CHAR KUETIAU
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Char Kuetiau (ejaan lain: kway teow), chao guotiao (dialek Mandarin) atau chau gwai diu (dialek Kantonis) bermaksud kuetiau goreng. Mi kuetiau diperbuat daripada sejenis mi yang dipanggil kuetiau, berwarna putih, lembut dan berkeping-keping, berbentuk leper dan kira-kira satu sentimeter lebar, digoreng di atas api panas dengan kicap dan sos, cili, udang, kerang, telur, tauge juga sayur kucai cina. Kadangkala, hirisan sosej cina, kek ikan atau bahan-bahan lain turut ditambah mengikut cita rasa setempat. Terdapat pelbagai versi sajian ini. Antaranya, mencampurkan telur itik untuk memperkayakan rasanya atau isi ketam untuk menambahkan rasa manis dalam hidangan ini.  


Berdasarkan kisah orang dahulu kala, semasa masakan ini dicipta, sasaran utamanya ialah para buruh. Kandungan lemak yang tinggi dan harganya yang murah menjadikan masakan ini popular dalam kalangan buruh bagi mengekalkan tenaga dan nutrien, untuk membanting tulang mengerjakan tugas-tugas kasar setiap hari. Pada masa itu, masakan ini selalunya dijual oleh nelayan, petani dan pemungut kerang pada waktu petang untuk menambah pendapatan mereka. Masakan ini juga dipercayai mula popular di Malaysia selepas imigrasi etnik Cina pada awal abad ke-19 dan abad ke-20.

Fungsi dan Peranan

Sumber makanan yang tinggi lemak, membekalkan tenaga berpanjangan kepada golongan buruh kasar pada zaman dahulu.

Pada masa kini, hidangan char kuetiau sepertinya menjadi simbol penyatuan etnik, terutamanya di Pulau Pinang. Hal ini kerana semua kaum di Malaysia gemarkan hidangan ini. Cuma, sekiranya sesiapa ingin menikmati char kuetiau, rata-rata rakyat Malaysia akan menyebut, jom ke Pulau Pinang, tempat aslinya!


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Kuetiau (cuci toskan), cili kering (dikisar), bawang besar (dikisar), cili sos, kicap manis, kicap pekat, sos tiram, bawang putih (diketuk), taugeh, daun kucai, telur, udang (direbus dan asingkn air), kerang (direbus)

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang putih, masukkan udang, 3 sudu besar cili yang dikisar, satu sudu besar sos cili, satu sudu besar sos tiram, satu sudu besar kicap pekat, lima sudu kicap manis dan sedikit garam.

Setelah pecah minyak, masukkan air rebusan udang dan pecahkan telur. Gaul sehingga sebati.

Langkah terakhir, masukkan kerang, kuetiau, tauge dan daun kucai. Gaul sebati dan sedia dihidangkan!


Tokoh dan Pencapaian

Seperti pasembor dan cendol, ramai peniaga berniaga char kuetiau secara turun-temurun di Pulau Pinang. Salah satunya, Puan Angie Ng, pemilik Kedai Kopi Bee Hwa yang mewarisi perniagaan bapanya sejak awal tahun 80-an.

Sumber Rujukan

 . Bahan Bacaan

https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2023/09/24/7227/

https://www.youtube.com/watch?v=b6f_-qUBYvY

https://www.youtube.com/watch?v=b6f_-qUBYvY 


Lokasi