Suku kaum Melanau sememangnya begitu sinonim dengan makan sagu. Bukan sahaja mereka banyak terlibat dalam membuat sagu dan menjadikan sagu sebagai makan utama, malah mereka juga merupakan suku kaum yang banyak mengusahakan tanaman pokok rumbia di Sarawak. Bagi kaum Melanau, makanan tradisional yang berbentuk bebola sebesar kacang tanah ini disebut sebagai Sagu atau Bulu. Semasa di bawah jajahan Jepun pada awal tahun 1940-an, sagu ini telah menjadi sebahagian makanan ruji penduduk Melayu dan Melanau di Sarawak. Secara khusus, Mukah yang merupakan kawasan penanaman pokok rumbia atau pokok sagu yang terbesar di Sarawak. Daripada pokok rumbia ini kemudiannya dihasilkan tepung tepung sagu atau lemantak. Selain Mukah, sagu juga mudah diperoleh di daerah Matu Daro, Dalat dan Oya.
Makanan tradisional berasaskan sagu yang dihasilkan daripada pokok rumbia atau pokok sagu merupakan makanan tradisional yang cukup popular dalam kalangan masyarakat suku kaum Melanau di bumi Kenyalang. Tepung sagu juga dikenali sebagai tepung lemantak oleh penduduk Malanau merupakan makanan ruji komuniti tersebut. Tepung lemantak yang diproses menjadi linut iaitu dituang dengan air panas dan digaul sehingga likat seperti gam yang amat enak dimakan dengan sambal belacan bersama-sama lauk-pauk menggantikan nasi.
Satu lagi makanan begitu sinonim dengan masyarakat Melanau ialah biji atau bebola sagu yang sesuai dijadikan makanan ringan, dimakan bersama umai dan ikan bakar. Makanan tradisional sagu ini cukup popular di bahagian Mukah yang merupakan kawasan penanaman terbesar pokok sagu di negeri ini. Proses menghasilkan biji sagu boleh dikatakan rumit dan melibatkan beberapa peringkat kerja selain mengambil masa agak lama. Sehingga kini kebanyakan masyarakat Melanau masih lagi menggunakan cara tradisional untuk menghasilkan biji sagu sebagai makanan istimewa mereka.
-
-
-
Penyediaan Tepung Lemantak
Proses pertama untuk menghasilkan tepung lemantak dimulakan dengan membelah dan memotong pokok mulong menjadi bahagian potongan kecil untuk dimasukkan ke dalam mesin parut bagi mengasingkan hampas dan isi pokok sagu. Setelah itu, isi pokok mulong yang diparut akan diairi untuk mendapatkan pati sagu seperti proses memerah santan dari kelapa yang diparut. Isi yang diparut itu kemudiannya melalui bahagian penapisan dan diperah sebelum diasingkan dari hampas atau ‘pow’ dalam bahasa Melanau. Kitaran air yang menggunakan sepenuhnya air sungai sentiasa bergerak kerana pemprosesan tepung lemantak ini memerlukan air yang banyak untuk mengasingkan setiap bahagiannya.
Isi sagu yang terkumpul dialirkan ke dalam jalur iaitu sejenis kayu belian yang mempunyai rongga di dalamnya. Di dalam jalur tersebut dimasukkan air untuk tujuan memendapkan isi sagu dan setelah semua isi sagu mendap, air yang terdapat dalam jalur akan dikeluarkan dan hanya tinggal isi sagu. Isi sagu ini kemudiannya dimasukkan ke dalam pasu dan sedia untuk dikeringkan.
Pembuatan Biji Sagu
Biji sagu merupakan salah satu makanan harian bagi kaum Melanau terutama penduduk kampung Tellian, Matu di Sarawak. Biji sagu dihasilkan dengan menggunakan tepung lemantak. Selepas itu, tepung lemantak akan dicampurkan dengan kelapa parut kering atau kerisik, dedak padi, santan, dan garam . Kesemua bahan tadi hendaklah ditumbuk lumat supaya mudah diadun. Sebahagian dari penduduk yang menghasilkan sagu, menggunakan mesin kelapa untuk membuat adunannya. Setelah siap, kesemua adunan tadi akan diayak di dalam takung yang merupakan acuan khas yang diperbuat daripada batang pokok buluh. Adunan yang telah diayak di dalam takung digelek menggunakan gaah iaitu sejenis alat khas yang dianyam menggunakan daun pokok nipah. Selepas itu, gelekan tersebut akan menghasilkan adunan yang berbentuk bulat melalui lubang-lubang yang sedia ada.
Adunan sagu yang digelek tadi diulang dan dimasukkan semula di dalam takung bagi mendapatkan bentuk bulat yang sekata. Bentuk bulat yang lebih kecil akan keluar semula dari takung tersebut manakala bentuk bulat yang mempunyai saiz yang sama dengan jaringan takung tidak akan terkeluar semasa diayak. Saiz tersebutlah yang sedia untuk dibakar. Adunan yang terkeluar daripada takung tersebut akan digelek semula dan proses yang sama berulang sehingga tepung habis. Setelah siap digelek, biji sagu yang tertinggal di dalam takung tersebut akan dibakar. Proses pembakaran dimulakan dengan memanaskan belanga yang diperbuat daripada tanah liat dan bata. Setelah belanga betul-betul panas, biji sagu diletakkan di atas belanga dan dibakar. Pembakaran ini juga tidak menggunakan minyak. Biji sagu harus sentiasa diratakan menggunakan penyapu lidi khas yang bersih bagi memastikan pembakaran biji sagu yang sekata. Proses pembakaran ini biasanya mengambil masa yang panjang sekitar lima jam untuk menghasilkan biji sagu menjadi rangup dan sedap untuk dimakan. Biji sagu yang siap dibakar dimasukkan di dalam tin dan ditutup rapat agar tidak menjadi lemau dan sedia untuk dijual kepada pelanggan.
-
i. Bahan Bacaan
https://animhosnan.blogspot.com/2019/02/tanaman-rumbia-dan-sagu.html
https://kampungtellian.blogspot.com/2011/12/sagu.html#google_vignette