ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT CINA PERANAKAN DI PULAU PINANG
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Kaum Peranakan yang turut dikenali sebagai Cina Peranakan atau Baba Nyonya ini mula membina keturunan etniknya sejak zaman Melayu Melaka lagi, apabila para pedagang Cina (lelaki) berkahwin dengan (wanita) Melayu tempatan atau mengahwini gadis berketurunan Jawa. Kemudian, keturunan ini mula berkembang-biak di Negeri-Negeri Selat usai kedatangan British, menyebabkan sehingga kini, populasi Cina Peranakan ramai di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.  

Golongan lelaki yang merupakan induk perkahwinan campur sehingga terbina Kaum Peranakan   ini kebanyakannya berasal daripada kaum Han yang merantau ke Selat Melaka kerana berdagang dan akhirnya berasimilasi dengan budaya Melayu menerusi perkahwinan yang dibina bersama wanita tempatan. Kerana itulah daripada segi pakaian adat, wanita berketurunan Cina Peranakan atau Baba Nyonya ini memakai Kebaya Nyonya, iaitu kebaya pendek (budaya Melayu) yang dipadankan dengan kain batik bermotif haiwan dan tumbuh-tumbuhan (campuran Melayu dan Cina). Golongan lelaki pula masih mengekalkan pakaian tradisi Cina. Daripada sudut makanan pula, kuih-kuih tradisi masyarakat Cina Peranakan amat unik. Kuih yang disebut ‘kueh’, antaranya kuih bakul, kuih rotan, kuih chang dan pelbagai lagi diisi dalam ‘siah’ (mangkuk tingkat), amat dekat dengan tradisi Cina, manakala bagi makanan berat pula, masakan mereka lebih dekat dengan masyarakat Melayu, seperti asam pedas, laksa, kari nyonya dan pelbagai lagi persamaan yang lain.


Negeri Melaka masih mengekalkan nama asal, Peranakan, sementelah di Pulau Pinang, Cina Peranakan lebih terkenal sebagai Baba Nyonya. Istilah Baba Nyonya ini mula digunakan apabila induk (ibu bapa) Cina Peranakan ini memiliki anak yang digelar baba kepada anak lelaki dan nyonya kepada anak perempuan. Daripada panggilan inilah maka terlahir gelaran Baba Nyonya bagi kaum Cina Peranakan di Pulau Pinang. Meskipun adat resam Melayu kuat dalam kalangan Cina Peranakan, namun daripada segi agama, majoritinya tidak beragama Islam. Golongan ini menyambut perayaan Tahun Baru Cina, Pesta Tanglung, dan amat menyukai joget lambak, kerana pada zaman penjajahan di Tanah Melayu, golongan Cina Peranakan merupakan golongan terhormat yang selalu diundang meraikan temasya bersama British dan Portugis. Mereka turut dipanggil sebagai ‘King’s Chinese’ kerana keistimewaan yang dimiliki pada zaman kolonialisme. Disebabkan golongan Cina Peranakan ini terhormat jugalah, maka mereka mampu bertutur pelbagai bahasa sebagai bahasa utama, antaranya Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris dengan baik.
Majlis perkahwinan Cina Peranakan banyak mengetengahkan tradisi warisan kaum Cina yang berwarna-warni, dengan suntikan adat istiadat masyarakat Melayu. Antaranya termasuklah penggunaan tepak sirih yang melambangkan kesucian pengantin wanita, serta mas kahwin yang perlu diserahkan kepada ibu bapa pengantin wanita sebagai tanda penghargaan atas kesuciannya yang dijaga rapi. Turut menjadi adat ialah pertukaran cincin kedua-dua mempelai, pemberian hadiah atau hantaran serta adat menabur bunga rampai dan memperasapkan setanggi. 

Majlis mesti diserikan dengan lagu Dondang Sayang dan pantun-pantun indah dalam Bahasa Melayu. Kadangkala, majlis dimeriahkan dengan berlawan pantun dan sekatan tol oleh Mak Andam, sebelum pengantin lelaki boleh ke pelaminan untuk berganding bersama isterinya. Dalam temasya atau istiadat perkahwinan Cina Peranakan, orang ramai mesti turut diraikan. Tuan rumah akan mempersilakan hadirin untuk berjoget lambak atau menari tarian kipas, tarian sapu tangan, tarian mangkuk, tarian buah oren dan pelbagai lagi tarian menarik dan unik. 
Masyarakat Baba Nyonya atau Cina Peranakan tidak terlepas daripada ketertiban budaya yang mengelakkan lelaki dan wanita berhubungan sebelum berkahwin. Pengantin lelaki dan wanita tidak boleh bertemu selagi tidak melalui upacara ‘Chim Pang’. Upacara ini merupakan upacara pertemuan sebelum hari perkahwinan. Ibu bapa kedua-dua pengantin perlu menghidupkan lilin di meja, lalu pengantin akan duduk berhadapan, seperti dipertemukan buat kali pertama. 
Suatu perkara menarik tentang istiadat atau adat resam Cina Peranakan ini ialah, pada hari ke-12 (terakhir) temasya, hidangan wajib ialah nasi lemak. Seorang tukang masak akan dilantik sebagai ‘Bibi Nasi Lemak’ bagi memastikan nasi yang dimasak betul-betul lazat. Inilah temasya terakhir melibatkan orang ramai, sebelum upacara Che Umm berlangsung, iaitu upacara makan beradab pengantin bersama ibu dan bapa mentua, sebagai tanda terbinanya keluarga baharu.

Fungsi dan Peranan

- Banyak pantang larang antaranya Feng Shui, tilikan memilih tarikh perkahwinan dilakukan, dengan kepercayaan agar perkahwinan yang dibina kekal harmoni.

- Adat istiadat ini kelihatan renyah, tetapi ketertinggian dan ketertiban budaya jelas terpancar. Ia mesti dipelihara supaya kesantunan dan keunikan kaum atau etnik ini kekal terserlah.


Busana/ Aksesori

- Kasut manek atau kasut manik merupakan salah satu keunikan busana masyarakat Cina Peranakan. Bunga yang terletak pada gubahan kasut manek merupakan bunga teluki, bunga mawar atau motif haiwan seperti burung cenderawasih atau ikan mas.

- Busana yang dipakai adalah kebaya labuh dengan kerongsang, atau kebaya pendek, dengan batik motif flora dan fauna.

- Kerongsang tiga mata untuk diletakkan di lidah baju kebaya.

- Kain untuk sapu tangan dan untuk dijadikan selempang kebaya panjang.

- Kasut manek atau kasut manik ini menggunakan ‘Japanese beads’ kerana jenis manik ini dipercayai tahan lama.


Peralatan/ Bahan-Bahan

- Setanggi

- Lilin

- Tepung

- Kain


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

- Muzik dimainkan oleh kumpulan ronggeng, boria dan pancaragan serunai cina. Merekalah yang akan bermain muzik ketika Dondang Sayang dan joget lambak berlangsung.

- Temasya perkahwinan lazimnya berlangsung selama 12 hari. Golongan kurang berkemampuan pula hanya akan mengikuti temasya pada hari pertama dan hari ke-12.

- Kad undangan kepada ahli keluarga serta para undangan akan dipertanggungjawabkan kepada bapa saudara tertua, yang dikenali sebagai ‘Pak Chindek’. Ketika menjemput, Pak Chindek mesti memakai baju tradisi lelaki cina, dengan memberi ‘Kueh Ih’ sebagai tanda menghormati tetamu.

- Selepas undangan selesai, keluarga pengantin akan memasang tanglung dan kain merah di pintu rumah, sebagai tanda bahawa akan berlangsung temasya perkahwinan di rumah tersebut. Lazimnya, semua ini akan dilakukan enam hari sebelum majlis perkahwinan.

- Dua hari menjelang perkahwinan, keluarga terdekat akan hadir untuk upacara ‘Sang Jit’ atau tumbuk tepung. Ini merupakan persediaan untuk membuat kuih-kuih tradisi, antaranya onde-onde, kuih tat, kuih genggang dan pelbagai lagi kuih tradisi.

- Pertukaran cincin kedua-dua mempelai, hadiah atau hantaran, penggunaan bunga rampai dan setanggi. Majlis juga diserikan dengan lagu Dondang Sayang dalam Bahasa Melayu dan ditarikan oleh para hadirin ketika jamuan.

- Upacara perkahwinan bagi golongan berada Cina Peranakan ini berturut-turut, manakala

golongan biasa pula meraikannya pada hari pertama dan hari ke-12 sahaja.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan: htps://www.bharian.com.my/bhplus-old/2017/03/259225/baba-nyonya-pulau- pinang-masih-wujud


https://www.facebook.com/photo/?fbid=931288389018844&set=pcb.931288455685504


Lokasi