CENDOL
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Cendol ialah hidangan pencuci mulut yang terkenal di negeri Pulau Pinang. Pada zaman dahulu, cendol dibawa oleh peniaga berbasikal roda tiga mengelilingi kawasan perumahan dan padang permainan. Ada juga yang berniaga di atas motosikal di kawasan-kawasan tertentu, kerana sudah memiliki pelanggan yang tetap. Cendol merupakan makanan warisan yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu, peranakan atau mamak, malah para penjajah meletakkan cendol dalam rekod dan catatan mereka, sebagai hidangan unik di Tanah Melayu, khususnya Pulau Pinang. Buktinya, Kata cendol (ejaan Za'aba pra-1972: chendol, van Ophuijsen: tjendol) dapat ditelusuri pada banyak kamus dan buku abad ke-19 di Hindia Belanda. Salah satu catatan tertua tentang kata tjendol diketahui dalam Oost-Indisch kookboek (1866, "Buku Resepi Hindia Timur"). Cendol juga mempunyai ejaan-ejaan lain iaitu chendul, atau orang Pulau Pinang menyebutnya sebagai ‘cendoi’.


Ramuan asas untuk membuat cendol adalah tepung beras, pewarna hijau, santan, kapur sirih, gula melaka dan air batu. Ramuan-ramuan ini sudah cukup untuk membuat cendol perisa asli. Pun begitu, peminat-peminat cendol ada kalanya meletakkan ramuan-ramuan lain dalam hidangan cendol, seperti pulut, durian, jagung, kacang merah, jeli hitam, buah-buahan, bahkan ada yang meletakkan susu pekat manis. Ada juga yang meletakkan lengkong atau cincau sebagai bahan tambahan dalam hidangan cendol.

Antara peniaga yang berjaya mengekalkan perniagaan cendol sejak sekian lama ialah keluarga Mr. Tan Teik Fuang yang berniaga cendol di Penang Road sejak tahun 1936. Kini, perniagaan cendol mereka berada di pasaraya besar, dengan nama Penang Chendul. Pada tahun 1984, jenama ini dikenali sebagai Penang Road Famous TeoChew Chendul. Selain daripada itu, antara cendol terkenal di Pulau Pinang ialah Cendol Maklom, Cendol Balik Pulau, Haji Chendul & Coconut Shake.


Fungsi dan Peranan

Makanan pencuci mulut.

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Tepung beras

Pewarna hijau atau air daun pandan

Santan

Kapur sirih

Gula melaka 

Air batu 

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Sediakan air kapur atau mendapan air kapur.

Bagi menyediakan jeli hijau cendol, tepung beras pulut dicampur dengan air jernih daripada mendapan kapur sirih. 

Masak air sehingga menggelegak, kemudian masukkan tepung beras pulut dan kacau hingga pekat. 

Adunan tadi dimasukkan ke dalam acuan yang bahagian bawahnya terdapat beberapa lubang bersaiz kecil, kemudian ditekan supaya keluar melalui lubang-lubang tersebut dan jatuh ke dalam bekas air sejuk di bawah bekas acuan berkenaan. 

Air dalam bekas ini perlu sentiasa sejuk bagi mengekalkan bentuk jeli.

Secara tradisional jeli biasanya diwarnakan dengan air daun pandan bagi menghasilkan warna hijau. Warna lain juga boleh digunakan mengikut kesukaan masing-masing. Kini, ramai menggunakan pewarna hijau bagi memudahkan proses.

Larutkan gula melaka ke dalam air panas untuk menghasilkan air gula melaka.

Campurkan air batu, santan, cendol dan air gula melaka. Sedia untuk dihidang.

Cendol biasanya dihidangkan bersama campuran air batu, air gula melaka dan santan, tetapi kini ditambah pelbagai isian mengikut selera masing-masing.


Tokoh dan Pencapaian

Mr. Tan Teik Fuang berjaya menjadikan cendol warisan sebagai perniagaan mega di pasaraya-pasaraya besar.

Sumber Rujukan

i. Bahan Bacaan

https://www.facebook.com/seleramamu/posts/sejarah-makanancendolcendol-ialah-hidangan-pencuci-mulut-terkenal-di-pulau-pinan/131484928587368/

https://mollyta.com/2019/01/07/penang-road-famous-teochew-chendul-menu-pencuci-mulut-legendaris/

https://chendul.my/our-story/


Lokasi