TARIAN MAGUNATIP

Seni Persembahan >Tarian

Gambar

5

Video

tiada

Pelawat Hari ini

7

Jumlah Pelawat

257

Pengenalan dan sejarah

Magunatip merupakan tarian tradisional yang diwarisi oleh etnik Murut, salah satu komuniti pribumi terpenting yang menetap di kawasan pedalaman Sabah meliputi daerah Tenom, Keningau, Pensiangan dan beberapa daerah lain. Nama Mangunatip berasal daripada perkataan ‘Atip’ yang bermaksud ‘Jepit’ merujuk kepada perbuatan mengetip atau mengapit dua permukaan batang buluh yang digunakan sebagai instrumen utama dalam tarian ini. Batang buluh tersebut menghasilkan bunyi berirama dan elemen koreografi yang memastikan penari mempunyai kemahiran serta ketangkasan dalam memainkan kaki mereka pada selang jepitan dua batang buluh dan mengelak daripada terkena ‘Atipan’ tersebut.


Lazimnya, tarian Magunatip dipersembahkan oleh penari lelaki dan wanita dalam rentak berirama, di mana lelaki akan mendahului dengan tarian ‘Mahihialang’ diikuti oleh penari wanita dengan rentak tarian ‘Anggalang’. Ia bermula dengan iringan pukulan alat muzik ‘Sansaring’ iaitu gong kecil dan ‘Jarang’ iaitu gendang, kemudian diikuti dengan paduan bunyi daripada lagaan atau ketukan di antara dua buluh. Penyatuan ensemble muzik dan pola gerak dalam tarian ini bukan sahaja mencerminkan kecerdasan fizikal penari atau dinamika persembahan, tetapi juga mempunyai simbolisme mendalam yang mengaitkan elemen tarian dengan nilai budaya dan identiti masyarakat etnik Murut.

Fungsi dan Peranan

Pada peringkat awal, fungsi Magunatip dipersembahkan untuk merayakan kemenangan pahlawan-pahlawan mereka yang berjaya menewaskan musuh dalam peperangan. Ia menjadi satu menifestasi semangat juang masyarakat etnik Murut dalam mempertahankan maruah dan rumpun bangsa mereka ketika itu. Selain itu, Mangunatip juga memainkan peranan signifikan dalam pelbagai upacara adat yang penting bagi masyarakat Murut. Antaranya adalah;


1. Upacara ‘Mansilad’ - Ritual pengubatan orang sakit, di mana tarian ini dipercayai dapat membantu menyembuhkan pesakit dengan menghubungkan mereka kepada kekuatan spiritual. 

2. Upacara ‘Magintan Taduk’ - Ritual pemujaan semangat padi sebagai lambang kesuburan dan kelangsungan hidup. 

3. Upacara ‘Titikas’ - Majlis keramaian seperti sambutan perayaan adat, perkahwinan dan menyambut tetamu-tetamu besar atau berstatus tinggi.

4. Upacara ‘Massayau’ - pemujaan roh semangat untuk perlindungan dan keselematan komuniti setempat.


Dalam era moden, fungsi dan peranan Magunatip telah berkembang. Ia kini menjadi sebahagian daripada upacara rasmi, terutamanya dalam sambutan Pesta Kaamatan iaitu Pesta Menuai Padi yang diraikan setiap tahun pada 30 dan 31 Mei di Sabah. Pesta ini mengapresiasikan kejayaan menuai padi sebagai simbol kemakmuran dan kesuburan. Oleh itu, persembahan Magunatip didedikasikan sebagai simbol penghormatan kepada alam semula jadi dan kejayaan kolektif. Dalam konteks ini, tarian Magunatip bukan sahaja berfungsi sebagai satu persembahan budaya tetapi juga sebagai alat penyatuan komuniti, menghubungkan generasi dalam merayakan warisan mereka yang berharga.


Lebih daripada itu, Magunatip juga kini dipersembahkan dalam pelbagai majlis rasmi dan fungsinya telah berubah menjadi satu simbol perpaduan dan identiti budaya. Dalam masyarakat yang semakin global, tarian ini menjadi salah satu cara bagi etnik Murut untuk mengekalkan warisan budaya mereka sambil memperkenalkan keunikan tradisi mereka kepada dunia luar. Ia tidak hanya sekadar tarian adat tetapi juga mewakili perjuangan untuk mengekalkan identiti dan kebanggaan etnik dalam era moden yang dipenuhi dengan perubahan pantas.



Busana/ Aksesori

Penari lelaki akan mengenakan busana yang diperbuat daripada kulit kayu yang didapati daripada pokok Aputul (Artocarpus Kunstleri).  Baju lelaki diberikan nama ‘Babaru puputul’  iaitu jaket kulit kayu tanpa lengan dan dipadangkan dengan seluar cawat yang dikenali sebagai ‘Avah Puputul’. Aksesori kepala akan menggunakan topi yang diberikan nama ‘Lalandau’ yang dihiasi dengan bulu burung Sewah Tahu atau dalam bahasa tempat masyarakat etnik murut dikenali bulu ‘Tuwou’. Bagi menambah kemasan pada bahagian kepala, Lalandau akan diikat menggunakan kain sulam untuk mengetatkan dan mengukuhkan kedudukannya agar tidak mudah jatuh ketika menari.


Aksesori pada bahagian kaki dan tangan penari lelaki hanyalah menggunakan ‘Holong’ yang diperbuat daripada kain berjuntai berwarna kuning dan hitam. Ketika melakukan persembahan, penari lelaki kebiasaanya akan menggunakan props berupa parang yang dikenali sebagai ‘Hayang’ dan perisai kayu yang dikenali dengan nama ‘Kolid’. Kadangkala ada Hayang boleh digantikan dengan lembing atau dalam bahasa Murut disebut ‘Tandus’. Penggunaan props ini memberikan aura kepahlawanan lelaki Murut yang memberikan simbolik kegagahan yang berjaya menakluk musuh lawan.


Bagi penari wanita, persalinan busana yang dipakai adalah ‘Pinongkolo’ dipadankan dengan aksesori pinggang (tali pinggang) bernama ‘Pipirot’. Ia terbahagi kepada dua jenis, jika diperbuat daripada manik dengan lebar yang lebih besar ia disebut ‘Pipirot’, manakala satu jenis lagi dikenali sebagai ‘Pipirot Linggit’ merujuk kepada tali pinggang diperbuat daripada besi atau perak.


Bagi menambahkan aura rias penari wanita, aksesori kepala terdiri daripada beberapa perhiasan iaitu, ‘Salupai’ sejenis hiasan kepala yang diperbuat daripada manik. Salupai akan diikat pada dahi penari wanita dan belakangnya akan diletakkan hiasan cucuk sanggul berjuntai yang diberikan nama ‘Sinikot’. Setelah itu, hiasan bulu Tuwou akan dipasakkan pada sanggulan rambut penari tersebut. Selain itu, ‘Sisingan’ atau anting-anting manik yang berbentuk juntaian akan dipakaikan. Selalunya anting-anting manik ini dipadankan dengan pemakaian rantai leher dikenali sebagai ‘Rarangkol’ yang terdiri daripada beberapa jenis manik seperti ‘Bungkas’, ‘Kotos’, ‘Aki’ Pangungupu’, ‘Bulul’ atau ‘Olod’. Sama dengan penari lelaki, penari wanita juga akan memakai hiasan gelang tangan Holong, cuma bezanya gelang tangan untuk wanita dikenali dengan nama  ‘Holong Solod’ yang diperbuat sepenuhnya daripada manik.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat muzik yang mengiri tarian Magunatip adalah ensembel Gong yang terdiri daripada beberapa nama ensembel mengikut sub suku etnik Murut seperti ‘Sampangigalan’ bagi sub suku Murut Timugon dan ‘Aripason’ bagi sub suku Murut Paluan. Jumlah gong dalam satu ensembel adalah lebih kurang 9 buah sehingga mencecah 14 buag gong. Dalam set ensembel gong ‘Sampangigalan’, ia mengandungi 9 biji gong yang terbahgai kepada 6 jenis iaitu ‘Jojolon/Utaatangan’, ‘Alipangon’, ‘Tingkaraan’, ‘Lubukon’, ‘Kutambuon’ dan ‘Taubon’. Paduan bunyi gong ini mengiringi persembahan tarian Magunatip mengikut ritma dan tempo yang perlahan sehinggalah kepada tempo yang lebih laju.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tarian Magunatip melibatkan penari lelaki dan wanita yang mempersembahkan rentak tarian sambil melompat di antara batang buluh yang diketuk/diapit serentak. Persembahan dimulakan oleh penari lelaki dengan rentak tarian "Mahihialang" diikuti penari wanita yang mempersembahkan rentak "Anggalang". Kedua-dua penari perlu menunjukkan ketangkasan dan kepantasan mengelak buluh yang diketuk/diapit mengikut irama muzik tradisional. Penekanan utama dalam persembahan ini adalah kecekapan gerakan kaki dan koordinasi yang tepat dengan tempo bunyi buluh yang diketuk.

Tokoh dan Pencapaian

Suhaimi Magi. (61 tahun). Kampung Ulu Tomani, 89907 Tenom, Sabah


Mestrah binti Lauk. (33 tahun). Kampung Sapulut, Pensiangan 89950 Nabawan, Sabah.


Nor Syafiqah Yahya. (29 tahun). Persatuan Seni tari Keningau, 89900 Keningau, Sabah. 8 Oktober 2024.


Sumber Rujukan

On, L. K., Magi, S., Hussin, S., Shafii, A. S. H., & Bakhir, N. M. (2018). The healing ritual context of the Magunatip Dance of the Murut in Sabah, Malaysia. Advanced Science Letters, 24(7), 4798–4801. https://doi.org/10.1166/asl.2018.11203


Kitingan, J., P. (2012). Murut. Dalam Kntayya Mariappan. (Ed). Siri etnik Sabah ITBM-UMS: MURUT dan pelbagai etnik lain di sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia


Humin Jusilin. (2019). Warisan busana Murut. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Hassanal Redzuan

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

Kembali Ke Atas