ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM IBAN: ADAT PERKAHWINAN
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Majlis perkahwinan (melah pinang) dimulakan oleh pengantin lelaki yang memakai pakaian tradisional suku kaum ini diarak dalam rombongan menaiki kenderaan atau jong ke rumah pengantin perempuan, diiringi paluan gong. Ketibaan mereka disambut dengan satu das tembakan senapang sebagai tanda. Rombongan pengantin perempuan turun ke sungai untuk mandi bersama-sama dengan rombongan pengantin lelaki sebagai tanda permulaan silaturahim antara rombongan pengantin lelaki dan rombongan pengantin perempuan.


Upacara perkahwinan bermula dengan perbincangan di ruai dengan hidangan air tuak. Pengantin perempuan meminta berian (hantaran) yang nilainya bergantung kepada ketetapan penduduk kampung. Terdapat juga barangan hantaran lain, iaitu:


1. Bayaran pemecah tangga iaitu sebilah beliung atau kapak

2. Bayaran pembuka pintu iaitu sebatang lembing

3. Bayaran pembuka kelambu iaitu sebilah pedang

4. Bayaran-bayaran lain yang bersesuaian


Upacara membelah pinang menentukan tempoh jodoh kedua-dua pengantin. Pinang tersebut kemudian diagihkan kepada hadirin. Dengan ini upacara perkahwinan dianggap tamat melainkan majlis bersanding diadakan pada sebelah malamnya, maka upacara akan tamat pada malam tersebut. 


Sekiranya ada kesalahan atau kesilapan semasa majlis perkahwinan itu pengantin baru mandi di sungai untuk membersihkan diri. Mereka juga diminta memegang sehelai kain sepanjang tujuh ela supaya kesalahan setiap individu akan hilang.


Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Pada dasarnya, masyarakat Iban menganggap bahawa sebaik sahaja seorang lelaki bujang mencapai umur 20 tahun  bermakna lelaki tersebut sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Pada usia 22 tahun, lelaki tersebut dikatakan telah benar-benar bersedia untuk membina keluarga sendiri. Namun begitu, tanggapan yang serupa tidak berlaku kepada seorang anak gadis dalam kalangan mereka. Tiada garis umur ditetapkan untuk perempuan bujang mendirikan rumah tangga, malah mereka lebih terbuka pada bila-bila masa sahaja untuk anak gadis memikul tanggungjawab sebagai isteri kepada seseorang. 


Kaum Iban sebenarnya lebih mementingkan perkahwinan yang memenuhi segenap adat istiadat di samping mengelak daripada hukum adat dalam upacara perkahwinan. Sekiranya pelanggaran berlaku, keluarga bakal pengantin perlu membayar denda yang telah ditetapkan. Pembayaran denda adalah bertujuan untuk menebus kesalahan dan mengelak pasangan yang baharu berkahwin daripada ditimpa mala petaka dan bencana.


Pada kebiasaannya, ibu bapa yang mempunyai ramai anak dalam keluarga akan melewatkan sedikit masa untuk mengahwinkan anak-anak mereka. Hal ini termasuklah bagi anak-anak lelaki dan perempuan dalam keluarga tersebut. Sebaliknya, keluarga Iban yang tidak memiliki anak yang ramai lebih berkecenderungan untuk mengahwinkan anak-anak mereka secepat mungkin. Dengan itu, ahli baharu dalam keluarga akan dapat membantu dalam melaksanakan kerja-kerja tertentu khususnya yang melibatkan kerja di kebun atau aktiviti ekonomi keluarga. 


Nanya Indu / Bertanya


Dalam masyarakat Iban adat Nanya Indu boleh diertikan sebagai langkah untuk bertanya kepada keluarga perempuan berkaitan hasrat untuk melamar anak gadis dalam keluarga tersebut. Proses bertanya ini akan dilakukan setelah pemuda berjaya mengenali dan mendapat persetujuan si gadis melalui proses Ngayap antara mereka. Semasa sesi ini mereka saling mengenali akan hati budi masing-masing diikuti dengan persetujuan bersama untuk mendirikan rumah tangga. Sungguh pun begitu, terdapat dua kaedah lain dalam menentukan gadis yang bakal dirisik atau ditanya. Pertama menerusi persetujuan awal kedua-dua ibu bapa lelaki dan perempuan untuk menjodohkan anak masing-masing sebagai suami isteri. Manakala kaedah kedua yang juga sering digunakan untuk merisik gadis ialah dengan cara ibu bapa pihak lelaki membuat keputusan sendiri untuk bertanya kepada keluarga pihak perempuan tanpa persetujuan awal. Dengan kata lain, ibu bapa lelaki mempunyai kata putus dalam menetapkan gadis yang ingin dikahwinkan dengan anak lelaki mereka.


Perkahwinan dalam masyarakat Iban adalah ditentukan oleh pengantin lelaki dan dengan itu, untuk menjalankan adat Nanya Indu,  ibu bapa bakal pengantin lelaki atau wakil keluarganya akan berkunjung ke rumah keluarga gadis untuk menyampaikan hasrat. Sesi pertemuan dan perbincangan awal ini disebut sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum. Daripada istilah ini dapat difahami betapa perbincangan kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan berlangsung dalam suasana penuh harmoni, santun, mesra dengan bahasa indah penuh halus dan seni dalam menyampaikan hasrat dan persetujuan bersama. Persetujuan awal bersama akan cuba dicapai terutamanya berkaitan syarat-syarat perkahwinan iaitu berian, tarikh untuk Ngambi Indu atau merisik dan keperluan-keperluan lain. Setelah persetujuan dicapai, langkah seterusnya ialah keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis mengikut tarikh dan masa yang dipersetujui bersama.


Ngambi Indu / Merisik


Adat Ngambi Induk dilakukan oleh pihak lelaki yang secara umumnya membawa maksud mengambil gadis dengan meminta persetujuan gadis untuk menjadi tunang seterusnya sebagai isteri. Adat ini dilakukan dengan cara berkunjung ke rumah pihak perempuan untuk menjemput pihak perempuan ke rumah pihak lelaki untuk mengikat tali pertunangan. Sebelum berangkat ke rumah pihak perempuan, bakal pengantin lelaki diwajibkan membersihkan diri dan berwangian serta berpakaian kemas. Dengan hilangnya segala kekotoran, dipercayai bahawa perkara buruk dan bala bencana dalam perjalanan dan proses perkahwinan akan dapat dielakkan. Sepanjang perjalanan ke rumah pihak perempuan, sama ada menaiki pengangkutan darat atau air, rombongan pihak lelaki yang biasanya terdiri daripada antara lima hingga 20 orang tua-tua akan memukul gendang dan tawak. Bunyi pukulan ini dikatakan boleh menghindarkan gangguan semangat burung jahat, hantu hutan dan hantu pengacau majlis daripada mendengar perbualan dalam urusan Ngambi Indu. Dalam sesi perbincangan Ngambi Indu, hal berkaitan tarikh dan masa untuk pihak perempuan datang bertandang ke rumah lelaki akan ditentukan selain hal penting lain berkaitan majlis pertunangan

Melah Pinang/ Bertunang 


Adat bertunang dalam masyarakat Iban dikenali sebagai Melah Pinang yang bererti membelah buah pinang. Semasa adat Melah Pinang diadakan, hal-hal berkaitan berian atau mas kahwin dan akan cuba syarat-syarat perkahwinan yang terdapat dalam masyarakat Iban akan diperhalusi oleh kedua-dua belah pihak lelaki dan  perempuan. Sebaik sahaja persepakatan dicapai, tanda pertunangan akan dilakukan oleh bapa kepada bakal pengantin lelaki dengan melepaskan lapit dari pinggangnya iaitu ikatan pinggang perak atau sebilah pedang yang diikat di pinggangnya. 

Betusut/ Penentuan Tarikh


Selalunya Tuai Rumah akan turut terlibat secara aktif dalam perbincangan antara kedua-dua belah pihak. Malah Tuai Rumah ini bertindak sebagai ketua dan perantara dalam perbincangan untuk menentukan syarat perkahwinan dipenuhi. Antara syarat utama yang diberi perhatian ialah kesalahan adat terutamanya kedua-dua belah pihak bakal pengantin lelaki dan perempuan tidak boleh mempunyai ikatan kekeluargaan. Denda boleh dikenakan sekiranya kedua-dua mereka mempunyai tali persaudaraan. Penentuan tarikh majlis perkahwinan akan ditetapkan setelah ibu bapa bakal pengantin lelaki bersetuju dengan permintaan nilai berian atau mas kahwin oleh bakal pengantin perempuan. Sebagai simbol pertunangan, acara membelah pinang diadakan bagi menandakan persetujuan bersama dan setelah itu gadis yang ditunangkan tidak boleh lagi berhubung dengan lelaki lain kecuali tunangannya.


MAJLIS PERKAHWINAN


Majlis perkahwinan iaitu melah pinang dimulakan oleh pengantin lelaki yang memakai pakaian tradisional suku kaum ini diarak dalam rombongan menaiki kenderaan atau jong ke rumah pengantin perempuan, diiringi paluan gong. Ketibaan mereka disambut dengan satu das tembakan senapang sebagai tanda. Rombongan pengantin perempuan turun ke sungai untuk mandi bersama-sama dengan rombongan pengantin lelaki sebagai tanda permulaan silaturahim antara rombongan pengantin lelaki dan rombongan pengantin perempuan.


Upacara perkahwinan bermula dengan perbincangan di ruai dengan hidangan air tuak. Pengantin perempuan meminta berian  iaitu hantaran mas kahwin yang nilainya mengikut ketetapan penduduk kampung. Terdapat juga barangan hantaran lain, iaitu:



1. Bayaran pemecah tangga iaitu sebilah beliung atau kapak

2. Bayaran pembuka pintu iaitu sebatang lembing

3. Bayaran pembuka kelambu iaitu sebilah pedang

4. Bayaran-bayaran lain yang bersesuaian


Dalam acara ini, buah pinang diletakkan disediakan dalam tepak sirih sebelum dibelah kepada beberapa bahagian. Bilangan belahan pinang tersebut adalah merujuk kepada bilangan hari pengantin perempuan wajib tinggal di rumah suaminya. Belahan pinang tersebut kemudiannya diagihkan kepada tetamu yang hadir sebelum dihidangkan sarapan oleh keluarga pengantin. Dengan itu upacara perkahwinan akan menjadi lengkap dan sempurna serta selesai dengan baik. Namun jika didapati adanya pelanggaran syarat dan adat Iban, pengantin perlu melakukan acara mandi di sungai bagi tujuan membersihkan diri daripada kesalahan tersebut. Semasa acara mandi, kedua-dua pengantin perlu memegang sehelai kain yang panjangnya tujuh ela. Hal ini penting agar semua kesalahan pada setiap orang semasa perkahwinan itu akan terhapus. 


Sejurus selesai mandi di sungai, acara diteruskan dengan menyembelih binatang yang biasanya seekor babi sebagai korban dan penebus dosa-dosa pengantin. Setelah itu, pasangan pengantin boleh mengenakan pakaian untuk pergi ke rumah pengantin lelaki. Dalam perjalanan penuh ceria, wakil rombongan ke rumah lelaki akan membawa beberapa utas tali yang bersimpul bagi menandakan tempoh keraian majlis perkahwinan. Jika tali tersebut mempunyai lima simpulan bermakna majlis keraian perkahwinan itu akan berlangsung selama lima hari. Tali bersimpul tersebut biasanya diserahkan kepada Tuai Rumah atau ketua rumah panjang yang bertanggungjawab membuka satu simpulan tali  pada setiap hari sehinggalah semuanya terungkai.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

i. Bahan Bacaan

Haslinda Md. Nazri. (2018). Aspek Sosial dan Kebudayaan Masyarakat Iban di Sarawak. Ideology, 3(2), 79-90.   https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/30189/1/30189.pdf

Sharmine Hii Wan Sian. (2016). Perbandingan Pengurusan Adat Perkahwinan Iban Tradisi dan Moden. Disertasi Ijazah Sarjana Muda. https://ir.unimas.my/id/eprint/35053/1/PERBANDINGAN%20PENGURUSAN%20ADAT%20PERKAHWINAN%20IBAN24pgs.pdf

T.p. (n.d). Adat Perkahwinan Kaum Iban. http://mengenalietniksarawak.blogspot.com/2015/12/sejarah-sarawak-adat-perkahwinan.html


Lokasi