Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN RAMBAI
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
3
Video
tiada
Pelawat Hari ini
97
Jumlah Pelawat
1257
Pengenalan dan sejarah
Tarian Rambai adalah tarian tradisional bagi masyarakat etnik Tidung yang kebanyakannya mendiami bahagian tenggara Sabah meliputi daerah Tawau, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan. Rambai merujuk kepada istilah 'tampi' atau 'menampi' dengan nyiru, yang sinonim dengan pekerjaan harian petani, seperti yang disebut dalam bahasa Tidung iaitu Intogos (bekerja di sawah), Bekabun (berkebun), dan Tongoyon (bergotong-royong).
Asal usul tarian ini berakar daripada aktiviti gotong-royong masyarakat Tidung semasa musim menuai padi. Ketika masyarakat sibuk menuai padi di sawah, kanak-kanak meniru pelbagai gerakan orang dewasa yang menampilkan motif-motif pergerakan aktiviti pertanian di sawah seperti menarik karung guni, menghalau burung, menghempas padi, mencangkul batas sawah, dan menarik tali penghalau burung. Pada umumnya, tarian ini mempunyai lapan langkah asas tangan dan dua langkah asas kaki yang mem membentuk ekspresi budaya dalam menggambarkan kehidupan tradisional dan keunikan cara hidup masyarakat Tidung.
Tarian Rambai bukan sahaja merujuk kepada persembahan semata-mata, tetapi tarian ini berfungsi sebagai alat untuk memperkukuh semangat kekeluargaan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat Tidung khususnya menggambarkan kehidupan agraria masyarakat mereka yang terdahulu. Dalam konteks masa kini, tarian Rambai telah berperanan sebagai hiburan untuk masyarakat. Ia sering dipersembahkan dalam pelbagai acara keramaian seperti festival kebudayaan, majlis perkahwinan, dan sambutan perayaan. Iringan muzik dan gerakan tarian yang unik ini menjadikannya sebagai satu persembahan yang menarik dan menghiburkan penonton.
Busan penari tarian Rambai lazimnya adalah berwarna hitam yang dihiasi dengan renda bewarna emas. Penari wanita akan memakai baju dalam bentuk potongan kebaya dihiasi dengan hiasan dada yang dikenali dengan nama ‘Kubab Pempulu’, bermaksud dada burung yang menghiasi bahagian dada si pemakai. Kubab pempulu ini diperbuat daripada kain baldu yang dilekat dengan benang emas berhiaskan manik dan labuci. Sementara pada bahagian pinggang akan dipakaikan dengan hiasan ‘Panding’ (tali pinggang). Pada bahagian kepada penari wanita, akan dipakaikan kain batik memberikan simbol pekebun wanita ketika berada di sawah sambil membawa props tangan berupa nyiru atau tampi.
Busana penari lelaki hampir sama dengan busana etnik dusun Labuk, namun dalam tarian Rambai, baju lelakki terbelah pada bahagian tengah. Baju dalam lelaki biasanya berwarna hitam, putih atau kuning. Hiasan kepala akan menggunakan tanjak yang dikenali dengan sebagai ‘Singal’. Pada bahagian aksesori, busana lelaki akan dipakaikan dengan tali pinggang iaitu ‘Panding’ dan kain selempang yang dipanggil ‘Serebit’.
Alat muzik digunakan dalam tarian ini ialah Kulintangan, Ketipung (gendang) dan dua jenis gong iaitu gong ibu dan gong anak.
Tarian Rambai terbahagi kepada 8 langkah asas tangan dan 2 langkah asas kaki iaitu;
1. Mengayun - Kedua-dua tangan akan dihayun secara berlawanan ke depan dan kebelakang sambil menggelengkan kepala mengikut lawan arah tangan yang diayun.
2. Mengambai - Kedua-dua tangan akan bertemu antara satu sama lain dan ditutup dan dibuka( sisi kanan dan kiri).
3. Menyabit - Pergerakan seperti menyabit atau memangkas padi.
4. Menampi - Pergerakan seperti menampi padi yang dibuat pada paras pinggang dan paras bahu. Gerakan ini hanya dilakukan oleh penari wanita sahaja.
5. Mencangkul - Pergerakan seperti mencangkul batas sawah yang hanya dilakukan oleh penari lelaki sahaja.
6. Menarik Guni - Pergerakan ini adalah menunjukkan gerakan menarik guni yang dipenuhi hasil padi. Tangan kiri diangkat diparas dada, manakala tangan kanan akan dihayun dari belakang ke depan sehingga separas dengan tangan kiri.
7. Menghalau Burung - Pegerakan ini menujukkan motif gerak seolah-olah menghalau burung. Perbuatan gerak ini seakan-akan menampi padi, tetapi hanya tapak tangan dan pergelangan tangan yang digerakkan pada bahagian atas. Gerakan ini hanya akan dilakukan oleh penari wanita sahaja.
8. Mengangkat Padi - Pergerakan ini adalah imitasi perbuatan mengangkat padi baik dengan cara memikul atau menjinjing dan ia hanya ditarikan oleh penari lelaki sahaja. Lazimnya, gerak ini dilakukan ketika penari masuk atau keluar.
9. Pegerakan kaki - Kaki penari akan dihentakkan seperti perbuatan memijak padi yang telah kering secara bergantian daripada awal mula persembahan sehingga ia berakhir. Satu langkah kaki lagi adalah dengan melakukan gerakan memijak pada salah satu kaki sahaja dan satu kaki yang lainnya akan direhatkan dan tidak dihentakkan.
Suhaimi Magi. (61 tahun). Kampung Ulu Tomani, 89907 Tenom, Sabah. 8 Oktober 2024.
Nor Syafiqah Yahya. (29 tahun). Persatuan Seni tari Keningau, 89900 Keningau, Sabah. 8 Oktober 2024.
Sumber Rujukan
Abdul Munir Hafizy Ladoni. (2012). Tidung. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong. Siri etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil Lain di Sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nurshahrinna Syahrial
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!