Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN GAMBUS PADANG CHANGKAT
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
5
Video
ada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
89
Pengenalan dan sejarah
Tarian Gambus merupakan seni warisan tradisional yang penting dalam budaya masyarakat Melayu di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Nama tarian ini diambil daripada alat muzik gambus, iaitu sebuah instrumen bertali yang berasal dari Timur Tengah. Instrumen ini kemudiannya diubah suai untuk disesuaikan dengan citarasa serta nilai-nilai budaya masyarakat Melayu tempatan.
Mengikut catatan sejarah, seni Gambus di Kampung Padang Changkat dipercayai diperkenalkan oleh Raja Azlan Shah (Tengku Delan), iaitu ayahanda tiri Almarhum Sultan Idris Shah, sekitar tahun 1970 hingga 1971. Seni ini kemudiannya mengalami perkembangan pesat, bukan sahaja dalam bentuk muzik, tetapi turut menghasilkan tarian yang dikenali sebagai Tarian Gambus. Tarian ini kini menjadi salah satu simbol identiti budaya yang sinonim dengan negeri Perak.
Asalnya tarian ini hanya ditarikan oleh golongan lelaki sahaja. Namun kini, ia turut ditarikan oleh kaum wanita baik secara berkumpulan mahupun berpasangan antara lelaki dan wanita. Secara teknikal, tarian Gambus Padang Changkat mempunyai banyak persamaan dengan tarian zapin. Unsur-unsur tingkah dan adab dalam tarian ini, seperti adab takzim, duduk sembah, kepala zapin atau alif, pecah tari, tahtim, Yamman, dan wainab, dipinjam daripada zapin tradisional. Namun, identiti unik Tarian Gambus terserlah melalui irama gambus yang dimainkan serta lirik lagu yang dinyanyikan, yang membezakan tarian ini daripada zapin yang lain.
Secara tradisional, Tarian Gambus Padang Changkat berfungsi sebagai hiburan budaya yang biasanya dipersembahkan semasa majlis perkahwinan atau pesta perayaan. Dalam majlis perkahwinan, tarian ini sering digunakan untuk menyambut ketibaan pengantin yang berarak menuju pelamin. Gerak tariannya dipercayai mampu mewujudkan suasana yang ceria dan harmoni dalam sesebuah majlis perkahwinan. Sementara itu, dalam konteks perayaan tradisional seperti pesta rakyat di sekitar Kampung Padang Changkat, tarian ini berperanan sebagai satu bentuk penghargaan terhadap elemen budaya tradisional masyarakat setempat.
Walau bagaimanapun, selari dengan perubahan zaman, Tarian Gambus Padang Changkat telah berkembang dan mendapat pengiktirafan meluas di seluruh negeri Perak. Kini, tarian ini bukan sahaja menjadi lambang identiti budaya negeri Perak, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memartabatkan warisan budaya tempatan. Fungsinya dalam konteks kontemporari turut berkembang, di mana ia sering dipersembahkan dalam acara-acara rasmi dan dijadikan medium pendidikan untuk memperkenalkan serta memelihara amalan budaya tradisional dalam kalangan masyarakat.
Dalam konteks persembahan tradisional, Tarian Gambus tidak terikat kepada busana atau kostum tertentu. Seperti pada awalnya ketika tarian ini hanya ditarikan oleh kaum lelaki, mereka mengenakan baju Melayu teluk belanga lengkap dengan samping yang diikat menggunakan gaya "Ikatan Lingkup." Ikatan ini merujuk kepada adab pemakaian samping untuk golongan rakyat biasa. Penari lelaki turut memakai songkok, dan cara berpakaian mereka mengikut tertib "Dagang Dalam," di mana samping dipakai di bawah kain baju Melayu, dengan baju Melayu berada di luar samping.
Setelah wanita turut serta dalam tarian ini, busana penari wanita yang dipakai adalah menggunakan identiti tradisional melalui pakaian Puteri Perak, yang dikenali sebagai pakaian Puteri Limau Purut. Pakaian ini terdiri daripada baju kurung cekak musang, seluar Aceh, dan samping "Dagang Luar," yang diperkemaskan dengan tali pinggang. Penari wanita pada masa kini sering melengkapkan penampilan mereka dengan tudung hitam yang menutupi dada, mencerminkan kesopanan dan keanggunan budaya Melayu.
Seiring perkembangan dan penyesuaian terhadap konteks persembahan moden, busana Tarian Gambus kini telah mengalami perubahan untuk memenuhi konsep persembahan pentas, khususnya dalam konteks komersial. Sebagai contoh, busana penari lelaki sering diubah suai untuk menyerlahkan identiti pahlawan. Penampilan ini melibatkan baju Melayu cekak musang atau teluk belanga, seluar panjang, dan samping "Dagang Luar" dengan ikatan khas seperti "Ikatan Pancung" untuk golongan bangsawan dan "Ikatan Kembung" yang biasanya dipakai oleh hulubalang, pembesar, atau mempelai pengantin lelaki. Aksesori kepala pula masih menggunakan Songkok untuk mengekalkan identiti tarian ini.
Tarian ini diiringi oleh nyanyian yang disokong oleh ensembel alat muzik tradisional. Sebagai sebuah tarian yang berakar daripada seni muzik gambus, alat muzik utama yang digunakan adalah ensembel gambus. Selain itu, tarian ini turut diiringi oleh alat muzik lain seperti maruwas, tamborin, bongo, dan marakas, yang memperkaya irama dan melodi persembahan.
Pada asalnya, lagu-lagu yang mengiringi tarian ini dinyanyikan dalam bahasa Arab, mencerminkan pengaruh budaya Timur Tengah yang signifikan. Namun, selepas penyesuaian dengan budaya tempatan, kebanyakan lagu-lagu tersebut telah diubah suai ke dalam bahasa Melayu, sambil mengekalkan unsur pantun dan sebutan tertentu dalam bahasa Arab. Contoh lirik yang masih mengekalkan penggunaan bahasa Arab adalah;
“Inta dinyakil lishoni wallah sib uyuni,
Ya habibi, Ya habibi”
atau
“Ya rosulallah, Ya habiballah,
Muhammad ibni abdillah.”
Contoh Lirik Lagu Bahasa Arab dan Bahasa Melayu
Bahasa Arab
(Tajuk Lagu: Inab)
Bahasa Melayu
(Tajuk Lagu: Pantun Pengantin Baru)
Lima ya sahiral ain,
Matuhad tibait fi tiza'aliy,
Innak minatif rigah wal bain,
Laka ayyam mashunah,
Ya zaro 'ainal inab mabatibi unah.
Subur 'asubur sa'ah’,
Asa ba'da subur tisrobi min hali,
Wasobur indal arob to'ah,
Wa'aqbas subur madhmunah,
Ya zaro ainal inab mabatibi unah.
Balana buhum robiy,
Uwala hum alaih galbi wa huwaliy,
Ma za'al fi yaduhum galbi,
Yamitunah wa yahyunah,
Ya zaro ainal inab mabatibi unah.
Wa kam nas'alil bahri,
Idza nisnis alaih wajnubi wasymali,
Asa asa syai khabar siri,
Yathminu nafsi mahnunah,
Ya zaro ainal inab mabatibi unah..aiwak
Sungguh senangnya pengantin baru,
Malam pertama oh malu-malu,
Malam kedua matikan lampu,
Malam ketiga tak boleh tahu.
Ombak samudra berakhir sudah,
Dua mempelai tersenyum ramah,
Oh satu hari tak akan berpisah,
Pagi dan sore rambutnya basah,
Kipaslah-kipas mencari angin,
Menutup pintu buka jendela,
Duhai senangnya yang baru kawin,
Bantalnya satu kepala dua.
Seperti yang disebutkan sebelumnya, asalnya tarian ini hanya ditarikan oleh penari lelaki sahaja. Namun kini, ia turut ditarikan oleh golongan wanita dan ada kalanya ia ditarikan secara berpasangan antara lelaki dan wanita di antara empat (4) hingga lapan (8) pasangan dalam satu persembahan.
Kaedah persembahan Tarian Gambus Padang Changkat dimulakan dengan gerakan Takzim, di mana penari memasuki arena sambil diiringi melodi tunggal daripada alat muzik gambus. Penari tampil dengan posisi badan sedikit tunduk, tangan kanan diluruskan ke bawah, manakala tangan kiri dilipatkan ke belakang. Gerakan ini melambangkan kesantunan dan penghormatan kepada penonton, menyerupai adat Melayu ketika melintasi tetamu atau orang tua. Setelah itu, penari melaksanakan Duduk Sembah sebagai tanda pembukaan rasmi persembahan. Penari lelaki mengangkat tangan kanan melintang di dada dengan tangan kiri bersedekap, manakala penari wanita memegang hujung kain samping di sebelah kiri. Gerakan ini memberi salam kepada penonton, menzahirkan penghormatan dan keterbukaan dalam persembahan.
Seterusnya, persembahan diteruskan dengan gerakan Kepala Gambus, yang dimulakan selepas pengenalan muzik selama tiga kali empat kiraan (3x4). Penari melakukan gerakan ini dengan mundur ke belakang sebanyak tiga kali, diikuti dengan Sembah Awal atau Tahiyat Awal sebagai simbol penghormatan dalam pembukaan. Gerakan ini melambangkan “Datang Tampak Muka” dan menandakan dimulakannya ragam gerak yang lebih kompleks. Persembahan kemudian memasuki fasa Pecah Tari, iaitu gabungan langkah dan ragam gerak yang disusun mengikut struktur tradisional Tarian Gambus. Gerakan ini mencerminkan keindahan variasi budaya tempatan yang dipersembahkan dengan lincah dan dinamik, tanpa mengubah asas tradisi tarian.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Elsyak, I. I. (n.d.). lirik_lagu-lagu_gambus (1).docx. Scribd. Diambil daripada
https://www.scribd.com/document/421554867/lirik-lagu-lagu-gambus-1-docx
Mohd Rafi Jafranee. (2021). Aspek Seni Tari Dalam Persembahan Tradisi Kumpulan Gambus Seni Warisan Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak. Jurnal Seni Tari 1(1):18
Sulong, M. A., Saidon, Z. L., & Nor Hashim, N. S. (2013). Muzik tradisi tari rakyat Perak: Suatu pendekatan etnomuzikologi. Malaysian Music Journal, 2(1), 72-105.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Encik Mohd Radzi Othman, Kumpulan Kesenian Kampung Padang Changkat, No. 84, Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Yufazli Yusof
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak
Kompleks JKKN Perak,
Lot 20561@20565 Jalan Caldwell,
Off Jalan Raja Di Hilir,
30350 Ipoh,
PERAK DARUL RIDZUAN
05-253 7001 / 05-254 1027
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!