. Selain itu, tarian ini juga berperanan sebagai satu bentuk diplomasi budaya yang diketengahkan dalam acara antarabangsa bagi memperkenalkan keunikan warisan seni Melayu kepada khalayak global. Dengan peluasan fungsi ini, Tarian Canggung terus kekal sebagai aset warisan budaya yang penting dalam usaha pemeliharaan dan pengembangan seni tari tradisional di peringkat nasional dan antarabangsa.
Busana penari Canggung lazimnya mencerminkan kehalusan budaya serta estetika masyarakat Melayu melalui penggayaan pakaian tradisional yang anggun. Penari wanita biasanya mengenakan baju kebaya labuh yang dipadankan dengan kain batik sebagai skirt, atau kadangkala menggunakan kain songket untuk menyerlahkan keanggunan busana. Bagi melengkapkan penampilan, mereka turut memakai dokoh berwarna emas atau perak sebagai rantai hiasan dada bertingkat. Bahagian rambut pula dihias indah dengan cucuk sanggul yang disematkan pada sanggul rambut, lengkap bersama bunga-bungaan tersunting yang menambahkan seri penari semasa persembahan.
Pengiring muzik memainkan peranan penting dalam memperindah dan menghidupkan suasana persembahan Tarian Canggung. Gabungan pelbagai alat muzik tradisional memberikan ritma yang harmoni dan melodi yang sesuai dengan gerakan tari, nyanyian berbalas pantun, serta interaksi antara penari. Antara alat muzik utama yang digunakan ialah:
Serunai
Serunai berperanan sebagai alat tiupan utama yang menghasilkan melodi pengiring. Tiupan serunai dengan lenggok melismatiknya mewujudkan suasana tradisional yang mendayu-dayu dan menjadi pembuka serta pengatur tempo persembahan.
Gendang Terinai
Gendang Terinai menghasilkan rentak asas dalam iringan muzik. Pukulan gendang ini memberikan tempo yang stabil serta memperkuatkan struktur irama keseluruhan persembahan, di samping menyesuaikan rentak dengan gerakan tari.
Anak Rebana
Anak rebana berperanan sebagai alat perkusi tambahan yang menyempurnakan lapisan ritma. Pukulan anak rebana membantu mengisi ruang-ruang irama dengan paluan lembut yang memperkaya keindahan muzik pengiring.
Gong
Gong digunakan untuk menandakan perubahan babak atau penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam persembahan. Bunyi gong yang dalam dan bergema menambahkan suasana dramatik serta meneguhkan dimensi bunyi keseluruhan.
Gendang
Selain Gendang Terinai, gendang biasa turut dimainkan sebagai pelengkap irama. Gabungan kedua-dua jenis gendang ini mewujudkan variasi ketukan yang lebih kompleks dan meriah.
Biola
Biola memberikan sentuhan melodi moden yang diadaptasi dalam persembahan Tarian Canggung. Gesekan biola menambahkan keindahan melodi secara harmoni dengan tiupan serunai dan iringan alat muzik tradisional lain.
Kombinasi kesemua alat muzik ini mencipta suasana persembahan yang meriah, santai dan menghiburkan, seiring dengan elemen berbalas pantun serta gerak tari yang menjadi keistimewaan utama Tarian Canggung.
Pelaksanaan Tarian Canggung bergantung kepada kreativiti gerakan yang diolah oleh koreografer selaras dengan irama muzik pengiring, serta susunan ragam tari yang menjadi identiti persembahannya. Keunikan tarian ini terserlah melalui gabungan elemen gerak tari dan nyanyian berbalas pantun yang dikenali sebagai lagu Canggung.
Lirik Lagu Canggung
Ala canggung makcik la makcik canggung
Canggung canggung ala lei la lei...
Nasi kunyit Sayang gulai lah yang ayam
Tang mana lah ayam
Dalam belanga lah ayam
Hai sedapkah ayam
Mari dimakan di batas lentang.
Ala canggung makcik la makcik canggung
Canggung canggung ala lei la lei...
Songkok senget Sayang jalan lah yang malam
Mengkala la malam
Sat ni la malam
Hai sungguh ka malam
Hendak memikat si sanggul lentang
Ala canggung makcik la makcik canggung
Canggung canggung ala lei la lei...
Kuala Tunggang dik oi di padang lah yang Siding
Tang mana lah Siding
Hai di sana la Siding Hai jauh ka siding
Tempat lah orang julang penangin
Ala canggung makcik la makcik canggung
Canggung canggung ala lei la lei...
Sanggul lentang dik oi bungalah sunti
sapa dok sunti
hai dia dok sunti
hai betoi kah sunti
Bagailah mana apa nak jadi
Ala canggung makcik la makcik canggung
Canggung canggung ala lei la lei...
Bukit Chupping sayang gua lah berani
Dimana berani disana berani
Hai sungguh berani
Tempat orang mengambil baja.
Bilangan penari dalam Tarian Canggung biasanya melibatkan antara dua hingga lapan pasangan penari lelaki dan wanita. Dari segi ragam geraknya, Tarian Canggung menampilkan pola yang hampir menyerupai gerak Inang Melayu, namun dibezakan dengan tempo yang lebih tangkas, pantas dan dinamik. Kecepatan tempo ini menjadikan tarian kelihatan lebih ceria dan meriah, selaras dengan karakter nyanyian berbalas pantun yang disampaikan secara spontan. Antara ragam gerak utama yang sering dipersembahkan termasuklah:
Lenggang (kanan, kiri, hadapan, belakang)
Gerakan asas melibatkan olakan tubuh dan ayunan tangan ke pelbagai arah secara berirama mengikut tempo muzik.
Sudi (kanan dan kiri)
Gerakan membuka tangan ke sisi kanan dan kiri secara bersilih ganti sambil tapak tangan menari dibuka dan dilenturkan ke atas.
Lambung Angin
Kedua tapak tangan dibuka luas dan diangkat ke atas, seolah-olah melambungkan angin dengan gerakan yang lembut.
Duduk Setempat
Penari wanita akan melakukan gerakan duduk setempat sambil tangan kanan yang memegang sapu tangan dibuka dan dihayun ke sisi. Sapu tangan yang dipegang merupakan elemen penting, melambangkan keanggunan dan kehalusan gerak.
Ragam C (Ragam Variasi Tambahan)
Beberapa variasi gerak kreatif turut diselitkan bergantung kepada koreografi dan kemampuan penari, bagi memberikan variasi persembahan.
Gerak Silat (Untuk Penari Lelaki)
Penari lelaki pula mempersembahkan unsur gerak silat secara bersahaja, menonjolkan keperkasaan lelaki Melayu.
Nama Informan: Encik Wan bin Che Mat
Alamat (Isi yang berkaitan): Persatuan Seri Mawar, Perlis
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Haris, M. I. I. B., Hasan, H., Abd Aziz, M. K. N., & Manaf, A. R. A. (n.d.). Hubungan Serumpun Perlis-Setul: Analisis Dari Konteks Warisan dan Budaya Berdasarkan Sumber Lisan dan Bertulis.
Ishak, F. (1995). Tarinai: Tradisi yang hampir dilupakan.
FI, R. (2003). Sejarah dan perkembangan Tarian Trinai Perlis. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
Tarian canggung. (2012, December). Uniquely Perlis. Retrieved from https://uniquelyperlis.blogspot.com/2012/12/tarian-canggung.html
Seni Tari Melayu. (n.d.). Perlis Geopark. Retrieved from https://geopark.perlis.gov.my/tour-item/seni-tari-melayu/
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Encik Wan bin Che Mat. Persatuan Seri Mawar, Perlis
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Siti Rohayu binti Muhamad
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis
Kompleks JKKN Perlis
Persiaran Wawasan Kangar
01000 Kangar
PERLIS
019-504 0015