Masyarakat Rawa, atau disebut juga sebagai “Rao”, merupakan salah satu komuniti tradisional yang signifikan di negeri Perak, Malaysia. Masyarakat ini dipercayai berasal dari Sumatera Barat, Indonesia, dengan sejarah penghijrahan ke Perak yang bermula sekitar tahun 1850 hingga 1876. Proses migrasi ini melalui Sungai Perak di Bagan Datoh sebelum penduduknya tersebar ke kawasan lain termasuk di sepanjang Sungai Kampar. Antara tokoh utama yang memainkan peranan penting dalam penghijrahan ini termasuk Pawang Ana, seorang tokoh cerita penglipur lara terkenal, Tok Tua Sakti, pembuka kawasan Tapah, dan Abdul Karim bin Raja Aman Shah, pembuka kawasan Selama.
Masyarakat Rawa di Kampar terkenal dengan kekayaan adat budaya unik mereka yang kekal diamalkan sehingga hari ini. Salah satu adat tradisional yang masih diamalkan adalah Adat Berjojak, iaitu ritual melatih bayi berjalan di atas tanah. Istilah “Berjojak” berasal daripada kata “Berjejak,” dengan sebutan dialek Rawa menggantikan bunyi “e” kepada “o,” mencerminkan keunikan linguistik komuniti ini. Adat ini bukan sahaja menggambarkan identiti budaya masyarakat Rawa tetapi juga berfungsi sebagai simbol warisan yang terus dipelihara oleh generasi kini, menjadikannya tradisi yang bermakna dalam falsafah kehidupan dan sistem sosial mereka.
Adat Berjojak memainkan peranan penting sebagai cara menamatkan amalan “Pantang Tanah” bagi bayi yang baru lahir. Pantang larang ini ini menetapkan bahawa bayi dilarang sama sekali menyentuh atau memijak tanah dari awal kelahirannya sehingga mencapai usia 13 bulan. Sekiranya pantang larang dilanggar, dikhuatiri boleh membawa kemudaratan kepada bayi tersebut.
Falsafah di sebalik amalan pantang tanah ini berkait rapat dengan aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan. Dari sudut pandang umum, bayi yang dibiarkan bermain tanah berisiko terdedah kepada bakteria dan kuman yang berpotensi menyebabkan pelbagai penyakit. Oleh itu, tempoh pantang dilakukan selama 13 bulan sehingga adat Berjojak dilaksanakan. Selpas itu, bayi tersebut dibenarkan memijak tanah sepanjang hayatnya tanpa sebarang kebimbangan terhadap kemudaratan kesihatan.
-
Pelaksanaan adat Berjojak memerlukan penyediaan perkakasan dan bahan tertentu. Ia menjadi syarat wajib untuk memastikan kesahihan dan kesempurnaan adat ini. Keluarga bayi perlu memastikan setiap keperluan adat dipenuhi tanpa sebarang kekurangan, kerana kekurangan bahan atau perkakasan akan menyebabkan adat tersebut dianggap tidak sah atau tidak sempurna. Berikut adalah keperluan perkakasan dan bahan yang perlu disediakan:
Perkakasan Berjojak:
Sebuah gong kecil
Kain Lelangit
Tikar atau permaidani
Talam kecil dengan alas berwarna kuning
Payung hitam berenda atau berjuraian kuning
Pakaian kanak-kanak serba kuning
Mangkuk kecil berisi air
Bahan-Bahan Berjojak:
Tujuh jenis bunga dan daun (gelenggang, senduduk, semalu, cempaka, tanjung, serta dua jenis pilihan lain)
Beras
Beras kunyit segelas kecil (beras yang telah dilumur dengan serbuk kunyit)
Beras rendang segelas kecil
Bertih segelas kecil
Kasai (bedak sejuk yang dibancuh menjadi tiga ketulan berwarna hitam, kuning, dan putih)
Tanah hitam, kuning (tanah liat), dan putih
Limau nipis
Kunyit hidup
Seketul emas padu (jika tiada, boleh digantikan dengan cincin belah rotan)
Sebilah keris bersarung (khusus bagi kanak-kanak lelaki)
Daun sedingin dan rumput sambau untuk dibuat perembas atau perenjis.
Setiap perkakasan dan bahan ini memiliki simbolisme tersendiri yang mencerminkan falsafah adat Berjojak. Penyediaannya yang lengkap melambangkan penghormatan kepada tradisi dan menjamin keberkesanan adat ini.
Pelaksanaan adat Berjojak perlu dilakukan dengan penuh teliti mengikut syarat, peraturan, dan langkah-langkah yang telah diwarisi turun-temurun. Upacara ini lazimnya dilangsungkan pada waktu pagi, bermula dari waktu fajar sehingga matahari terbit, biasanya antara jam 9 hingga 10 pagi. Hari pelaksanaannya disarankan jatuh pada hari Khamis atau Jumaat, dan tarikh yang dipilih berada di antara 1 hingga 15 haribulan Islam agar memastikan keberkatan dan kesesuaian waktu mengikut kepercayaan masyarakat Rawa. Proses pelaknaan adat ini terbahagi kepada tiga (3) tahap iaitu;
Tahap Pertama
Upacara dimulakan dengan memakaikan kanak-kanak dnegan pakaian serba kuning kerana ia adalah simbolik kepada kesucian dan pemberkatan. Tukang jojak selaku individu yang bertanggungjawab memimpin upacara ini, digalakkan berwuduk sebelum memulakan upacara. Acara dijalankan di bawah kain pemidang kuning atau lelangit, yang kini sering digantikan dengan kanopi berhias renda kuning. Di bawahnya akan ada hamparan tikar atau permaidani yang ditaburkan dengan tujuh jenis bunga dan dedaunan, serta campuran beras biasa, beras rendang tanpa gula, beras kunyit, dan bertih.
Bahan Bacaan
Ismail, Z. (2015). Adat berjojak dan pantang tanah masyarakat Rao di Malaysia.
Shurbaini, A. I. B. (2016). Conflict Resolution Between Heterogeneous Local Communities Involved In Rural Tourism In Gopeng, Perak (Doctoral Dissertation, Universiti Teknologi Malaysia).
Zabidin Hj. Ismail. (2015). Pantang Tanah & Adat Berjojak: Masyarakat Rao di Malaysia. Perpustakaan Negara Malaysia.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Tuan Hj. Junid bin Hj. Baki, Kampung Sungai Itek, 31600 Gopeng, Perak.
Tuan Hj. Dahalan bin Ismail, Kampung Batu Tiga, 35300 Temoh, Perak.