Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN CERACAP INAI
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
0
Video
ada
Pelawat Hari ini
4
Jumlah Pelawat
68
Pengenalan dan sejarah
Tarian Ceracap Inai merupakan salah satu bentuk seni persembahan tradisional masyarakat Melayu yang berasal dari negeri Johor, khususnya dari Kampung Baru Batu 28, Lenga, Muar. Tarian ini tergolong dalam kategori tarian rakyat yang kaya dengan nilai adat dan kesopanan, serta memainkan peranan penting dalam warisan budaya negeri Johor. Keunikan tarian ini terletak pada gabungan elemen tarian istana dan rakyat, menjadikannya simbol kesinambungan tradisi antara masyarakat bangsawan dan rakyat jelata.
Asal-usul tarian Ceracap Inai dikaitkan secara langsung dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, khususnya peristiwa ketika Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke hulu Sungai Muar setelah Kota Melaka dikepung dan diserang oleh Portugis selama sepuluh hari pada tahun 1511. Dalam peristiwa pengunduran ini, Sultan Mahmud Shah bersama para pengikutnya bukan sahaja membawa barang keperluan, tetapi turut membawa serta bentuk-bentuk persembahan istana seperti tarian, muzik, dan alat kebesaran diraja. Salah satu persembahan yang diwarisi daripada zaman tersebut ialah tarian Ceracap Inai, yang terus dipelihara dan diamalkan di wilayah-wilayah tertentu di Johor hingga ke hari ini.
Menurut Tuan Haji Sukor bin Basir, seorang tokoh dan adiguru yang aktif memperjuangkan kelangsungan tarian ini, Ceracap Inai berasal daripada tradisi istana yang lazimnya dipersembahkan di hadapan Sultan dan para pembesar sebagai tanda penghormatan. Justeru, gerak tari yang terkandung dalam persembahan ini menonjolkan unsur ‘menyembah duli’ seperti gerakan sembah, tunduk, dan simbolik ampun yang mencerminkan kerendahan diri, tata susila dan adab Melayu yang tinggi. Elemen-elemen ini memperkukuh lagi nilai spiritual dan moral yang terkandung dalam setiap persembahan Ceracap Inai.
Pada peringkat awal, tarian ini hanya dipersembahkan oleh penari wanita sahaja, sejajar dengan fungsinya dalam majlis-majlis diraja Melayu yang berlangsung di dalam istana, lazimnya ditarikan oleh para dayang-dayang. Para penari wanita menzahirkan gerakan penuh kelembutan dan kesopanan yang mencerminkan nilai keayuan serta kehalusan budi pekerti perempuan Melayu. Namun, dalam amalan kontemporari, Ceracap Inai juga telah mula dipersembahkan oleh pasangan penari lelaki dan wanita atau dalam kumpulan bercampur yang bergantung kepada kesesuaian acara dan kreativiti penggiat seni setempat. Walaupun berlaku perubahan dalam bentuk persembahan dan penyertaan penari dan keaslian gaya gerak, nilai kesopanan dan adat Melayu tetap dikekalkan. Perubahan ini dilihat sebagai usaha progresif untuk memastikan warisan tarian Ceracap Inai terus relevan dan lestari dalam kalangan generasi baharu serta memperkukuh identiti budaya Johor secara berterusan.
Tarian Ceracap Inai memiliki pelbagai fungsi dan peranan yang mencerminkan keindahan budaya serta struktur sosial masyarakat Melayu, khususnya di negeri Johor. Pada asalnya, tarian ini berfungsi sebagai satu bentuk persembahan rasmi dalam majlis istana, terutamanya semasa sambutan perkahwinan diraja, pertabalan, dan majlis keramaian yang melibatkan kehadiran sultan dan para pembesar negeri. Persembahan ini dilihat sebagai lambang penghormatan dan penzahiran taat setia kepada institusi kesultanan, sejajar dengan nilai-nilai sopan santun dan adat resam Melayu yang tinggi.
Selain daripada fungsinya sebagai persembahan istana, Ceracap Inai turut berperanan sebagai simbol restu dan keberkatan, terutamanya dalam majlis perkahwinan. Ia sering dimainkan dalam acara berinai atau malam berinai bagi pasangan pengantin, di mana tarian ini dianggap sebagai simbolik kepada penyucian dan doa untuk kebahagiaan serta keharmonian rumah tangga. Gerakan tarinya yang lemah gemalai dan beradab juga mencerminkan kelembutan wanita Melayu dan suasana kasih sayang yang menjadi asas dalam sesebuah institusi kekeluargaan.
Dalam konteks masyarakat kontemporari, Ceracap Inai berfungsi sebagai alat pelestarian budaya, khususnya dalam memupuk kesedaran generasi muda terhadap pentingnya memelihara warisan seni tradisional. Ia sering dipersembahkan dalam program kebudayaan, festival warisan, pertandingan tarian rakyat, serta inisiatif pendidikan seni di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Melalui penyertaan aktif dalam tarian ini, generasi baharu bukan sahaja mempelajari teknik gerak tari, malah memahami nilai-nilai budaya, sejarah, dan jati diri bangsa.
Tarian ini juga memainkan peranan penting dalam diplomasi budaya, khususnya dalam program pertukaran budaya atau persembahan seni di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ceracap Inai menjadi medium komunikasi budaya yang memperkenalkan kehalusan seni dan kesantunan masyarakat Melayu kepada dunia luar. Gerak tari yang penuh estetika, digandingkan dengan irama muzik tradisional dan kostum yang indah, menjadikan persembahan ini sebuah persembahan yang mampu mencetuskan rasa hormat, kekaguman, dan penghargaan terhadap warisan budaya Malaysia.
Justeru itu, fungsi dan peranan Tarian Ceracap Inai melangkaui sekadar hiburan, sebaliknya ia merupakan manifestasi budaya, pendidikan nilai, dan instrumen penyatuan masyarakat. Keupayaannya untuk terus relevan dalam pelbagai konteks membuktikan bahawa tarian ini bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi warisan hidup yang membentuk identiti kolektif bangsa Melayu, khususnya di Johor.
Busana dan penampilan penari dalam Tarian Ceracap Inai memainkan peranan penting dalam mengekspresikan nilai estetika, simbolik, dan adat resam masyarakat Melayu di negeri Johor. Setiap elemen pakaian, aksesori, dan solekan bukan sahaja memperindah persembahan, malah mencerminkan warisan budaya yang kaya dan berakar umbi dalam sejarah kesultanan Melayu Johor
Penari lelaki lazimnya mengenakan baju Melayu Teluk Belanga, yang merupakan pakaian tradisional Johor. Baju ini berpotongan asli dengan ciri-ciri seperti pesak, kekek, dan tiga kocek iaitu dua di bahagian bawah dan satu di dada kiri. Warna baju biasanya polos tanpa corak dipadankan dengan kain samping yang diikat secara berdagang dalam serta menampilkan motif bunga bertabur atau tapak catur. Penampilan ini dilengkapi dengan songkok yang disematkan dengan kerongsang.
Penari wanita pula memakai baju kurung Teluk Belanga berpotongan asli, lengkap dengan pesak dan kekek. Kain yang digunakan boleh terdiri daripada pelbagai jenis seperti poliester, kapas, satin, atau sutera, bergantung kepada kesesuaian dan keselesaan penari. Warna busana sering diselaraskan dengan penari lelaki untuk mencipta keharmonian visual. Sekiranya baju tidak bercorak, ia biasanya dipadankan dengan kain sarung songket berbunga penuh yang diikat dengan gaya ombak mengalun, menonjolkan keanggunan dan kehalusan budaya Melayu.
Aksesori pula memainkan peranan penting dalam melengkapkan penampilan penari. Penari wanita sering mengenakan rantai leher, gelang tangan, dan subang telinga (anting-anting) yang direka dengan motif tradisional Melayu. Rambut mereka didandan dengan sanggul, dihiasi dengan cucuk sanggul dan bunga-bunga segar atau selendang, menambahkan elemen keindahan dan kelembutan dalam persembahan. Penari lelaki pula mungkin menambahkan bengkung yang dihiasi dengan pending, melambangkan status dan keperibadian dalam konteks budaya Melayu.
Akhir sekali, solekan penari dalam Tarian Ceracap Inai cenderung kepada gaya yang sederhana dan tidak terlalu menonjol, selaras dengan nilai kesopanan dan kesederhanaan dalam budaya Melayu. Penari wanita biasanya mengenakan bedak asas yang ringan, pemerah pipi yang lembut dan lipstik berwarna semula jadi untuk menonjolkan keayuan wajah. Mata mungkin dihiasi dengan celak atau pembayang mata yang lembut tanpa penggunaan warna yang terlalu terang atau mencolok. Penekanan diberikan kepada penampilan yang bersih, anggun, dan mencerminkan kehalusan budi pekerti wanita Melayu.
Tarian Ceracap Inai didukung oleh iringan muzik tradisional yang memainkan peranan penting dalam membentuk suasana, tempo dan ekspresi emosi sepanjang persembahan. Antara alat muzik utama yang digunakan termasuklah gambus, biola, marwas, gendang, tamborin atau rebana, dan kompang. Gambus merupakan alat muzik bertali yang menyerupai oud dari Timur Tengah, dipercayai diperkenalkan ke Tanah Melayu melalui pengaruh Arab dan Parsi. Alat ini dimainkan secara petikan dan menjadi instrumen utama yang menghasilkan melodi dalam iringan tarian ini. Biola pula berfungsi sebagai pelengkap melodi gambus dengan menambah harmoni dan lapisan emosi dalam persembahan.
Seterusnya, marwas digunakan sebagai alat perkusi berbentuk silinder yang diketuk pada kedua-dua belah permukaan untuk menghasilkan rentak halus dan seimbang. Rentak marwas menjadi latar kepada gerakan tari yang lemah gemalai dan tersusun. Gendang pula memainkan peranan sebagai penentu tempo utama. Bunyi ketukannya memberikan panduan kepada penari dalam menyelaras gerak langkah agar seragam dengan irama muzik. Dalam beberapa persembahan, tamborin atau rebana turut digunakan untuk menambahkan variasi ritma serta mewujudkan suasana yang lebih dinamik dan meriah. Selain itu, kompang juga sering digunakan dalam tarian tradisional ini, ia memberikan ritma yang bertenaga dan menyatukan irama muzik dengan gerakan penari, sekali gus membangkitkan semangat penari ketika mempersembahkan tarian.
Kesemua alat muzik ini dimainkan secara langsung oleh sekumpulan pemuzik yang biasanya terdiri daripada empat hingga enam orang, bergantung kepada skala dan keperluan persembahan. Iringan muzik langsung ini bukan sahaja menghidupkan suasana, malah memperkukuh ekspresi budaya dalam setiap persembahan Ceracap Inai.
Selain daripada alat muzik, persembahan tarian ini turut menggunakan dua peralatan pentas (props) yang sangat penting, iaitu ceracap dan lilin. Ceracap merujuk kepada dulang logam berukir yang dihias dengan bunga rampai atau daun inai. Ia digunakan sebagai prop utama yang diangkat dan dipersembahkan oleh para penari pada detik-detik tertentu dalam tarian, melambangkan simbol penghormatan dan penyucian. Di atas Ceracap tersebut, diletakkan M lilin yang dinyalakan dan dibawa oleh penari semasa menari. Cahaya lembut daripada lilin yang berkelip menambah suasana persembahan.
Tarian Ceracap Inai memerlukan persiapan yang teliti sebelum dipersembahkan kepada khalayak. Salah satu elemen penting dalam persiapan ini ialah penyediaan ceracap, iaitu dulang logam berukir yang dihias dengan bunga rampai atau daun inai. Di atas ceracap tersebut akan diletakkan lilin yang dinyalakan, yang kemudiannya dibawa oleh penari sebagai prop utama dalam persembahan.
Lazimnya, tarian ini dipersembahkan oleh sekumpulan penari wanita dalam jumlah antara lima hingga lapan orang, namun jumlahnya boleh melebihi bergantung kepada keperluan dan skala persembahan. Dalam versi berpasangan pula, tarian ini boleh dipersembahkan oleh tiga hingga lima pasang penari lelaki dan wanita. Formasi kemas dan pergerakan berstruktur menjadi asas kepada kekuatan persembahan tarian ini yang sering dipersembahkan dalam majlis keramaian atau acara rasmi.
Struktur asas persembahan tarian Ceracap Inai lazimnya dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu;
Gerakan Sembah Duli (Pembukaan):
Penari memulakan persembahan dengan gerakan sembah duli sebanyak tiga kali, sebagai tanda penghormatan kepada penonton dan simbolik kepada adat istana.
Gerakan Utama:
Penari mengambil lilin dari ceracap dan mula menari dengan gerakan yang lemah gemalai, menggabungkan elemen silat dan tarian tradisional. Gerakan ini memerlukan keseimbangan dan ketelitian agar lilin yang menyala tidak terpadam atau tumpah.
Gerakan Penutup (Sembah Duli):
Persembahan diakhiri dengan gerakan sembah duli sekali lagi, sebagai penutup yang melambangkan penghormatan dan kesopanan.
Tarian Ceracap Inai terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga, dalam daerah Muar, Johor. Walaupun tiada tokoh individu yang dikenal pasti sebagai pencipta tarian ini, komuniti setempat memainkan peranan penting dalam memelihara dan meneruskan tradisi ini. Antaranya seperti Tuan Haji Sukur bin Basir dan Encik Majid bin Rawino. Usaha mereka memastikan tarian ini terus dipersembahkan dalam majlis perkahwinan dan keramaian, mengekalkannya terus relevan dalam budaya Melayu Johor.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Hamza, H. Z., Chin, L. F. H., & Sampurno, M. B. T. Prosiding Seminar Kajian Ilmiah Seni Persembahan 2024.
Mohamad Nor, K. (2013). Tarian Ceracap Inai. Istana Budaya, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nor Hafizah Hassan
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor
Aras 6 Kiri, Wisma PERKESO
No 26, Jalan Susur 5
Off Jalan Tun Abdul Razak, Larkin
80200 Johor Bahru
JOHOR DARUL TAKZIM
07-224 8270 / 223 1249
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!