KEBEBE
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Kebebe merupakan salah satu hidangan tradisional pencuci mulat yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu di Lenggong, Perak, yang berasal daripada keturunan Patani di selatan Thailand. Hidangan ini memiliki nilai budaya dan ritual yang signifikan, terutamanya apabila disajikan semasa acara gotong-royong atau sebagai sebahagian daripada persiapan majlis perkahwinan. Keunikan Kebebe terletak pada penggunaan ramuan asli seperti buah nenas, belimbing buluh, jantung pisang, dan putik nangka, yang diproses menggunakan lesung kayu tradisional. Alat tradisional ini bukan sahaja berperanan sebagai acuan, malah dipercayai dapat mengekalkan keaslian rasa hidangan tersebut.


Proses penyediaan Kebebe turut mencerminkan kepatuhan kepada amalan budaya dan kepercayaan tradisional masyarakat Melayu. Penyediaannya dimulakan dengan pembacaan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W., yang menonjolkan penghayatan nilai spiritual dan hubungan antara budaya dengan agama. Dalam konteks majlis tertentu, proses penyediaan Kebebe harus dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan sehingga selesai, bagi mengelakkan kejadian yang dianggap membawa petanda buruk, seperti kegagalan sesuatu majlis. Justeru, Kebebe tidak hanya berfungsi sebagai makanan tradisional, tetapi juga sebagai simbol keutuhan nilai-nilai adat dan spiritual dalam kalangan masyarakat Melayu di Lenggong.


Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

1 biji jantung pisang

1 biji nenas

1 biji putik nangka

½ kg belimbing buluh

½ kg cermai

½ kg kelempung

½ kg jambu batu

90 gram belacan

2 sudu makan gula

1 sudu kecil garam

Segengam cili padi (pilihan)


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Cuci bersih semua bahan-bahan utama dan toskan.

Potong dengan kecil semua bahan-bahan utama agar memudahkan untuk ditumbuk dalam lesung kayu.

Sediakan dan bersihkan lesung kayu dengan penumbuknya.

Mula-mula sekali, tumbuh belacan bersama cabai burung sehingga lumat.

Kemudian, masukkan bahan-bahan kasar terlebih dahulu seperti putik nangka, buah kelempung dan jambu batu lalu tumbuk sehingga hancur.

Selepas itu, masukkan pula buah cermai, jantung pisang dan belimbing buluh secara bertahap agar tidak melimpah keluar dari mulut lesung kayu.

Bahan terakhir masukkan buah nenas kerana, buah ini mengandungi air yang lebih banyak berbanding lain. Air daripada nenas tersebut akan membantu proses melumatkan semua bahan yang telah ditumbuk.

Akhir sekali, masukkan gula dan garam untuk memberikan rasa manis dan lemak.

Hidangan Kebebe siap sedia untuk dinikmati. Orang dahulu memakannya beralaskan kelopak jantung pisang.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Dj Dolasoh. (13 Januari 2016). Kebebe resipi tradisional Lenggong. Berita Harian Online. Diambil daripada 

https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/01/113723/kebebe-resipi-tradisional-lenggong 


Ili Aqilah. (27 Oktober 2023). Spotlight on little-known Lenggong delicacies. The Star. Diambil daripada 

https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2023/10/27/spotlight-on-little-known-lenggong-delicacies 


N.d.(19 Januari 2016) Kebebe dihidupkan semula. My Metro. Diambil daripada 

https://api.hmetro.com.my/node/108301 


Saaidin, M., Som, E. M., Azhari, N. J., Jamaluddin, A., W Mohd Asri, W., & Nenin, M. (2021). Kebebe: The Traditional Food in the Sub-District of Lenggong, Perak.


Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

En. Mohd Razli bin Ahmad, Taman Awam Gua Tok Giring, Kampung Lenggong, 33400 Lenggong, Perak.


Lokasi