ALU BUNYI

Seni Persembahan >Muzik

Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

5

Jumlah Pelawat

53

Pengenalan dan sejarah

Alu Bunyi adalah salah satu warisan tidak ketara di Perlis Geopark. Antara kategori warisan tidak ketara termasuklah cara hidup, amalan, adat resam serta seni budaya tarian, muzik dan masakan. Ia diamalkan secara turun temurun dari satu generasi ke generasi baharu.

Alu Bunyi tergolong dalam tiga persembahan kesenian tertua di negeri Perlis selain Awang Batil dan Beduan, berusia lebih 200 tahun. Mengikut sejarah, kesenian ini berasal daripada pengembara Indo-China. Mereka menggunakan perahu yang belayar berdekatan pantai untuk sampai ke Tanah Melayu. Setibanya di Tanah Melayu, mereka tinggal di kampung- kampung. Mereka menanam padi dan memainkan Alu Bunyi sebagai hiburan semasa waktu senggang. Aktiviti ini kemudiannya menarik minat pesawah-pesawah Melayu untuk mempelajarinya. Disebabkan itulah kesenian ini popular dalam kalangan pesawah-pesawah padi. Mereka menggunakan peralatan pertanian untuk menghasilkan bunyi yang unik dan menghiburkan. Alat utama muzik Alu Bunyi ini ialah lesung dan alu yang digunakan untuk menumbuk padi. Pukulan alu ke atas lesung menghasilkan rentak seakan sama dengan rentak daripada alat muzik gamelan. Lesung dan alu biasanya diperbuat daripada kayu tui, jawi atau retak duri. 

Kumpulan Alu Bunyi mempunyai seramai 12 orang ahli. Mereka terlatih dan mahir memainkan peralatan muzik. Mereka mengetuk bahagian tengah dan tepi lesung menggunakan alu sambil diiringi alunan bunyi serunai dan ini menghasilkan irama yang harmoni. Alu Bunyi kerap kali dipersembahkan semasa musim menuai dan semasa pesta menuai. Pelbagai aktiviti lain turut diadakan semasa pesta seperti membuat emping dan ringgi. Menurut kepercayaan sesetengah pihak, selain daripada hiburan, pesta ini juga adalah sebagai satu cara memuja semangat padi supaya datang ke kampung pesawah dan tinggal di jelapang. Dipercayai juga bahawa semangat padi ini akan menghalang perosak padi seperti tikus dan burung daripada merosakkan tanaman pesawah. Antara kumpulan Alu Bunyi yang masih aktif sehingga kini ialah Kumpulan Setia Jaya. Kumpulan tersebut berasal dari Kampung Nesam, Bintong.

Kesenian tradisional negeri Perlis terus dilestarikan apabila Syed Alwi Jamalullail Ibni Almarhum Syed Saffi  Jamalullail, raja negeri Perlis yang keempat, menitahkan agar kesenian tradisional Melayu berkembang pesat. Permainan dan persembahan seperti Hadrah, Beduan, Alu Bunyi, Gendang Keling, Bangsawan, Dike, Makyong, Selampit dan Awang Batil bukan saja menjadi persembahan istana, akan tetapi baginda berusaha menyebarkannya ke kampung-kampung untuk hiburan rakyat dan pemuliharaan seni budaya dan adat istiadat.

Fungsi dan Peranan

Sebagai pujaan semangat padi supaya datang ke kampung pesawah dan tinggal di

o jelapang padi.

Dipercayai akan menghalang perosak padi seperti tikus dan burung.

Dimainkan ketika temasya menampi padi.


Busana/ Aksesori

- Baju pagoda, ikatan pelikat di pinggang dan seluar.

Peralatan/ Bahan-Bahan

- Alu

- Lesung

- Serunai


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

- Para penari saling bergurau-senda dan cuba memikat antara satu sama lain dengan berbalas pantun, sambil mengetuk Alu Bunyi.

Tokoh dan Pencapaian

Saidin@Mahmud Hashim bermula pada tahun 1973. Kumpulannya masih aktif sehingga kini.

Sumber Rujukan

https://tourism.perlis.gov.my/kerajaan-negeri-angkat-kesenian-alu-bunyi/ 

https://www.perlislib.gov.my/web/ejurnal-perlis/146-sejarah-pemerintahan-tuanku-raja-syed-alwi-jamalulail 

https://www.google.com/search?udm=36&q=alu+bunyi 

Rejab F.I. 2013. Memoir Seribu Jejak di Pantai Usia. Kuala Lumpur: ITBM.


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Saidin@Mahmud Hashim
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Siti Rohayu binti Muhamad

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis
Kompleks JKKN Perlis Persiaran Wawasan Kangar 01000 Kangar PERLIS

019-504 0015

Kembali Ke Atas