TARIAN DABUS
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tarian Dabus merupakan salah satu tarian tradisional yang terkenal di negeri Perak dan menjadi sebahagian daripada warisan seni budaya Melayu yang kaya dengan simbolisme. Nama "Dabus" berasal daripada bahasa Bugis, yang bermaksud "besi tajam." Alat ini merujuk kepada sejenis senjata kecil berukuran sekitar 30 sentimeter yang diperbuat daripada besi. Dalam persembahan, penari menggunakan besi tajam ini sebagai alat utama dengan memegangnya sambil menari lalu menikam lengan tangan masing-masing yang melambangkan keberanian dan kekuatan.


Tarian Dabus dipercayai berasal dari Asia Barat, dengan sejarahnya berakar daripada tradisi kesenian masyarakat Islam pada era pemerintahan Khalifah Zainal Abidin. Berdasarkan sastera lisa yang diturunkan dari generasi ke generasi, tarian ini dikaitkan dengan peristiwa perselisihan antara puak yang membawa kepada perang saudara. Pada waktu itu, pengikut Saidina Ali mencipta kesenian Dabus sebagai satu bentuk permainan tradisional yang turut mengandungi elemen magis dan ritual. Cerita lisan menyatakan bahawa para penari tidak akan mengalami kecederaan meskipun ditikam dengan senjata tajam. Malah, mereka juga dikatakan mampu berjalan di atas bara api dan meniti pedang, menjadikan tarian ini simbolik kepada keberanian dan kekuatan.


Kesenian Dabus kemudiannya tersebar ke Nusantara melalui pedagang Arab yang berlayar melintasi kawasan Aceh, Banten, dan Ternate. Di Tanah Melayu, khususnya di negeri Perak, tarian ini mendapat tempat setelah menjadi salah satu laluan utama para pedagang Arab. Ia dipercayai berkembang lebih daripada 200 tahun dan perkembangannya tertumpu di kawasan seperti Tanjung Bidara, Pulau Tiga, dan daerah Perak Tengah, di mana ia akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada budaya tempatan. Pengaruh ini menjadikan tarian Dabus bukan sahaja satu seni persembahan tetapi juga warisan budaya yang signifikan dalam masyarakat setempat.


Namun begitu, pelbagai teori dan pendapat tentang asal usul kemunculan tarian Dabus ini di negeri Perak, antaranya;


Dibawa ke Perak oleh Nakhoda Lembang dan Nakhoda Tepah iaitu pedagang batu bara dari Sumatera yang awalnya tiba di Telaga Emas dan Sitiawan sebelum mudik ke Kampung Pasir Panjang Laut sehingga ke Bagan Datuk untuk berdagang.


Dibawa ke Perak sekitar tahun 1700 oleh pedagang Baghdad iaitu Ahmad Mahyuddin yang berguru permainan Dabus daripada Muhammad Abil Hassan al-Rifai.


Dibawa balik oleh Bendahara Perak iaitu Megat Terawis dimana ketika itu beliau diperintahkan oleh Sultan Perak ke Aceh untuk membawa pulang Puteri Limau Purut yang menjadi tawanan Sultan Aceh.

Meneliti sejarah asal usul yang panjang tarian ini, kini ia menjadi sebahagian daripada ideniti budaya warisan lama bagi negeri Perak yang kekal diamalkan dan dipersembahkan untuk tatapan setiap generasi.


Fungsi dan Peranan

Tarian Dabus bukan sekadar sebuah seni persembahan untuk hiburan semata-mata, tetapi turut mempunyai fungsi dan peranan yang mendalam dalam budaya tradisional. Pada asalnya, tarian ini berperanan sebagai satu bentuk kesenian bela diri yang dikaitkan dengan ilmu kebal, melambangkan keberanian, kekuatan fizikal, dan ketahanan spiritual para penarinya. Gerakan dan aksi yang dipersembahkan, termasuk penggunaan besi tajam, menjadi simbol keperkasaan serta keupayaan melindungi diri daripada ancaman.


Namun, seiring dengan perubahan zaman, fungsi Tarian Dabus telah mengalami transformasi. Pada masa kini, ia lebih sering ditarikan sebagai hiburan untuk tatapan umum, memukau penonton dengan keindahan gerakannya yang penuh simbolisme dan seni. Tarian ini juga menjadi medium untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya Melayu di negeri Perak, menjadikannya relevan dalam konteks masyarakat moden sambil mengekalkan nilai-nilai tradisional yang diwarisinya.


Busana/ Aksesori

Sebagai sebuah persembahan yang digelarkan tarian pahlawan, busana yang dikenakan adalah mempamerkan ciri pakaian melayu silam. Seperti pahlawan turun gelanggang, busana penari awal dahulu kebiasaanya berwarna hitam dan ia antara lain bertujuan untuk membangkitkan elemen perkasa berikutan ia warna pakaian hulubalang Melayu zaman dahulu. Namun begitu, warna ini bukanlah menjadi kemestian dan tiada syarat wajib terkait warna dan jenis busana.


Penari lelaki dalam Tarian Dabus biasanya mengenakan pakaian lengkap yang mencerminkan identiti seorang pahlawan. Busana mereka terdiri daripada baju Melayu, seluar panjang, samping, dan tanjak, melambangkan keperkasaan dan keteguhan jiwa seorang hulubalang. Sementara itu, penari wanita pula tampil seperti srikandi, mengambil inspirasi daripada elemen pakaian tradisional Puteri Perak yang dikenali sebagai pakaian Puteri Limau Purut. Busana ini merangkumi baju kurung cekak musang, seluar Aceh, dan samping dagang luar yang diperkemaskan dengan tali pinggang. Pada masa kini, kebanyakan penari wanita turut melengkapkan penampilan mereka dengan tudung hitam yang menutup dada, menyerlahkan kesopanan dalam gaya berpakaian.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Tarian Dabus diiringi oleh tiga jenis alat muzik utama, iaitu gendang (dikenali juga sebagai rebana besar), gong, dan Anak Dabus. Saiz gendang biasanya berukuran sekitar 40 sentimeter lebar. Bagi memastikan bunyi yang harmoni, satu ensembel tarian Dabus memerlukan sekurang-kurangnya enam gendang.


Setiap gendang mempunyai fungsi tersendiri dalam menghasilkan irama yang berbeza. Ada yang bertindak sebagai peningkah, iaitu gendang yang memberikan isyarat atau penanda dalam persembahan dan ada yang bertindak sebagai penalu, iaitu gendang yang beperanan sebagai penentu irama. Pemain gendang perlu memastikan pukulan mereka selaras dengan peranan dan rentak yang telah ditetapkan. Gong pula digunakan untuk menandakan tempo pergerakan tarian, berfungsi sebagai panduan utama dalam persembahan. Sementara itu, Anak Dabus, yang terdiri daripada gegelung kecil berbentuk cincin, menghasilkan bunyi gemerencing yang melengkapkan melodi keseluruhan.


Selain itu, tarian Dabus diiringi oleh nyanyian lagu nasyid yang menyampaikan nilai-nilai keagamaan dan spiritual. Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga menguatkan mesej moral dan kerohanian yang menjadi inti kepada tarian ini. 


Lagu Dabus

Baju putih, serban putih,

Mari dibawa pergi sembahyang,

Baju putih, serban putih,

Mari dibawa pergi sembahyang,

Allah kasih,

Muhammad kasih,

Rasulullah terlalu sayang,

Allah kasih,

Muhammad kasih,

Rasulullah terlalu sayang.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tarian Dabus awalnya hanya dipersembahkan oleh penari lelaki sebelum pada awal tahun 1960-an ia mulai disertai oleh penari wanita. Pada kebiasaanya,   persembahan Dabus melibatkan sekurang-kurangnya tiga orang penari dan boleh mencapai sehingga 20 orang, bergantung kepada keadaan, keperluan, dan permintaan. 


Tarian ini ditarikan secara berpasangan, namun konsep berpasangan dalam konteks Tarian Dabus tidak semestinya merujuk kepada pasangan lelaki dan wanita. Sebaliknya, ia merujuk kepada dua penari yang bergandingan dalam kumpulan sesama jantina. Hal ini bertujuan untuk menjaga adab dan kesopanan dalam gerak tari, sejajar dengan nilai tradisi dan budaya yang menjadi asas kepada seni warisan ini.


Keunikan tarian ini terletak kepada upacara khusus dalam persembahannya iaitu proses bacaan mantera dan jampi serapah oleh Khalifah iaitu individu yang menjadi ketua dalam persembahan. Bagi melengkapkan upacara, satu dulang ’peralatan khalifah’ perlu disediakan dan ditempatkan bersebelahan khalifah sepanjang berlangsung persembahan. Peralatan tersebut terdiri daripada kemenyan, bertih, beras, air tepung tawar dan anak dabus.


Ragam tarian Dabus pula adalah berbeza-beza mengikut kampung. Sebagai contoh, ragam tradisi dari Bagan Datuk mempunyai tiga ragam asas iaitu ’Hayun Tanjak’, ’Helang Sewah’ dan ’Susun Sireh’. Manakala ragam tradisi Kampung Tanjung Bidara pula mempunyai tujuh susunan bunga tari. Antaranya adalah;

No.
Nama Ragam
Deskripsi


Sembah Adat
Dilakukan pada awal persembahan sebagai simbolik tanda hormat kepada penonton. Jika membabitkan kerabat khususnya Sultan, kedua-dua tangan perlu diangkat rapat pada dahi. Manakala bagi orang kebanyakan, sembah adatnya memadai dengan tangan kanan dirapatkan dipinggang hadapan dan tangan kiri kebelakang.


Jalan Itik
Penari akan duduk sambil berjalan seperti itik dengan bukaan tangan ke bawah yang memegang anak Dabus pada kedua-dua tangan. Langkah kaki adalah kecil dalam pelbagai formasi seperti memanjang, mendatar mahupun bulatan.


Tari Leret
Menetapkan penari dengan perbuatan melangkah kehadapan dan belakang, kiri serta kanan dengan tangan diangkat tinggi sambil memegang dan menghayun anak Dabus mengikut rentak pukulan gendang. Simbolik tangan dibuka dan diangkat tinggi adalah menyerupai aksi burung helang ketika terbang untuk menyambar mangsa.


Ayun Tanjak
Ragam ini memberikan simbolik pergerakan petani ketika menghayun tajak di sawah bendang. Kaki diangkat berselang seli kiri dan kanan. Manakala tangan pula dihayun menyerupai perbuatan menghayun tajak. Lazimnya gerakan ini dilakukan secara berpasangan di mana kedua-duanya akan berhenti dalam keadaan menghadap antara satu sama lain.


Hentak Tengah Tiga
Penari melakukan lompatan kecil sambil mengangkat sebelah kakinya ke atas secara berselang-seli ke kiri dan kanan.


Tikaman
Ragam ini adalah kemuncak kepada persembahan tarian Dabus di mana, penari akan menikam lengan dan perut menggunakan anak Dabus. Tikaman dilakukan secara begantian antara lengan tangan krii dan kanan. Begitu juga pada tikaman di bahagian perut.


Sembah Pahlawan
Dilakukan setelah usai persembahan dengan tubuh badan membuat tunduk hormat  sambil tangan kanan dirapatkan dipinggang hadapan dan tangan kiri kebelakang.

Walau bagaimanapun, dalam setiap persembahan Tarian Dabus, terdapat ritual penting yang dilakukan sebelum dan selepas aksi tikaman. Sebelum aksi dimulakan, para penari diwajibkan untuk menghadap khalifah, iaitu pemimpin upacara bagi menjalani proses penyapuan air tepung tawar pada tangan atau bahagian tubuh yang akan ditikam. Ritual ini bertujuan untuk membangkitkan semangat para penari dan sebagai langkah simbolik untuk menghilangkan sebarang bisa akibat tikaman. 

Selepas aksi tikaman, air tepung tawar yang sama digunakan untuk merawat dan memulihkan luka pada tubuh penari. Proses ini dipercayai mempunyai elemen spiritual yang bukan sahaja membantu penyembuhan fizikal tetapi juga memberi perlindungan kepada penari sepanjang persembahan berlangsung. 

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Ahmad Johari. (22 April 2015). Tusukan besi Dabus rasa jarum, bertukar teruja - Penari. Kosmo Digital. Diambil Daripada https://www.kosmo.com.my/2023/09/25/perak-angkat-semula-tarian-dabus/


Chan, A. H., Saearani, M. F. T., & Alfarisi, S. (2024). The Acculturation of Malay-Islamic Elements in the Dabus Dance Ritual in the Malay Community of Perak, Malaysia. Harmonia: Journal of Arts Research and Education, 24(1), 134-148.


Mastika. (3 Ogos 2022). DABUS: Tarian Pahlawan Perak Yang Memerangi Penjajah. Utusan Tv. Diambil Daripada https://utusantv.com/2022/08/03/dabus-tarian-pahlawan-perak-yang-memerangi-penjajah/


Zinitulniza Abdul Kadir. (2018). Tarian Dabus, Rebana & Busana Puteri Perak: Warisan Penanda Kepahlawanan Anak Negeri. Selangor : Attin Press Sdn. Bhd.


Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Mat Rosnan bin Hashim. Pertubuhan Kesenian Tradisional Dabus Tanjung Bidara, Perak.


Lokasi