Masyarakat Siam di Pengkalan Hulu, Perak, mempunyai sejarah yang panjang dan unik dalam landskap kependudukan Malaysia. Mereka merupakan sebahagian daripada keturunan asli Siam dengan jejak kewujudan yang dapat dikesan seawal tahun 1810 yang berasal daripada kerajaan negeri Reman . Dalam sejarah tersebut, Tuan Tok Nik Tok Leh, seorang tokoh penting yang merupakan kerabat diraja Patani, memainkan peranan signifikan dalam usaha memperjuangkan kemerdekaan wilayah Reman daripada pengaruh Patani.
Sejarah ini turut memperlihatkan hubungan dinamik antara Patani dan Reman, yang suatu ketika dahulu merupakan wilayah-wilayah berdaulat. Konflik besar antara kedua-dua kuasa ini melemahkan kedudukan politik dan ekonomi mereka, membuka peluang kepada Kerajaan Siam untuk meluaskan pengaruhnya ke selatan. Akhirnya, kedua-dua negeri ini berada di bawah kekuasaan Siam, menjadikan negeri Reman, sebagai sebahagian daripada sejarah kompleks wilayah tersebut.
Pada zaman kegemilangan negeri Reman, ia merupakan sebuah kerajaan yang berdaulat dengan wilayah yang luas, meliputi kawasan dari Hulu Sungai Patani dan Sungai Tanjung Mas sehingga ke Lenggong di negeri Perak. Hulu Perak, yang pada asalnya dikenali sebagai Kroh, adalah antara kawasan penting dalam jajahan Reman. Nama Kroh diberikan oleh Raja Reman setelah melihat air di kawasan empangan yang dibina dari Sungai Selarong menjadi keruh akibat aktiviti gajah miliknya. Kawasan tersebut kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu.
Kini, sebagai sebuah masyarakat minoriti, masyarakat Siam di Pengkalan Hulu telah berjaya memelihara adat resam mereka yang telah berakar dari kompleks budaya orang Pattani dan Siam (Thailand) itu sendiri, termasuk adat perkahwinan tradisional, yang kekal relevan sehingga ke hari ini. Adat perkahwinan ini memaparkan struktur ritual yang mirip dengan adat perkahwinan Melayu, bermula dari proses merisik, meminang, bertunang, hingga ke majlis pernikahan dan persandingan. Namun, keunikan masyarakat Siam terletak pada keutamaan mereka untuk melaksanakan semua ritual perkahwinan dalam satu hari, menjadikannya sebuah tradisi yang efisien dan istimewa.
Perkahwinan dalam masyarakat Siam memainkan peranan penting sebagai institusi sosial yang bukan sahaja menyatukan dua individu, tetapi juga memperkukuhkan hubungan kekeluargaan, keagamaan, dan komuniti. Ia berfungsi sebagai penyatuan dua keluarga, di mana perkahwinan menjadi asas pembentukan hubungan yang lebih erat antara keluarga pengantin lelaki dan perempuan. Selain itu, perkahwinan turut menjadi medium untuk memastikan kelestarian warisan budaya melalui pelaksanaan ritual tradisional, pakaian adat, dan elemen keagamaan yang diwarisi secara turun-temurun. Dalam konteks agama Buddha Theravada, upacara pemberkatan oleh sami semasa perkahwinan melambangkan kesucian dan keberkatan hidup berkeluarga, sekaligus menekankan nilai spiritual yang menjadi teras masyarakat Siam.
Busana perkahwinan masyarakat Siam di Pengkalan Hulu, Perak, mempamerkan keindahan tradisi dan warisan budaya yang kaya. Pakaian pengantin dalam masyarakat ini menggambarkan nilai estetika dan simbolisme yang melambangkan kesucian, keharmonian, dan keberkatan dalam institusi perkahwinan.
Pengantin perempuan biasanya memakai pakaian tradisional yang dikenali sebagai “Chut Thai Pra Yook” yang berasal dari jenis busana "Chut Thai Phra Ratcha Niyom", iaitu busana tradisional rasmi masyarakat Siam. Pakaian ini diperbuat daripada kain sutera berkualiti tinggi dengan sulaman halus yang dihiasi dengan corak tradisional. Warna pakaian pengantin perempuan sering dipilih berdasarkan simbolisme tertentu; contohnya, warna merah atau emas yang melambangkan keberanian, kebahagiaan, dan kemakmuran.
Sebagai pelengkap, pengantin perempuan mengenakan aksesori seperti mahkota kecil, rantai emas, gelang, dan subang, yang bukan sahaja memperlihatkan kecantikan tetapi juga status sosial. Rambut pengantin biasanya disanggul kemas dan dihias dengan bunga segar seperti melur atau bunga teratai, yang mempunyai nilai simbolik dalam kepercayaan Buddha.
Pengantin lelaki pula mengenakan pakaian tradisional "Chong Kraben" yang disebut juga sebagai “Suea Bararatcha” yang bermaksud pakaian yang indah. Persalinan ini adalah meruju kepada kain sarung yang dililit dengan kemas, dipadankan bersama baju lengan panjang berwarna terang atau emas untuk melambangkan kemewahan dan kehormatan. Sesetengah pengantin lelaki juga memakai jaket berpotongan moden dengan elemen tradisional bagi mencerminkan gabungan tradisi dan moden. Penampilan mereka dilengkapkan dengan selendang atau kain samping yang dihias corak sulaman emas, menjadikan busana lebih elegan.
-
Proses adat perkahwinan masyarakat Siam Pengkalan Hulu Perak terbahagi kepada lima (5) proses utama, bermula daripada adat merisik (Seup Ha Khomun) yang dillakukan sebulan lebih awal, diikuti dengan malis pertunangan (Phiti Man), Akad Nikah (Phiti Somrot) dan Majlis Bersanding (Phithi Nang Khu) yang dilakukan serentak dalam sehari.
Merisik (Seup Ha Khomun)
Proses ‘Seup Ha Khomun’ atau merisik dalam adat masyarakat Siam di Pengkalan Hulu, Perak mempunyai persamaan dengan adat Melayu. Ia adalah langkah awal sebelum memasuki fasa pertunangan dan perkahwinan. Proses ini melibatkan usaha keluarga lelaki untuk mendapatkan maklumat tentang calon pasangan perempuan serta keluarganya. Ia bertujuan memastikan keserasian dan persetujuan antara kedua-dua keluarga.
Dalam proses ini, wakil daripada keluarga lelaki, biasanya terdiri daripada ahli keluarga terdekat atau individu yang dihormati, akan mengunjungi keluarga perempuan secara tidak formal. Mereka akan berbincang mengenai latar belakang, status sosial, pendidikan, dan nilai-nilai keluarga calon pengantin perempuan. Selain itu, proses ini juga bertujuan untuk mengenal pasti kesesuaian pasangan berdasarkan adat, budaya, dan tradisi yang diwarisi. Seup Ha Khomun bukan sahaja mencerminkan penghormatan kepada keluarga perempuan, tetapi juga sebagai usaha untuk memastikan hubungan perkahwinan yang akan terjalin berdasarkan kesefahaman dan restu daripada kedua-dua belah pihak
Majlis Pertunangan (Phiti Man)
Ketika tiba hari majlis perkahwinan, “Phiti Man” iaitu majlis pertunangan akan diadakan terlebih dahulu pada sebelah pagi. Pengantin lelaki akan mempersiapkan dulang hantaran yang dikenali sebagai “Khan Maak”. Ia mengandungi pelbagai barangan simbolik untuk diberikan kepada keluarga pengantin perempuan, biasanya terdiri daripada makanan tradisional, pencuci mulut, beras, biji bijan, bunga, lilin, dan hadiah berharga seperti barang kemas, dan wang tunai.
-
Bahan Bacaan
Abdul Halim Nasir. (1977). Sejarah Perak. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Negara.
Ibrahim Syukri. (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Majid, K. N. B. A., & Kit, C. N. Y. (2018). Perubahan Sosial Masyarakat Siam di Pendang, Kedah. Jurnal Wacana Sarjana, 2(1). http://spaj.ukm.my/jws/index.php/jws/article/download/82/59
Tassanawongwara, C. (2018). Performing Identity Through the Klong Yao Tradition Among the Siamese Community of Perlis, Malaysia (Master's thesis, University of Malaya (Malaysia).
Wales, H. Q. (1992). Siamese State Ceremonies: Their History and Function: With Supplementary Notes. Psychology Press.