Chingay merupakan kebudayaan seni jalanan yang berasal dari China dan kini menjadi salah satu seni budaya istimewa di negeri Pulau Pinang. Chingay ialah satu bentuk perarakan yang memaparkan kemahiran membawa dan mengimbang bendera Chingay sebesar 40 kaki tinggi dan bendera tiga segi berwarna-warni sekurang-kurangnya berukuran 25 kaki x 15 kaki setiap satu, diikat pada tiang kayu sepanjang 40 kaki. Perarakan Chingay yang pertama di Pulau Pinang adalah pada tahun 1919, bersempena sambutan hari kelahiran Dewa-Dewa Penyayang, anjuran Pedagang Pasar, komuniti Tionghua dan komuniti-komuniti Cina yang lain. Pada waktu itu, mereka membawa bendera Chingay dan tokong Dewa Penyayang mengelilingi bandar George Town. Mereka berarak sambil memohon kepada Dewa-Dewa Penyanyang agar komuniti mereka terhindar daripada wabak yang berlaku ketika itu. Perarakan kedua berlangsung pada tahun 1926 sempena sambutan kelahiran Dewa Pemurah, manakala perarakan ketiga pada tahun 1957 sempena sambutan ulang tahun Majlis Bandaraya George Town.
Pada peringkat permulaan perarakan dan persembahan, tarian Chingay lebih kepada merayakan kepercayaan dan adat komuniti Cina di Pulau Pinang. Pada tahun 1966, Majlis Bandaraya George Town menganjurkan perayaan Pesta Pulau Pinang bagi mempromosikan pelancongan. Ketika itu, Perarakan Chingay direkreasi dan dimeriahkan dengan tarian-tarian singa dan naga. Pada waktu itu jugalah perarakan Chingay berubah menjadi promosi pelancongan kerana ia memainkan peranan penting dalam menarik pelancong, sekali gus mampu memberi identiti unik kepada negeri Pulau Pinang. Buktinya, pelancong-pelancong luar negara menanti hari-hari keraian untuk melawat Pulau Pinang, kerana mahu menyaksikan perarakan Chingay yang begitu menarik dan mengagumkan.
Menyongsong tahun, kini Chingay menjadi persembahan atau perarakan warisan yang telah wujud berabad lamanya di Malaysia. Chingay diraikan setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina. Ia bersempena merayakan tarikh lahir dewa-dewa Cina. Ia juga dikenali sebagai perarakan Dewi Kwan Yin (Goddess of Mercy) yang merupakan kemuncak kepada perayaan Chap Goh Meh. Persembahan Chingay ini kini dikaitkan dengan acara agama dan budaya tradisi. Lebih menarik, hari ini, Chingay diminati dan diraikan oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum sebagai simbol perpaduan. Kini, tarian Chingay mula berkembang di kebanyakan negeri lain, antaranya di Johor Darul Takzim, apabila tarian ini dipersembahkan di Johor, di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, serta dalam perarakan merdeka di hadapan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Persembahan Chingay ini kini sedang dalam proses permohonan pengiktirafan di peringkat UNESCO.
• Daripada segi kepercayaan, budaya ini merupakan suatu bentuk penghormatan pada dewa-dewa.
• Bersempena merayakan tarikh lahir dewa-dewa Cina.
• Melestarikan kebudayaan dan kepercayaan etnik Tionghua.
• Memaparkan kesenian dan kepakaran mengimbangi bendera dalam perarakan.
• Secara akrobatik, tarian naga dan tarian singa dipersembahkan dengan unik.
• Simbol kesepaduan masyarakat Cina dan kini, perpaduan masyarakat Malaysia.
• Pada tahun 2025, Chingay telah bertapak di Pulau Pinang selama 106 tahun.
• Perarakan Chingay juga telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Kebangsaan Malaysia pada tahun 2012.
• Lelaki memakai seluar merah dan baju putih
• Mengikat kepala dengan kain merah
• Kini, pakaian perarakan Chingay telah diberi suntikan kontemporari dan direka dengan pelbagai warna
• Bendera
• Tiang kayu sepanjang 40 kaki
• Kotak dan kain untuk membuat patung singa dan naga
• Pelaku yang akan melakukan aksi mengimbangi bendera gergasi bersaiz 25 hingga 32 kaki (7.6 hingga 9.8 meter) dengan ketinggian kira-kira 60 paun (27 kilogram)
• Uniknya persembahan perarakan Chingay ini ialah kehebatan kumpulan-kumpulan Chingay dalam mempersembahkan akrobatik seperti membawa tiang bendera menggunakan anggota badan iaitu kaki dan mulut. Perarakan Chingay turut memperlihatkan kenderaan berhias dan diserikan dengan pertunjukan bunga api serta seni mempertahankan diri, di samping alatan muzik ketika tarian singa dan naga.
-
i. Bahan Bacaan: https://www.heritage.gov.my/images/04_wtk/WTK_UNESCO/CAW%20SENI%20PERSEMBAHAN/CHINGAY%20-BM.pdf
https://www.malaymail.com/news/malaysia/2024/08/31/in-first-for-malaysia-chingay-procession-appears-at-2024-national-day-parade/148772#google_vignette
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1159665/pulau-pinang-calon-kebaya-nyonya-chingay-dalam-senarai-unesco#google_vignette
https://cm.penang.gov.my/index.php/en/all-stories/362848-pesta-chingay-tarian-singa-dan-naga-pulau-pinang-2023
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2368239