Bapukung atau Pukong merupakan salah satu adat tradisional menidurkan atau mendodoikan bayi dalam masyarakat Melayu Banjar yang sarat dengan nilai budaya dan keagamaan. Adat ini popular dalam kalangan masyarakat Melayu Banjar yang kebanyakannya menetap di daerah Bagan Serai, Perak dan kekal diamalkan sehingga ke hari ini. Dalam amalan ini, bayi ditidurkan dalam posisi duduk dengan badan diikat kemas menggunakan kain hingga ke paras tengkuk, manakala kedua-dua kakinya dibiarkan terlunjur keluar dari buaian. Semasa buaian diayun, sekumpulan pendendang yang terdiri daripada wanita akan akan mendendangkan Lagu Bapukung dalam dialek Banjar, diselang-seli dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
Menurut kepercayaan masyarakat Melayu Banjar di negeri Perak, tradisi Bapukung ini secara teknikal berfungsi untuk memberikan ketenteraman kepada bayi yang telah menjangkau usia tiga (3) atau empat (4) bulan. Mereka percaya bahawa di usia ini, bayi akan sering menangis secara terus menerus akibat tidak selesa disebabkan beberapa faktor seperti perut bayi yang mudah mengembung ataupun bayi mulai beradaptasi dengan persekitaran sehingga menganggu waktu tidur mengikut usianya.
Dari aspek falsafah budaya pula, adat ini berperanan sebagai ekspresif ibu bapa yang mendapat anak kecil dan mengharapkan anaknya menjadi seorang yang sholeh ataupun soleha di usia kelak. Fungsi ekspresif ini disampaikan melalui lagu-lagu Pukong yang disertai dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Lagu ini didendangkan secara beramai-ramai oleh ibu-ibu yang menjadi tetamu pada hari berlangsungnya adat ini.
-
Peralatan utama yang disediakan dalam adat ini adalah buaian yang lazimnya daripada kain Sarong ataun kain batik. Ia diikat menggunakan tali dari atas tiang bumbung rumah ataupun pada cangkuk yang digantung pada lantai siling. Buaian tersebut dihias dengan indah mengikut kreativiti masing-masing. Kemudian, turut disediakan kain Haduk atau Ijuk untuk menjadi pengikat pada leher bayi agar posisinya seperti sedang duduk. Selain itu, ia berfungsi untuk memastikan bayi duduk dengan selamat.
Lazimnya, adat Bapukung sering diadakan di waktu siang iaitu di antara pertengahan waktu pagi sebelum masuk waktu Zohor. Falsafah ini dianjurkan oleh masyarakat Melayu Banjar adalah berdasarkan waktu “Qailulah” yang bermaksud tidur sebentar pada pertengahan siang hari selama 10 hingga 30 minit sebelum masuknya waktu solat Zohor. Waktu ini adalah perbuatan Sunnah yang mengikut tindakan junjungan Nabi Muhammad SAW kerana dipercayai waktu tidur tersebut paling bermanfaat untuk tubuh badan seseorang.
Sehubungan dengan itu, tatacara pelaksanaan adat Bapukung dalam adat masyarakat Banjar adalah seperti yang berikut;
Keluarga atau ibu bapa bayi akan menyediakan buaian berhias di tengah rumah.
Kemudian, langkah pertama adalah memasukkan bayi ke dalam buaian bayi pada posisi berbaring.
Setelah bayi dalam posisi berbaring, belakangya akan diangkat dan kakinya dilunjurkan ke luar buaian.
Kain Haduk diambil lalu mengikat bayi dengan ikatan yang longgar, tetapi dipastikan dapat menyokong kedudukan tubuh bayi agar tidak jatuh.
Setelah selesai proses Bapukung, bayi akan diayun atau dibuai dengan lembut dan lagu Pukong akan didendangkan beramai-ramai sehingga bayi tertidur atau lagu tersebut tamat dinyanyikan.
Di akhir upacara, bacaan doa selamat dilakukan dan semua tetamu yang hadir disajikan dengan hidangan.
Jadual 1: Lirik Lagu Bapukung
Lirik Lagu
Maksud
Guring, guring
Antungku guring
Guring bapajam
Dalam ayunan
Anakku guring,
Guringngakan
dalam pukungan
Allahu Laillahaillaulah
Muhammadur Rasulullah
Ya Rahman
Ya Tuhanku
Nabi Muhammad
Ya Nabiku
Anakku sayang
Antungku nang maasik
Anak nang baiman
Lakasi guring sayang ngai
Tidur, tidur
Buah hatiku tidur
Tidur berpejam mata
Dalam buaian
Anakku tidur
Tidurlah
Dalam pukungan (ayunan)
Allahu Laillahaillaulah
Muhammadur Rasulullah
Ya Rahman
Ya Tuhanku
Nabi Muhammad
Ya Nabiku
Anakku sayang
Buah hatiku yang menurut kata
Anak yang beriman
Cepatlah tidur oh sayang
-
Bahan Bacaan
Adeliani, N. (2015). LAGU MENIDURKAN ANAK PADA MASYARAKAT BANJAR: Kajian Bentuk, Makna, dan Fungsi. AL-BANJARI Jurnal Ilmiah Ilmu-ilmu Keislaman, 13(2). https://doi.org/10.18592/al-banjari.v13i2.403
Ansyari, A. R. (2022). Tradisi bapukung banjar dari sisi kajian budaya dan Islam.
Fatimah, S., Safitri, N. A., Andani, S. M., & Assilviyani, A. R. (2024). PANDANGAN MASYARAKAT BANJAR TERHADAP TRADISI BAPUKUNG. Religion: Jurnal Agama, Sosial, dan Budaya, 3(2), 739-748.
Hussin, N., Mohd Yunus, N. H., Juharei, N. S., & Wan Mohd Saman, W. S. Sosiobudaya masyarakat Banjar di Malaysia. Jurnal Sejarah Lisan Malaysia (JSLIM), 1(1), 47-61.
Lismawati, L. (2022). Representasi Kearifan Lokal aan Filosofi Dalam Syair Lagu Banjar (Representation of Local Wisdom and Philosophy in the Banjar Song Lyric). Jurnal Bahasa, Sastra, dan Pembelajarannya, 12(2), 342-358.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Puan Hajah Asmah Ramli, Kampung Banjar, Ayer Tawar, 32400 Perak