MUZIK TUMBUK KALANG
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Pada masa dahulu, permainan Tumbuk Kalang menjadi hiburan yang digemari oleh para pesawah padi. Nama Tumbuk Kalang berasal daripada sejenis lesung khas yang digunakan untuk menumbuk emping padi muda yang sedang menguning. Bunyi kuat yang dihasilkan ketika menumbuk emping terhasil daripada lesung yang dialas dengan batang pisang atau pelepah kelapa. Alas tersebut dikenali sebagai kalang, dan daripada aktiviti menumbuk emping dalam lesung beralas kalang inilah tercetusnya nama Tumbuk Kalang. ‘Tumbuk Kalang’, menghasilkan irama bunyi yang menghiburkan hanya daripada tumbukan 'manja' beberapa batang antan ke sebuah lesung kayu. Terkenal khususnya di daerah Tampin, Inas, Gunung Pasir dan Rembau. “Tumbuk Kalang” dimainkan oleh masyarakat pesawah pada zaman dahulu ketika mengemping padi terutama pada waktu malam bulan mengambang. Setelah penat menuai dan membanting padi pada siang hari, pada malamnya masyarakat kampung berkumpul untuk mengemping padi sambal-sambil menikmati irama Tumbuk Kalang. Biasanya mereka akan berpantun dan lagu-lagu yang biasa dinyanyikan ialah lagu tumbuk emping, kuda berontak, petang-petang dan gogar bacang.


Fungsi dan Peranan

Permainan Tumbuk Kalang pada asalnya berfungsi sebagai hiburan dan cara bagi masyarakat pesawah padi untuk beristirahat dan merayakan hasil kerja keras mereka pada musim menuai. Ia bukan sahaja menjadi waktu bersantai dan bersosial pada waktu malam, tetapi juga mengeratkan hubungan dalam komuniti kampung tanpa memerlukan tempat khas untuk dimainkan. Tradisi ini melambangkan semangat kebersamaan dan kepuasan setelah penat lelah bekerja di sawah.

Namun, seiring perubahan zaman, fungsi Tumbuk Kalang telah berubah. Kini, ia tidak lagi menjadi acara perayaan semula jadi dalam kalangan pesawah, sebaliknya dipersembahkan sebagai warisan budaya dalam majlis-majlis kesenian dan keramaian. Fungsi asalnya sebagai hiburan komuniti di kampung masih dihargai, namun kini lebih bertujuan untuk memelihara dan memperkenalkan tradisi kepada generasi baru dan khalayak yang lebih luas.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Tumbuk Kalang menghasilkan bunyi irama yang menghiburkan hanya melalui tumbukan ringan beberapa batang antan pada lesung kayu. Kesenian ini popular di kawasan seperti Tampin, Inas, Gunung Pasir, dan Rembau. Pada zaman dahulu, Tumbuk Kalang dimainkan oleh masyarakat pesawah ketika mengemping padi, khususnya pada malam bulan mengambang. Selepas penat bekerja menuai dan membanting padi pada siang hari, masyarakat kampung akan berkumpul pada waktu malam untuk mengemping padi sambil menikmati alunan irama Tumbuk Kalang. Mereka juga berbalas pantun dan menyanyikan lagu-lagu tradisional seperti Tumbuk Emping, Kuda Berontak, Petang-Petang, dan Gogar Bacang.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Cara mengetuk lesung dalam permainan Tumbuk Kalang berbeza mengikut daerah. Sebagai contoh, di Gemencheh, "Lagu Kambing Berlaga" dimainkan dengan seorang individu menggunakan dua batang antan, manakala di Kuala Pilah hanya satu antan digunakan. Antan adalah alat yang digunakan untuk menumbuk padi, dan setiap ketukan pada bahagian lesung menghasilkan bunyi yang berbeza.

Ketukan di bahagian hujung kiri lesung dikenali sebagai mencincang, menghasilkan bunyi yang tetap dan berselang-seli, manakala ketukan di hujung kanan yang tidak tetap dikenali sebagai menganak atau meningkah. Di sisi kiri atau kanan badan lesung, terdapat ketukan yang disebut mengibu, yang merupakan ketukan penting kerana ia menentukan irama lagu yang dimainkan. Ketukan terakhir ialah di lubang atau tepi lubang lesung, dikenali sebagai keriket, yang berfungsi untuk memperindah irama lagu.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Ainaa Syafiqah Abdul Rahman, Mohd. Nizam Nasrifan. (2023). Pewarisan Budaya melalui aktiviti Kokurikulum di Sekolah: Ensembel Muzik Tumbuk Kalang Negeri Sembilan. Vol. 18 No. 1 (2023): Jurnal Peradaban Melayu / Articles. https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/JPM/article/view/5269



Abdul Razak Hassan. (1990). Tumbuk Kalang. Negeri Sembilan Dahulu dan Sekarang. Persatuan Muzium Malaysia. Muzium Negara. https://www.malaycivilization.com.my/omeka/files/original/15124735f463dcbad0ceeb1b3b303332.pdf


Mstar. (2012). Tumbuk Kalang Permainan Rakyat Negeri Sembilan. MStar Rencana Online. https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2012/05/15/tumbuk-kalang-permainan-rakyat-negeri-sembilan


Lokasi