Masyarakat India meyakini konsep kelahiran semula, di mana kematian diibaratkan seperti tidur, dan roh akan "bangun" selepasnya. Sarjana India juga menjelaskan bahawa kematian adalah pemisahan antara roh dan jasad. Jasad akan musnah, sementara roh kembali ke alam barzakh. Mayat dalam kalangan masyarakat India biasanya dibakar atau dikebumikan.
Berikut adalah fungsi dan peranan konsep kematian dalam masyarakat India secara ringkas:
Keyakinan terhadap Kelahiran Semula
Memberi makna kepada kematian sebagai peralihan, bukan pengakhiran.
Pemisahan Roh dan Jasad
Kematian dianggap sebagai proses di mana roh meninggalkan jasad yang musnah, sementara roh kembali ke alam lain.
Menjaga Kesucian Roh
Upacara pembakaran atau pengebumian dilakukan untuk membantu roh mencapai ketenangan dan kelahiran semula.
Pemenuhan Tanggungjawab Agama
Melaksanakan ritual kematian sesuai dengan ajaran agama untuk memastikan roh menjalani perjalanannya dengan tenang.
Memperkuat Ikatan Keluarga dan Komuniti
Ritual kematian melibatkan ahli keluarga dan masyarakat, memperkukuh hubungan dan sokongan sosial.
Adat memandikan mayat
Dimulakan dengan meletakkan mayat di ruang tamu, dengan kepala dihadapkan ke arah selatan, dan lampu minyak dinyalakan. Kelapa yang dibelah dua serta sirih pinang diletakkan berdekatan mayat, sementara kemenyan dan kapur barus dibakar sebagai lambang ketenangan jiwa si mati. Upacara ini dilakukan oleh lelaki dalam keluarga, yang membawa air dalam jumlah ganjil dari sumber semula jadi seperti sungai atau perigi, selain air paip. Wanita menerima air tersebut untuk memandikan mayat, yang biasanya dilakukan oleh orang tua. Kepala mayat disapu dengan minyak dan araippu sebagai mandian terakhir. Setelah dimandikan, mayat dipakaikan dengan pakaian baru, seperti sari untuk wanita dan dhoti untuk lelaki.
Upacara menanggalkan thaali
Dilakukan ketika seorang isteri duduk di sebelah mayat suaminya dan dijirus dengan sebuyung air semasa mayat dimandikan. Kemudian, bunga dikalungkan pada leher balu dan dipindahkan ke mayat. Seorang wanita tua dari keluarga memegang tangan si mati sambil mengalungkan bunga pada leher balu sebanyak tiga kali. Akhirnya, balu meletakkan kalungan bunga ke dalam dulang berisi minyak, bunga, dan susu, seolah-olah suami yang membuang thaali dari lehernya.
Membersihkan Rumah
Rumah perlu dibersihkan sebaik sahaja mayat dibawa ke tempat pembakaran. Lampu minyak dinyalakan di bekas tempat pembaringan mayat. Ahli keluarga dikehendaki mandi untuk membersihkan diri. Makanan daripada sayur-sayuran dan ikan dihidangkan. Sebaldi air diletakkan di hadapan rumah sementara lampu minyak sentiasa dinyalakan. Ahli keluarga perlu menyentuh garam dan debu suci kemudian menyapunya pada dahi sebelum memasuki rumah. Mereka juga perlu membasuh kaki menggunakan air di dalam baldi yang terletak di hadapan rumah. Pembawa periuk tanah liat dikehendaki mandi di kolam atau sungai sebagai tanda tamatnya upacara kollic catti.
Mengumpul Abu Mayat
Abu mayat dikumpulkan keesokan harinya. Susu terlebih dahulu disiram pada abu mayat untuk menyejukkan bara api. Abu di bahagian kepala dan daripada bahagian badan yang lain dimasukkan ke dalam periuk yang berasingan. Abu mayat sama ada ditanam atau dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut. Upacara sembahyang dilakukan oleh ahli keluarga si mati.
Berkabung
Tempoh berkabung selama lapan atau 16 hari selepas kematian. Selepas tempoh berkabung lapan hari saudara dan sahabat handai berkumpul di rumah si mati dengan membawa juadah tradisional seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau dinding kemudian dikalungkan dengan karangan bunga. Di sisi gambar tersebut dinyalakan lampu minyak bersama taburan pelbagai jenis bunga. Upacara sembahnyang dimulakan dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. Lagu-lagu suci turut dimainkan. Para tetamu kemudian dihidangkan makanan.Berkabung pada hari ke 16 dipanggil karumaati iaitu hari bersembahyang. Khemah yang lengkap didirikan, sementara potret si mati dihias cantik. Pedanda atau Tok Sami dijemput untuk mengendali upacara sembahnyang. Batu-bata diikat dengan benang dan dibalut kain merah untuk dimasukkan ke dalam periuk, kemudian dibasahkan dengan air, susu, air kelapa muda dan air mawar.
Upacara kal niruttutal
Upacara ini dilakukan sebanyak tiga kali bermula pada jam 11 malam. Kali kedua pada jam 12 tengah malam dan terakhir pada awal pagi keesokannya. Lagu-lagu suci dimainkan sepanjang upacara ini. Pedanda membentuk replika keranda daripada rumput. Dengan iringan mantera dan doa rumput tersebut dibakar bertujuan agar roh si mati sentiasa tenang. Selesai upacara ini pendanda dibayar upah dalam bentuk wang, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Bahan Bacaan:
AnyFlip (2021). Kepelbagaian Adat Resam Dan Budaya Masyarakat Malaysia. https://anyflip.com/nqyhr/zzmg/bas
Hema. (2017). Adat Resam Dan Budaya Masyarakat Malaysia. https://adatresammasyarakatmalaysia.wordpress.com/2017/02/21/first-blog-post/
Zuraiha Binti Mohd Zain Noraini Binti Sulaiman Siti Aishah Binti Othman. (2021). Adat Resam Masyarakat Malaysia. Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah.
https://upk.ptsb.edu.my/penerbitan/Adat_Resam_Masyarakat_Malaysia.pdf
Tokoh (jika ada temu bual tokoh) - Tiada -