Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
CHINGAY
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
15
Video
ada
Pelawat Hari ini
130
Jumlah Pelawat
1346
Pengenalan dan sejarah
Perarakan Chingay merupakan satu bentuk kesenian jalanan yang tergolong dalam kategori permainan tradisional masyarakat Cina, khususnya komuniti Hokkien di Pulau Pinang. Istilah "Chingay" berasal daripada dialek Hokkien tempatan yang membawa dua makna utama: chin-gē (真藝), yang bermaksud "seni asli", dan chng-gē (妝藝), yang membawa maksud "seni peragaan" atau persembahan berbusana. Perarakan ini menampilkan gabungan pelbagai elemen kebudayaan seperti kemahiran mengimbangi bendera gergasi, tarian singa dan naga, persembahan akrobatik, junglee, opera Cina, dan pancaragam, menjadikannya antara persembahan rakyat yang paling meriah, unik dan beridentiti tinggi.
Dari sudut sejarah, Chingay dipercayai bermula di Pulau Pinang sekitar tahun 1880, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina Hokkien, dan dikaitkan dengan perarakan sempena ulang tahun kelahiran Dewi Kuan Yin, iaitu Dewi Kasih Sayang dalam kepercayaan Taoisme dan Buddhisme Mahayana. Pada waktu itu, ia turut disertai dengan perarakan patung tokong dan bekas colok dari kuil-kuil tempatan sebagai sebahagian daripada ritual keagamaan. Chingay kemudiannya berkembang menjadi satu bentuk perarakan awam yang besar, yang menghimpunkan persembahan seni jalanan dan tarian tradisional yang mencerminkan semangat spiritual dan komuniti masyarakat Cina tempatan.
Perarakan Chingay yang direkodkan secara rasmi di Pulau Pinang bermula pada tahun 1919, sempena sambutan hari kelahiran Dewa Penyayang, ketika komuniti Cina di George Town memohon perlindungan daripada wabak yang sedang melanda. Perarakan seterusnya diadakan pada tahun 1926 dan sekali lagi pada tahun 1957, iaitu sempena pengisytiharan George Town sebagai bandar oleh Ratu Elizabeth II. Tahun 1957 ini juga dianggap sebagai detik penting apabila bendera Chingay buat pertama kalinya dikibarkan secara sekular, menandakan peralihan daripada fungsi keagamaan kepada bentuk persembahan awam yang inklusif.
Perarakan Chingay bukan sekadar sebuah persembahan kebudayaan semata-mata, tetapi turut mengandungi nilai spiritual, sosial dan nasional yang mendalam. Ia bermula sebagai suatu bentuk penghormatan kepada dewa-dewa dalam kepercayaan tradisional masyarakat Cina, khususnya komuniti Hokkien di Pulau Pinang. Dirai saban tahun bersempena dengan ulang tahun kelahiran dewa-dewa Cina, termasuk Dewi Kwan Yin (Dewi Kasih Sayang), perarakan ini mencerminkan ungkapan rasa syukur, harapan dan perlindungan rohani bagi kesejahteraan komuniti.
Secara tradisional, peserta lelaki dalam perarakan Chingay akan mengenakan baju putih dan seluar merah, dua warna yang melambangkan kesucian dan semangat keberanian. Warna merah juga dipercayai membawa tuah serta menghalau perkara-perkara negatif menurut kepercayaan masyarakat Cina. Sebagai pelengkap gaya, mereka akan mengikat kepala dengan kain merah, menambahkan elemen keberanian dan keteguhan semangat dalam mengendalikan bendera Chingay gergasi, yang sering memerlukan kekuatan fizikal dan keseimbangan tinggi.
Dalam era moden, pakaian peserta Chingay telah mengalami evolusi, sesuai dengan perkembangan zaman dan daya tarikan visual. Kini, kostum peserta direka dengan pelbagai warna ceria, potongan moden dan kemasan lebih kemas untuk memberi impak visual yang lebih memukau kepada penonton. Walau bagaimanapun, warna merah dan putih masih kekal sebagai warna dominan dalam banyak kumpulan sebagai tanda penghormatan terhadap nilai asal Chingay. Beberapa kumpulan juga mengenakan kostum bertema atau berlogo, mengikut organisasi atau komuniti yang mereka wakili, menjadikan setiap perarakan bukan sahaja persembahan budaya, tetapi juga pentas ekspresi identiti tempatan.
Di sebalik keindahan dan kemeriahan perarakan Chingay, terdapat pelbagai peralatan dan bahan-bahan penting ketika perarakan ini dilakukan. Setiap satu memainkan peranan terhadap kelangsungan perayaan ataupun perarakan ini
Bendera Gergasi
Ikon utama Chingay ialah bendera gergasi yang boleh mencecah ketinggian 40 kaki. Bendera ini lazimnya berwarna-warni, dihiasi dengan corak tradisional, tulisan kaligrafi Cina, dan lambang-lambang yang melambangkan keberanian, keharmonian dan kekuatan spiritual. Mengimbangkan bendera bersaiz besar ini merupakan kemahiran istimewa yang hanya dikuasai oleh pemain Chingay terlatih.
Tiang Kayu Panjang
Kemuncak perarakan Chingay ialah aksi mengimbangi bendera gergasi, yang panjangnya boleh mencecah antara 25 hingga 32 kaki (7.6 hingga 9.8 meter) dan beratnya sekitar 27 kilogram. Pelaku utama akan menunjukkan kepakaran mereka dengan mengimbangi tiang bendera menggunakan pelbagai anggota badan seperti dahi, bahu, kaki, malah mulut.
Selain aksi imbangan bendera, perarakan Chingay turut menghimpunkan pelbagai bentuk seni tradisional dan moden seperti:
Tarian Singa dan Naga
Persembahan Akrobatik dan Junglee
Pertunjukan Opera Cina
Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri
Alunan muzik tradisional yang mengiringi keseluruhan persembahan
Kumpulan-kumpulan ini akan berarak sepanjang laluan yang ditetapkan, berhenti di lokasi tertentu untuk mempersembahkan kemahiran dan kreativiti masing-masing kepada penonton yang menanti di sepanjang jalan. Perarakan ini juga diserikan dengan kehadiran kenderaan berhias, pertunjukan bunga api yang berwarna-warni, dan pancaran cahaya lampu yang menjadikan suasana lebih meriah dan dramatik, khususnya pada waktu malam.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Henry, C. R. J. (2021). The Modern Variation of the Kapitan System: A Case Study of the Johor Bahru Old Chinese Temple's Annual Chingay Parade. Min Su Qu Yi, (212), 1-42.
Goh, D. (2009). Chinese religion and the challenge of modernity in Malaysia and Singapore: Syncretism, hybridisation and transfiguration. Asian Journal of Social Science, 37(1), 107-137.
Beng, T. S. (2009). Peranakan street culture in Penang: Towards revitalization. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 157-166.
Beng, T. S. (2019). Breathing new life into'potehi'glove puppets in Penang, Malaysia: Advocating a community-engaged approach. Journal of the Oriental Society of Australia, 51, 84-102.
Ning, H., & Chye, H. K. (2024). The Malaysian International Guan Gong Cultural Festival: Reconnection and recommunalisation between China and Malaysia. Indonesia and the Malay World, 52(154), 287-316.
Maidens’Festival, S., Sen, S. Y., Vaughan, J. D., Jie, Z. Y., Jie, Q. M., Hock, J. C. K., ... & Day, C. Chingay in Malaya.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Zurairi bin Hanip
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pulau Pinang
Kompleks Pustaka Warisan Seni,
Lot No. 2180 Lintang P. Ramlee,
Off Jalan P.Ramlee
10460 PULAU PINANG
04-281 7791 /7792
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!