ADAT MANDI TIAN
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Mengikut adat Melayu, apabila isteri mengandung genap tujuh bulan maka dilakukan upacara kepercayaan adat mandi tian atau kirim perut oleh Tok Bidan, yang bukannya wajib dalam Islam. Mandi ini dipercayai bertujuan menyelamatkan wanita yang pertama kali mengandung.


Fungsi dan Peranan

Mandi Tian merupakan salah satu tradisi adat yang penting di negeri Kedah, yang dilakukan dalam pelbagai acara seperti perkahwinan, kelahiran, atau majlis tertentu untuk membersihkan diri secara simbolik dan memperolehi berkat. Fungsi utama Mandi Tian adalah untuk menyucikan badan dan rohani, menghilangkan segala kekotoran atau gangguan dalam kehidupan seseorang, serta memberikan keberkatan dan kesejahteraan. Dalam masyarakat Kedah, Mandi Tian melibatkan ritual yang penuh dengan makna, di mana air yang digunakan untuk mandi dicampurkan dengan bahan-bahan seperti bunga-bungaan, herba, dan rempah ratus, yang dipercayai mempunyai kuasa penyembuhan dan penyucian. Proses ini biasanya dilakukan oleh seorang 'tok bidan' atau individu yang dihormati dalam komuniti untuk memastikan upacara dijalankan dengan sempurna.

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Kelengkapan mustahak adalah seperti berikut:-

Air selusuh dan limau purut;

Tujuh biji buyung tembaga yang berukir di bahagian tepinya dan berisi air;

Tujuh biji buyung tembaga yang berukir di bahagian tepinya dan berisi air;

Daun kelapa yang dianyam dalam bentuk binatang diletak di tepi buyung;

Sebiji kelapa yang elok, dikupas dan dilicinkan tempurungnya;

Tujuh urat benang diikat berselang untuk dijadikan tali (pinggang), bertih, kunyit, cekur jerangau, dan tujuh bentuk cincin diikat di pinggang ibu selama tujuh hari;

Tujuh helai kain (kalau dapat tujuh warna yang berlainan);

Beras;

Damar;

Sirih pinang;

Wang pengkeras sebanyak lima sukuyakni RM1.25 dalam tepak sirih;

Sintuk; dan

Telur mentah.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tok Bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain itu melintang di atas tilam selaras dengan sepanjang tulang belakang ibu yang mengandung. Ibu ini dibaringkan di atas kain tersebut dan diurut dengan minyak oleh Tok Bidan. Kemudian kelapa digulingkan perlahan-lahan di atas perut ibu dari atas ke bawah sebanyak tujuh kali.


Pada kali ketujuh kelapa itu dibiarkan bergolek dari perut ibu ke bawah. Pada masa kelapa tersebut berhenti bergolek itulah Tok Bidan memerhatikan kedudukan muka atau mata kelapa itu. Kononnya ibu akan memperoleh anak lelaki sekiranya mata kelapa itu menghala ke atas dan anak perempuan sekiranya mata kelapa itu menghala ke bawah.


Kemudian, dengan sebelah tangannya memegang kelapa, Tok Bidan memusingkan badan ibu yang hamil itu, menarik selapis demi selapis kain alas di bawahnya sehingga kesemua ditarik keluar. Kain-kain itu diambil oleh Tok Bidan bersama dengan kelapa, damar, sirih pinang serta wang pengkerasnya.


Setelah itu si ibu dimandikan dengan sintuk dikelilingi Tok Bidan bersama tujuh wanita yang lain. Kemudian, telur dibubuh di dalam baju dan dibiarkan jatuh lalu dipijak oleh si ibu sebelum bersiap dengan pakaian yang indah-indah untuk majlis jamuan.


Jamuan adat ini ialah nasi kunyit, gulai ayam dan ayam panggang. Kononnya ketika menanak nasi kunyit ia tidak boleh dirasa masin atau tawarnya. Sepinggan nasi kunyit diberikan kepada Tok Bidan manakala bakinya dihidang kepada orang ramai.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Intisari kebudayaan Melayu Kedah. (1986). Malaysia: Dikumpul dan diterbitkan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Kedah.

A. Z. S. A. S. (2016). Sejarah Kedah dua millenia. Malaysia: UUM Press.


Lokasi